Bilamana seseorang yang bergelar mahasiswa memasuki alam universiti, pastinya fokus utama mereka adalah lebih terarah kepada akademik. Namun, adakah mereka sedar bahawa wujudnya satu platform yang boleh menjadi tambah nilai dan memberi kesan yang amat baik buat diri mereka sama ada di alam universiti itu sendiri mahupun alam pekerjaan nanti?
Platform yang dimaksudkan tersebut adalah persatuan pelajar yang mana umum mengetahui bahawa hampir kesemua universiti mempunyai pelbagai persatuan pelajar dari sekecil-kecil persatuan sehinggalah ke sebesar-besar persatuan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar.
Platform persatuan pelajar seperti inilah yang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh semua mahasiswa yang ada supaya mereka dapat menggilap potensi yang ada pada diri mereka secara lebih meluas seterusnya dapat memastikan mahasiswa yang serba boleh dapat dilahirkan bagi persediaan sebelum melangkah ke masa hadapan yang lebih mencabar.
Selain itu, mahasiswa harus menyedari hakikat dalam kehidupan pada hari ini yang mana ianya agak mencabar dengan pelbagai bentuk persaingan. Justeru, pentingnya seseorang mahasiswa itu untuk mencari peluang dan tidak mencari alasan untuk mereka melibatkan diri mereka secara langsung dengan pelbagai persatuan pelajar yang ada di universiti. Ini kerana manfaat daripada penglibatan mahasiswa dalam persatuan itu sendiri akan berbalik kepadanya semula sekali gus dapat memastikan bahawa mereka juga turut berada di dalam landasan persaingan yang serba sihat yang berlaku pada hari ini dan tidak ketinggalan jauh di belakang dengan kelebihan dan pengalaman yang mereka dapat menerusi persatuan pelajar yang mereka sertai.
Segala apa yang dipelajari di dalam persatuan pelajar itu sendiri, sememangnya akan membantu mahasiswa untuk terus menerus mengaplikasikannya sepanjang kehidupan terutamanya dari sudut kepimpinan dan pengurusan. Secara realitinya juga pada hari ini, kedua-dua aspek ini juga amat dititikberatkan oleh setiap majikan apabila mahasiswa berada di alam pekerjaan kelak.
Bagi membuka mata mahasiswa dengan lebih meluas lagi akan kepentingan untuk mereka melibatkan diri dalam persatuan pelajar, berikut disertakan bersama tiga kepentingan utama yang perlu diberi perhatian dengan sebaiknya. Bilamana mahasiswa sedar akan kepentingannnya, maka ia tidak akan mensia-siakan peluang yang terbentang luas buatnya semasa di alam universiti.
Antara kepentingannya ialah mahasiswa dapat menambahbaik dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan berorganisasi dalam diri mereka. Mereka juga dapat meluaskan rangkaian dengan kenalan pelbagai latar belakang dalam sesebuah persatuan yang mereka sertai dan juga dapat mengisi masa terluang mereka di alam universiti dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat buat diri mereka.
Di sini, penulis ingin menghuraikan setiap kepentingan secara ringkas dan mudah buat semua mahasiswa untuk faham dengan setiap satu kepentingan yang cuba untuk penulis ketengahkan dalam artikel ini.
Pertamanya, mahasiswa dapat menambahbaik dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan berorganisasi dalam diri mereka. Kemahiran kepimpinan dan pengurusan merupakan dua kemahiran yang saling berkait rapat bilamana mahasiswa melibatkan diri mereka dalam sesebuah persatuan.
Dalam skop persatuan pelajar, kemahiran kepimpinan dapat dilihat dari segi bagaimana mahasiswa dapat memimpin sesebuah organisasi persatuan pelajar untuk mencapai matlamatnya berdasarkan peranan yang dipegang oleh setiap mahasiswa dalam organisasi tersebut manakala kemahiran pengurusan pula dapat dilihat dari segi bagaimana mahasiswa dapat menguruskan bidang tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin supaya pengurusan organisasi tersebut dapat diurus dengan teratur dan tersusun.
Melalui dua kemahiran utama yang boleh diteroka dan ditambahbaik melalui persatuan pelajar ini, jelas memberikan gambaran akan kepentingan kemahiran ini bukan sekadar dapat diaplikasikan hanya terhad kepada skop persatuan pelajar sahaja, malahan ianya juga boleh diteruskan bilamana mahasiswa berada di alam selepas mereka bergraduasi.
Keduanya ialah mahasiswa juga dapat meluaskan rangkaian dengan kenalan pelbagai latar belakang dalam sesebuah persatuan yang mereka sertai. Semestinya bilamana seseorang mahasiswa melibatkan diri mereka dalam sesebuah persatuan, mereka akan bertemu dengan pelbagai orang yang tidak mereka kenali pada permulaannya tapi pastinya bilamana mereka sudah berkenalan antara satu sama lain sepanjang mereka berpersatuan, mereka akan menjadi semakin akrab dan mudah untuk berkomunikasi serta bekerjasama antara satu sama lain.
Mereka yang hadir dengan pelbagai latar belakang di awalnya meraikan kebersamaan dan berkongsi kelebihan di antara satu sama lain dalam memastikan sesebuah persatuan pelajar yang disertai dapat mencapai objektifnya.
Melalui kepentingan yang kedua ini, kita dapat melihat bahawa rangkaian kenalan yang luas adalah amat penting bukan hanya sekadar di alam universiti sahaja tetapi juga bilamana di alam pekerjaan yang mana memerlukan mahasiswa itu untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berbeza-beza latar belakang dan ragamnya.
Jelaslah melalui kepentingan kedua yang diketengahkan ini mampu menjadikan mahasiswa supaya lebih bersedia dari segi meluaskan rangkaian sosial bersama orang di sekeliling mereka supaya mereka tidak kekok bilamana bertemu dengan pelbagai jenis manusia sepanjang kehidupan mereka.
Akhir sekali, kepentingan penglibatan mahasiswa dalam persatuan pelajar ialah dapat mengisi masa terluang mereka di alam universiti dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat buat diri mereka. Perkara-perkara berkaitan soal masa selalunya dipandang remeh oleh kebanyakan mahasiswa yang lebih gemar menggunakan masa-masa yang terluang dengan perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat pun pada diri mereka.
Sebaliknya, lain pula buat mahasiswa yang aktif berpersatuan yang mana mereka dapat mengisi masa mereka yang terluang itu dengan sebaiknya dengan melibatkan diri mereka dalam pelbagai aktiviti mahupun program yang dijalankan oleh persatuan pelajar mereka itu sendiri.
Mereka yang berpersatuan ini akan lebih mudah untuk terdedah dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat sepanjang mereka menuntut ilmu di alam universiti sekaligus banyak ilmu-ilmu baharu yang dapat diterokai dan diaplikasikan serta digunakan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.
Melalui perkara ini, kita sama-sama dapat melihat betapa beruntungnya mereka yang mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melibatkan diri mereka secara langsung dalam persatuan pelajar. Gunakanlah sebaiknya platform persatuan pelajar ini untuk memberikan sesuatu yang bernilai pada diri kita di alam universiti kerana ianya juga akan dibawa bilamana kita berada di alam pekerjaan kelak.
Akhirul kalam, jika dapat dilihat dan diteliti dengan sebaiknya akan tiga kepentingan utama yang telah ditekankan ini, mahasiswa akan lebih terpandu untuk menjadikan diri mereka sebagai mahasiswa yang mempunyai semangat luar biasa yang tinggi untuk aktif mengambil bahagian dalam berpersatuan.
Sesetengah tanggapan yang menganggap bahawa penglibatan mahasiswa secara aktif dalam berpersatuan menganggu konsistensi mereka untuk berjaya dalam akademik adalah sangat tidak berasas kerana mahasiswa yang hakikatnya berjaya membawa diri mereka dengan baik di alam universiti adalah mereka yang mampu untuk menyeimbangkan kedua-duanya dengan cemerlang.
Platform persatuan pelajar ini juga akan membuatkan mahasiswa untuk terus menerus dapat menyumbangkan bakti buat universiti mereka yang tercinta dan juga menyebarkan manfaat tanpa sempadan kepada orang di sekeliling mereka. Bukankah ini juga merupakan suatu jalan kebaikan yang perlu direbut dengan sebaiknya oleh mahasiswa itu sendiri yang mana ianya akan mampu meningkatkan penerapan nilai-nilai yang baik pada diri mereka untuk diaplikasikan sepanjang kehidupan mereka?
Kehidupan sebagai seorang mahasiswa seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan perkara yang mampu memberikan suatu nilai tambah yang berkualiti terhadap diri mahasiswa itu sendiri kerana mereka adalah aset masa hadapan negara.
Akhirul kalam, mungkin setiap mahasiswa mempunyai pandangannya yang tersendiri berkaitan hal ini tetapi bagi diri penulis yang sudah banyak terlibat dalam pelbagai persatuan pelajar di alam universiti ingin menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa dalam persatuan pelajar di universiti amatlah penting dan perlu diberi perhatian dengan sebaik mungkin dalam memastikan seseorang mahasiswa bilamana ianya keluar dari alam universiti.
Ia hadir dengan kualiti luar biasa yang tersendiri yang membuatkan masyarakat di sekelilingnya mudah untuk mendekati dan bekerjasama dengannya. Oleh itu, jangan berlengah lagi wahai sahabat mahasiswa yang peluangnya masih terbuka luas di hadapan mata, ayuh buktikan bersama bahawa kita adalah mahasiswa yang serba boleh dan proaktif di alam universiti bukannya hanya mahasiswa 3K yang hanya fokus pada Kuliah, Katil dan Kafe.
Moga kejayaan kita dalam bidang akademik juga seiring dengan kejayaan kita dalam mengaktifkan diri dalam persatuan pelajar yang ada di universiti.
Penulis; Muhammad Zharif Aiman Bin Muhammad Zaki, mahasiswa Dakwah dan Pengurusan Islam tahun 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).