Malaysia adalah sebuah negara yang dikenali dengan keunikan masyarakatnya yang berbilang etnik seperti Melayu, Cina, India dan banyak lagi. Oleh yang demikian, pendidikan sememangnya sebuah radas yang memainkan peranan yang sangat penting bagi memupuk perpaduan pelbagai kaum dan etnik.
Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, sistem pendidikan Malaysia telah digubal dan dirangka bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan bersatu padu serta dapat memberikan sumbangan yang jitu terhadap pembangunan negara.
Persoalannya adakah benar pendidikan di Malaysia ini adalah sebuah platform yang dapat membantu dalam memangkin elemen integrasi komuniti?
Salah satu usaha kerajaan dalam menjadikan pendidikan sebagai medium integrasi komuniti adalah dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan serta persefahaman di antara satu kaum dengan kaum yang lain dapat diwujudkan tanpa timbulnya rasa curiga dan diskriminasi. Malahan dengan usaha ini juga dapat memperkuat serta mempercepatkan lagi hubungan perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.
Melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pakar ilmuan dalam pelbagai aspek dan golongan pentadbir dari pelbagai etnik selaras dengan keperluan kini.
Oleh itu, benarlah bahawa pendidikan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk menyeragamkan sistem pendidikan di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi dapat membuka ruang bagi menyatupadukan perpaduan serta dapat mewujudkan integrasi dalam komuniti Malaysia.
Seperti kita sedia maklum, berdasarkan Akta Pendidikan dalam sistem pendidikan di Malaysia telah mewajibkan seluruh pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum sama ada pada peringkat sekolah mahupun universiti. Kokurikulum ialah kegiatan aktiviti berkumpulan di mana aktiviti yang dianjurkan digunakan untuk menambah, mengukuhkan, dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang diajar di dalam bilik darjah.
Ianya merupakan sebuah medium pertumbuhan jasmani, emosi dan rohani selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membangunkan generasi yang seimbang.
Aktiviti kokurikulum yang termaktub dalam pendidikan di Malaysia memberikan impak yang besar, di mana ianya dapat memupuk sahsiah serta membuka ruang pembentukan perpaduan sesama kaum dan etnik. Perpaduan kaum dalam sesebuah negara adalah penting bagi membina sebuah negara yang aman dan harmoni. Ini adalah bagi mengelakkan berulangnya sejarah rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 lalu.
Oleh yang demikian, semangat perpaduan dalam berbilang kaum dapat disemai apabila pelajar bekerjasama bagai aur dengan tebing apabila melakukan kegiatan kokurikulum. Ini adalah selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membangunkan modal insan. Adalah menjadi aset utama negara mempunyai modal insan yang berkualiti tinggi. Ini kerana bagi menentukan masa depan negara dan bangsa.
Aktiviti kokurikulum ini akan membawa kepada berlakunya proses integrasi dalam kalangan pelajar supaya pelajar boleh menghormati serta mengenali antara satu sama lain walaupun mempunyai perbezaan agama dan juga bangsa. Contohnya, dalam aktiviti sukan seperti bola tampar, olahraga, pingpong dan banyak lagi.
Aktiviti sukan ini bukan sahaja meliputi satu kaum sahaja malah ia juga disertai oleh pelajar dari pelbagai bangsa dan etnik dari seluruh Malaysia. Secara tidak langsung, hubungan perpaduan antara pelbagai kaum dapat disemai dan akan menjadi lebih erat serta kukuh bagai isi dengan kuku tanpa adanya jurang.
Tuntasnya, kegiatan kokurikulum yang dijalankan oleh sistem pendidikan adalah satu medium yang sangat membantu dalam membentuk masyarakat yang pelbagai serta integrasi komuniti di Malaysia.
Sebagai penutup wacana, dapatlah disimpulkan bahawa pendidikan bukanlah sekadar platform untuk perkembangan pembelajaran sahaja. Akan tetapi pendidikan merupakan satu platform yang sangat strategik bagi membina keutuhan perpaduan antara satu kaum dengan kaum yang lain di samping membolehkan perpaduan dicapai dalam masyarakat yang pelbagai di negara ini.
Penulis; Nur Ain Natasya Binti Zaidi Nor, Pelajar Tahun 1 Kelab Integrasi Komuniti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).