Wednesday, August 17, 2022
HomeArtikelPenglibatan Pelajar Dalam Aktiviti Kokurikulum Membuka Minda Ke Arah Integrasi

Penglibatan Pelajar Dalam Aktiviti Kokurikulum Membuka Minda Ke Arah Integrasi

“Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”. Berikut merupakan perkara utama dari sembilan cabaran utama dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.

Sikap bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Dengan keharmonian inilah, rakyat akan bersatu tenaga dalam usaha memajukan negara dan pasti akan melahirkan masyarakat yang suka bekerjasama bagai “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.” Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang individu tidak bersifat individualistik atau mementingkan diri sendiri.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, “semangat perpaduan perlulah bermula dari sekolah seiring usaha memupuk nilai-nilai keharmonian antara kaum.” Hal ini demikian kerana, alma mater merupakan satu pusat integrasi antara pelajar yang terdiri daripada berbilang bangsa.

Sekolah bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu, malah ia juga menjadi medium untuk pelajar-pelajar mewujudkan perpaduan serta memperkukuhkan hubungan sesama mereka yang terdiri daripada berbilang bangsa. Oleh itu, jelas dapat dilihat bahawa perpaduan serta integrasi dapat dipupuk dari bangku sekolah lagi.

Perpaduan dalam kalangan pelajar dapat dipupuk melalui usaha untuk menambah sukatan pelajaran dengan tajuk-tajuk yang bertemakan perpaduan. Misalnya, tajuk tersebut menyentuh berkenaan hubungan etnik dalam konteks masyarakat majmuk.

Selain pembelajaran dalam bilik darjah, penerapan nilai-nilai perpaduan dapat diperkukuh melalui kegiatan kokurikulum. Di awal pelaksanaan kokurikulum dalam pendidikan di Malaysia, ia dikenali sebagai kegiatan di luar bilik darjah. Namun kini, kegiatan kokurikulum yang dijalankan hendaklah dirancang dan dijalankan lanjutan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang memberikan pelajar peluang menambah, mengukuh dan mempraktikkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah.

Antara kegiatan kokurikulum yang terdapat di sekolah ialah aktiviti pasukan badan beruniform, kelab dan persatuan, dan juga sukan dan permainan. Semua pelajar di setiap peringkat sekolah diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum.

Walaubagaimanapun konsep pelaksanaannya adalah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa unsur diskriminasi atau paksaan tetapi berfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelajar. Justifikasinya, perpaduan mula berpucuk dalam kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

Menurut Jawatankuasa Pelaksanaan Mengkaji Dasar Pelajaran 1979, kegiatan kokurikulum dapat menggalakkan semangat berkumpulan, bekerjasama dan berdisiplin. Penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat menyemai perasaan muhibah, perpaduan dan integrasi nasional.

Dapat dilihat melalui kegiatan kokurikulum ini, interaksi dan pergaulan antara pelajar banyak berlaku. Tamsilnya, melalui penyertaan sukan dan permainan, pembentukan pasukan yang memupuk semangat berkumpulan dapat diwujudkan manakala aktiviti kelab dan persatuan serta pasukan badan beruniform pula lebih menekankan kepada interaksi dan khidmat masyarakat.

Oleh itu, nilai-nilai murni dapat disemai sekali gus memupuk dan menanam sifat kekitaan antara pelajar yang datang daripada latar belakang yang berbeza melalui penyertaan aktiviti kokurikulum ini. Para pelajar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama boleh berinteraksi antara satu sama lain secara realistik.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, antara salah satu aktiviti kokurikulum yang giat dijalankan ialah aktiviti perkhemahan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, kadet remaja sekolah, persatuan bulan sabit merah dan sebagainya. Selain daripada melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran, antara tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan.

Dengan menjalani aktiviti-aktiviti yang memerlukan kerja secara berkumpulan dan kerjasama daripada para peserta untuk mengharungi cabaran semasa aktiviti, semangat kekitaan akan mula bercambah dalam diri peserta. Kerjasama antara mereka akan mewujudkan sikap bersatu padu.

Di samping itu, aktiviti wajib yang akan dijalankan semasa aktiviti perkhemahan ialah aktiviti “Malam Kebudayaan” di mana setiap kumpulan yang terdiri daripada peserta-peserta berlainan bangsa dan agama perlu menyampaikan persembahan kreatif yang menggambarkan kebudayaan di Malaysia.

Dalam pada memupuk kerjasama berpasukan dalam menyampaikan persembahan, ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional memandangkan persembahan yang disampaikan memaparkan nilai-nilai kebudayaan di watan tanah air.

Di samping perkhemahan bagi badan beruniform, aktiviti sukan dan permainan juga dapat mewujudkan semangat integrasi antara pelajar. Misalnya, pada hari sukan sekolah, matlamat utama program tersebut dijalankan adalah untuk mewujudkan persefahaman dan sifat kekitaan dalam kalangan pelajar-pelajar. Pada hari sukan sekolah, semua pelajar akan terlibat dalam pertandingan sukan, perarakan dan perhiasan khemah rumah sukan tanpa mengira apa-apa faktor namun mereka menyertainya sebagai satu kumpulan yang majmuk.  

Sebelum mengakhiri wacana ini, jelas dapat dilihat bahawa terdapat banyak kelebihan dan kebaikan pelaksanaan kokurikulum dan salah satu kelebihannya yang utama ialah dapat memupuk semangat integrasi antara pelajar-pelajar. Penglibatan mereka dalam kegiatan kokurikulum tanpa mengira bangsa dan agama tidak menghalang mereka untuk terus bekerjasama dalam mengharungi cabaran dalam setiap aktiviti dan menjayakannya.

Sifat perpaduan perlulah dipupuk dalam diri setiap individu sejak dari awal usia lagi persis peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana, nilai integrasi dan toleransi adalah sangat penting dalam kehidupan masyarakat majmuk bagi menjamin wujudnya persefahaman dalam kalangan marhaen berbilang bangsa di Malaysia.

Intihanya, dapat disimpulkan bahawa penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka, malahan ia menjadi faktor utama perpaduan dapat disemai dalam diri setiap pelajar. Aktiviti kokurikulum dapat menjadi medium yang sangat efektif bagi memupuk semangat bersatu padu dan nilai integrasi yang tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk yang pelbagai di Malaysia ini.

Penulis; Rasyida Adlina Binti Azli, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia
RELATED ARTICLES

Most Popular