Friday, March 29, 2024
HomeArtikelPenghayatan Agama Remaja Di Malaysia Tonggak Perpaduan Masyarakat

Penghayatan Agama Remaja Di Malaysia Tonggak Perpaduan Masyarakat

Di saat ini generasi muda khususnya remaja, semakin hari semakin kurang akhlak dan moral dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana kurangnya penghayatan agama dalam diri mereka. Selain itu, golongan remaja pada zaman sekarang juga banyak terpengaruh dengan budaya kuning yang semakin merosakkan anak muda kita terutamanya golongan remaja.

Agama adalah petunjuk kepada manusia untuk membimbing manusia ke arah kebenaran. Oleh kerana itu, sekiranya kurangnya penghayatan keagamaan dalam diri, maka ianya membawa keburukan kepada diri sendiri. Antara keburukan yang akan terjadi sekiranya kekurangan penghayatan agama ialah remaja akan terpesong jauh dari akidah sebenar agama.

Selain itu, remaja juga akan mudah terjerumus dalam lembah kemaksiatan. Remaja juga akan lebih mementingkan dunia semata-mata serta remaja akan mudah diserapi oleh ajaran yang menyimpang dari ajaran yang sebenar. Tingkah laku yang bermasalah ini hanyalah disebabkan oleh kenakalan remaja yang jika dibiarkan, lama-kelamaan ia akan menuju suatu tindakan bahaya yang sangat membimbangkan.

Setiap agama berbeza dari segi ajaran, penekanan dan cara amalannya. Walaubagaimapun, semua agama menyeru penganutnya melakukan kebaikan dan mengamalkan nilai-nilai murni, di samping menghindarkan diri daripada segala bentuk pemikiran, perasaan dan perbuatan yang negatif.

Contohnya, setiap agama mengajar umatnya menjaga hubungan yang baik sesama manusia dengan mengamalkan sikap bertegur sapa dan saling bantu-membantu tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Penghayatan agama adalah penghayatan akidah dan ibadat adalah khusus bagi orang Islam. Orang bukan Islam tidak dituntut menghayati ajaran-ajaran khusus ini. Hal in kerana penganut agama lain seperti Hindu dan Buddha mempunyai kepercayaan mereka sendiri terhadap tuhan mereka seperti mana yang dinyatakan dalam kitab-kitab agama tersebut.

Malah, mereka mempunyai ibadat dengan cara mereka tersendiri. Namun, Islam tidak melarang jika mereka mahu mengamalkannya.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa yang pada asasnya hidup secara aman dan damai. Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat kita.

Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa. Namun, sebagai negara dengan adanya rakyat yang berbilang kaum dan budaya, masyarakat kita kadangkala berdepan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

Isu ini selalunya menyentuh soal perbezaan kefahaman mengenai agama, budaya dan kaum masing-masing. Justeru, perbezaan dan kepelbagaian ini perlu ditangani dan diuruskan sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya sebarang perkara tidak diingini.

Oleh itu, setiap masyarakat perlu mempunyai etika dan moral dalam diri seperti yang telah ditekankan dalam agama mereka supaya dapat membentuk sebuah negara dan masyarakat yang mempunyai perpaduan.

Antara punca-punca kurang penghayatan dalam agama ialah kurang didikan agama daripada ibu bapa. Ibu bapa kini kurang memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak walaupun mereka menyedari bahawa didikan agama yang sempurna dapat dijadikan pedoman hidup.

Hal in kerana kesibukan kerjaya yang dihadapi oleh ibubapa juga menjadi halangan untuk mendidik anak-anak mengenai ilmu agama selain mengehadkan masa untuk mencurahkan kasih sayang bersama anak-anak mereka.

Seterusnya, pengaruh negatif media sosial merupakan antara sebab kurangnya penghayatan dalam agama masa kini. Keseronokan pengaruh media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya telah mengalihkan perhatian remaja terhadap ilmu agama.

Mereka menggemari menggunakan media-media elektronik canggih seperti telefon pintar sehingga lupa akan tuntutan agama masing-masing. Penyalahgunaan media-media tersebut menyebabkan mereka mudah terpesong dari ajaran agama dan mengakibatkan kesan negatif terhadap mereka.

Ketagihan melampau remaja masa kini terhadap media sosial dilihat sebagai pendorong kepada pembentukan perilaku dan sikap agresif, sehingga ada yang sanggup bertindak membunuh diri. Tindakan sedemikian boleh terjadi ekoran kerana terlalu taksub, kecewa atau terpengaruh dengan kandungan di media sosial sehingga diri gagal membuat pertimbangan wajar. Contohnya dalam kes pernah dilaporkan dalam akhbar Jun tahun lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Johor cuba membunuh diri selepas tidak tahan menjadi mangsa buli kenalannya di Facebook yang mahu menyebarkan gambar lucah beliau di media sosial.

Pakar psikologi dan kaunseling, Prof Dr. Mohamed Fadzil Che Din, menjelaskan situasi itu tidak pelik memandangkan remaja kini gemar menjadikan gajet dan media sosial sebagai sumber rujukan. Katanya, sumber rujukan ini tidak semestinya kandungan yang positif, malah sebahagian besar menjadikan aplikasi untuk mengakses perkara negatif dan tidak berfaedah.

Kebiasaannya, 80 peratus hingga 90 peratus penggunaan media sosial lebih bertumpu kepada aktiviti penerokaan bagi mendapatkan maklumat baharu. Oleh sebab itu, remaja begitu tertarik dengan kandungan gajet sehingga ada sebahagiannya menghabiskan waktu seharian mereka dengan hanya melayari Internet.

Rakan sebaya turut menjadi punca kurangnya penghayatan dalam agama terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini kerana rakan sebaya merupakan individu yang rapat dengan mereka selain ibubapa. Malah remaja kini lebih banyak meluangkan masa dengan rakan berbanding dengan keluarga. Hal ini menyebabkan remaja terlalu mempercayai rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja bersama-sama tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut.

Dalam hal ini, remaja perlu sedar bahawa mereka perlu bijak memilih rakan dalam kehidupan mereka. Jika remaja bijak memilih rakan mereka dengan memilih rakan yang baik dan berakhlak mulia, maka tidak akan timbul isu kurang penghayatan agama dalam diri mereka. Hal ini kerana rakan yang baik mestilah mendorong mereka untuk mendekatkan diri dengan ajaran-ajaran agama.

Dalam beberapa kajian yang dilakukan, didapati pendapat mereka sama iaitu mereka lebih suka meminta nasihat dan pendapat rakan berbanding guru dan ibu bapa. Justeru, seharusnya rakan sebaya merupakan rujukan utama dalam pembinaan sahsiah dan tingkah laku.

Remaja kini lebih banyak berbincang mengenai permasalahan harian bersama rakan sebaya bukannya dengan ibu bapa. Peruntukan masa berkualiti bersama keluarga juga amat kurang kerana remaja kini banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa.

Kesilapan dalam pemilihan rakan sebaya ini boleh membawa mereka ke arah perkara-perkara negatif misalnya ponteng sekolah, mencuri, merokok, melepak di pusat beli-belah sehingga boleh merosakkan sahsiah remaja tersebut.

Maka, pendedahan awal mengenai pemilihan rakan sebaya yang baik dan pemantauan ibu bapa mengenai rakan sebaya remaja adalah amat penting bagi mencegah remaja terpengaruh atau terdedah kepada aktiviti salah laku negatif yang membawa kesan moral terhadap remaja tersebut. Jelaslah bahawa rakan sebaya turut memainkan peranan dalam penghayatan agama.

Penulis; Syasya Karmila binti Rosli, pelajar tahun satu Program Sarjana Muda Pengajian Quran Dengan Multimedia, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular