Mutakhir ini, masyarakat Malaysia semakin kerap menghadapi ketidakseimbangan emosi, psikologi dan kognitif sehingga menimbulkan masalah kesihatan Mental yang pada dasarnya berhubungan dengan konflik peribadi termasuklah wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh bumi.
Hal ini kerana, pada penghujung tahun 2019 telah muncul wabak jangkitan paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui puncanya di Wuhan, Wilayah Hubei, China. Namun, jangkitan paru-paru ini kemudiannya telah terbukti disebabkan oleh virus baru yang diberi nama 2019- novel Coronavirus Disease (COVID-19).
Rentetan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) telah mengumumkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan kesihatan manusia. Sehingga 8 November 2020, wabak COVID-19 telah mencatat lebih 50 juta kes dengan angka kematian sebanyak 1.25 juta orang melibatkan keseluruhan 219 buah negara yang terjejas di seluruh dunia. Manakala berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 8 November 2020 pula mencatatkan jumlah kes sebanyak 40,209 dan 290 kematian.
COVID-19 bukan sahaja mendedahkan kita kepada norma baharu seperti penjarakan sosial, pengasingan, kuarantin dan pematuhan terhadap pelbagai operasi piawai (SOP) tetapi tanpa disedari ianya juga telah menyebabkan banyak kes-kes tekanan psikologi seperti emosi yang berkaitan dengan kesedihan, kemarahan, ketakutan, kekecewaan, rasa bersalah, putus asa, rasa bersendirian, kerisauan, kerinduan, pengabaian dan kecelaruan.
Banyak kajian di luar negara telah dibuat berhubung dengan wabak COVID-19. Antaranya Persatuan Psikologi Amerika atau American Pyschological Association (APA) di Amerika syarikat telah mendapati sebanyak 78 peratus rakyat dilaporkan mengalami rasa tertekan susulan wabak COVID-19, manakala 67 peratus pula peningkatan rasa stres apabila tercetusnya wabak COVID-19.
Satu kajian yang dijalankan dalam populasi di Malaysia berhubung impak wabak COVID-19 terhadap kesihatan mental telah dijalankan oleh Hemavathi (2020) pula mendapati bahawa penjarakan fizikal telah memaksa individu untuk tinggal di rumah dalam jangka masa yang lama telah menyumbang kepada tekanan kepada individu tersebut.
Kajian itu lebih tertumpu dan berstruktur mengenai implikasi kesihatan mental di Malaysia masih lagi kurang. Kajian seperti ini amatlah penting untuk dijalankan dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik kepada masyarakat dan mencari kaedah rawatan dan pencegahan yang bersesuaian terhadap individu dalam menangani masalah kesihatan mental yang berpunca daripada pandemik COVID-19 ini.
Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, namun ia telah pun mengundang isu kesihatan mental seperti takut, cemas, tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
Ini dibuktikan menerusi kajian Jianyin (2020) berkaitan tekanan psikologi semasa wabak COVID-19 terhadap rakyat di negara China menunjukkan berlaku tekanan dalam bentuk cemas dalam kalangan masyarakat yang disebabkan tiga perkara utama iaitu pengumuman rasmi mengenai pengesahan jangkitan wabak dari manusia kepada manusia, Perintah kawalan pergerakan diperketat yang telah dilaksanakan pihak kerajaan dan Pengistiharan oleh WHO berkaitan wabak COVID-19 sebagai masalah kesihatan awam di seluruh negara.
Terdapat kajian lain yang dijalankan di Itali menunjukkan banyak faktor penyumbang kepada kebimbangan individu seperti faktor ekonomi kerana mereka yang tidak dapat keluar bekerja seperti biasa mencari rezeki khususnya dalam kalangan peniaga, faktor untuk mendapatkan makanan yang terhad, kemudahan ubat-ubatan, peralatan perubatan dan banyak lagi.
Selain itu, berdasarkan pandemik yang berlaku ini, kebanyakan petugas barisan hadapan (frontliner) yang terdiri dari pegawai perubatan, jururawat dan mereka yang terlibat dalam bidang kesihatan dilihat turut mengalami depresi, stres dan kebimbangan. Ini kerana, mereka terlalu letih kerana terpaksa bekerja lebih waktu untuk merawat pesakit, tidak dapat pulang ke rumah untuk berjumpa dengan anak-anak, suami dan isteri, ibu bapa dan ahli keluarga yang akhirnya menyebabkan kepada ketidakstabilan emosi.
Tambahan pula, dalam pengajian akademik di universiti, staf dan pelajar juga tidak terlepas dari menghadapi situasi-situasi seperti ini dan mempunyai kegelisahan yang tersendiri. Penggunaan teknologi dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti kelas maya, peperiksaan, persidangan, penilaian projek kursus, sarjana muda atau viva bagi pelajar sarjana dan PhD semuanya di atas talian bagi menggantikan mod pembelajaran secara bersemuka.
Bagi pelajar pasca siswazah dalam bidang penyelidikan, mereka juga turut bimbang mengenai kajian yang tidak dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang dalam fasa akhir penyelidikan. Ujian makmal yang terhenti dan pergerakan yang terbatas juga akan menjadi penyumbang terhadap ketidakstabilan emosi.
Wabak ini telah memberi kesan kepada tahap kesihatan mental manusia. Wabak COVID-19 telah mencetuskan perasaan seperti takut, cemas, bimbang dan tertekan. Antara gejala somatik oleh dihadapi oleh individu tersebut seperti dada berdebar-debar, sakit dada, sesak nafas dan sebagainya, tanpa menunjukkan sebarang abnormaliti sewaktu dirawat oleh doktor .
Terdapat beberapa aspek daya tindak yang boleh diamalkan bagi mengawal tahap kesihatan mental semasa wabak COVID-19 ini. Empat pendekatan penting dalam menangani kesihatan mental sebagai daya tindak untuk mengekalkan kestabilan emosi dan psikologi sepanjang pandemik yang melanda negara dan seluruh dunia.
1. Gaya Hidup Sihat
Setiap individu dinasihati untuk menjalani gaya hidup yang sihat termasuklah menjaga corak tidur, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti senaman dan latihan fizikal. Cadangan jangka masa untuk tidur dalam 8 hingga 10 jam sehari bagi mendapatkan rehat yang mencukupi.
Susun atur ruang tidur perlu kemas, bersih dan tidur dalam keadaan suhu yang bersesuaian. Kajian Morgan (2011) menyatakan corak tidur yang sihat memberi impak yang besar terhadap kesihatan psikologi. Persekitaran yang menyenangkan dan perkara yang dilakukan sebelum tidur seperti menutup telefon bibit atau menukar mod senyap, tidur dalam suasana gelap, tidak melakukan kerja pejabat atau sekolah di tempat tidur dan sebagainya membantu meningkatkan kualiti dan kepuasan tidur.
Aktiviti fizikal dan senaman juga amatlah penting untuk menjamin kesihatan mental yang optimum. Senaman dapat memberi banyak kebaikan bukan sahaja kepada keadaan fizikal, malah kesihatan mental dan emosi yang lebih terkawal. Sorotan kajian lepas dari Cambridge University Press yang dikongsikan oleh Fox (1999) melaporkan bahawa selain memberikan kecergasan badan, aktiviti fizikal juga menyumbang kepada peningkatan imej kendiri dan keyakinan diri, sekali gus meningkatkan kualiti cara berfikir dan menstabilkan emosi.
2. Limitasi Masa di Media Sosial
Kebarangkalian untuk menghabiskan masa di alam siber adalah tinggi lebih-lebih lagi semasa PKP ini. Penggunaan media sosial semasa pandemik berlaku boleh membantu mengawal tahap kesihatan mental. Contohnya, kajian ringkas yang dijalankan oleh Weinstein (2018) menunjukkan masa yang diluangkan dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Pinterest mampu memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna apabila perkongsian yang dipaparkan adalah bermanfaat, menghiburkan serta mempunyai kandungan yang menarik.
Kajian tersebut yang dijalankan dalam kalangan remaja di Amerika Syarikat melalui temu bual menunjukkan bahawa masa yang diperuntukkan dengan media sosial memberi nilai interaksi dengan orang lain, ruang mengekspresi diri serta peluang untuk menjelajah minat kendiri. Namun harus diingatkan, setiap individu disarankan untuk mengehadkan masa dalam melayari internet dan media sosial bagi menjaga kesihatan mental.
3. Komunikasi Dua Hala yang Efektif
Manusia secara fitrah perlu berkomunikasi dan berinteraksi setiap masa terutama ketika berada dalam keadaan sedar. Apabila komunikasi dilakukan secara berkesan, individu yang menerima atau mendengarnya dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Komunikasi yang berkualiti adalah komunikasi yang berkesan terutama yang melibatkan dua pihak iaitu merujuk kepada gaya komunikasi dua hala.
Komunikasi yang terbaik akan mencetuskan perubahan yang besar kepada diri sendiri sekali gus berupaya mengubah cara seseorang untuk berfikir dan bertindak seterusnya bakal mewujudkan komunikasi yang strategik terutama dalam kelompok masyarakat yang terkesan.
Bahkan menurut kajian Abdul Rashid (2020) menyatakan bahawa dalam memastikan aspek kesihatan mental yang baik sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19 ini, setiap individu disarankan agar berinteraksi dengan individu lain secara bersemuka atau dalam talian.
4. Pengurusan Emosi
Pengaruh emosi amat besar dalam mewarnai hubungan sesama manusia terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Setiap individu menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dalam tempoh isolasi.
Justeru, perubahan emosi dan tekanan yang dialami perlu diurus dengan baik. Hal ini kerana, komponen emosi berkait rapat dengan aspek kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan, rasa malu berlebihan, tingkah laku agresif dan bermasalah serta gagal mengawal kemarahan.
Secara umumnya, individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi mempunyai kesedaran untuk mengetahui emosi diri sendiri ,mampu mengawal atau mengarahkan emosi yang mengganggu dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berubah-ubah, menguruskan hubungan dengan individu lain dengan baik, mempertimbangkan perasaan orang lain terutama ketika membuat keputusan serta menyedari apa yang mendorong mereka mencapai matlamat. Kelima-lima komponen ini dapat membantu individu dalam memiliki kecerdasan emosi yang tinggi.
Kesimpulannya, cabaran yang bertali arus dari wabak COVID-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, tahan diuji dan tabah menempuh arus perubahan dalam memacu kesejahteraan kendiri dapat dicapai.
Seharusnya setiap individu, mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang berlaku sepanjang kehadiran wabak COVID-19 ini dan berusaha menghayati serta memastikan aspek emosi, pemikiran, tindakan dan spiritual serta cara hidup keseluruhannya. Jika semuanya sudah dipenuhi maka selebihnya kita serahkan kepada tuhan.
Bagi yang muslim, inilah masa untuk kembalikan pergantungan hidup kita kepada Allah melalui konsep tawakkal. Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa tawakkal adalah menyandarkan diri kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa dan hati yang tenang.
Penulis; Nurul Azirah binti Mohamad, Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.