Sunday, June 26, 2022
HomeArtikelPengurusan Malnutrisi Dalam Kalangan Kanak-kanak

Pengurusan Malnutrisi Dalam Kalangan Kanak-kanak

Pengurusan Malnutrisi Dalam Kalangan Kanak-kanak | Di peringkat global, dianggarkan sebanyak 21.3% atau 144 juta kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami masalah tumbesaran terbantut, 47 juta atau 6.9% kanak kanak menghidap ‘wasting disease’ iaitu penurunan berat badan yang cepat atau gagal untuk meningkatkan berat badan yang boleh meningkatkan risiko kematian, dan 38.3 juta atau 5.6% kanak-kanak bawah 5 tahun seluruh dunia mempunyai berat badan yang berlebihan.

Data ini direkodkan dan dilaporkan pada tahun 2019 dan dibentangkan oleh UNICEF, WHO dan Bank Dunia pada tahun 2020.

Hal ini demikian kerana wujudnya pelbagai masalah malnutrisi. Menurut WHO, malnutrisi boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrien yang boleh menyebabkan ‘wasting disease’, tumbesaran terbantut, dan kurang berat badan.

Seterusnya, malnutrisi yang melibatkan kekurangan mikro-nutrien yang merangkumi kekurangan dalam pengambilan vitamin dan mineral dan yang ketiga adalah obesiti atau berat badan yang berlebihan yang mana kebiasaannya adalah faktor untuk masalah kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung dan lain-lain.

Malnutrisi adalah sangat membimbangkan kerana ia adalah salah satu faktor utama yang boleh mendatangkan penyakit yang membawa kepada kematian dalam kalangan kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun.

Terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab kepada penularan malnutrisi secara global.

Malnutrisi Disebabkan Kemiskinan

Faktor pertama adalah faktor kemiskinan dan wujudnya jurang ekonomi yang besar antara penduduk bandar dan desa.

Faktor kemiskinan menjadikan banyak keluarga tidak dapat untuk menyediakan diet yang sihat dan seimbang kepada anak-anak mereka. Dalam konteks ini, faktor kemiskinan juga mungkin melahirkan ibu bapa yang kurang kesedaran dan pengetahuan formal berkaitan pembesaran kanak-kanak.  

Sebaliknya, kanak-kanak yang membesar dalam keluarga berpendapatan tinggi dan kawasan bandar juga mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat masalah pemakanan yang berlebihan yang juga adalah salah satu jenis malnutrisi.

Malnutrisi Disebabkan Peperangan

Faktor kedua adalah kewujudan peperangan di sesetengah negara yang menimbulkan masalah seperti kekurangan sumber makanan dan menjejaskan aktiviti ekonomi. Oleh sebab itu, ramai penduduk negara yang terlibat meninggalkan tempat tinggal mereka dan menjadi pelarian.

Di kem pelarian, bekalan makanan dan air sukar untuk didapati kerana bilangan orang yang besar berbanding sumber yang terhad. Hal ini menyebabkan NGO dan organisasi-organisasi lain berusaha untuk menyelesaikan hal ini.

Malnutrisi Disebabkan Perubahan Iklim

Selain itu, perubahan iklim juga adalah faktor dan punca malnutrisi, perubahan iklim seperti pemanasan global, kemarau, banjir, kebolehubahan dan intensiti hujan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga.

Petani di seluruh dunia bergantung pada ramalan cuaca untuk merancang tanaman mereka. Mereka kemudian membuat keputusan berdasarkan jangkaan musim hujan dan hasil tanaman. Apabila musim selalu bertukar, mereka kehilangan hasil tanaman dan keluarga tidak mendapat makanan.

Di Madagascar, separuh daripada kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami malnutrisi kerana kekurangan nutrien. Hal ini kerana mereka tidak dapat hasil tumbuhan dengan cukup disebabkan penurunan kadar hujan di wilayah selatan negara mereka menyebabkan kerugian dalam pengeluaran tanaman dan menyebabkan 1.1 juta orang mengalami ketidakjaminan makanan (food insecure) pada 2018, termasuk hampir 500,000 kanak-kanak.

Malnutrisi Disebabkan Faktor Kesihatan Ibu

Seterusnya, kesihatan ibu yang buruk juga boleh mempengaruhi perkembangan anaknya. Malnutrisi boleh menyebabkan seorang wanita melahirkan bayi yang terlalu kecil untuk usia kehamilan dan berisiko tinggi untuk kematian neonatal.

Ibu yang kekurangan zat makanan kadang-kadang tidak dapat menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk diberikan kepada bayi mereka sehingga membawa kepada peningkatan risiko tumbesaran terbantut kepada anak-anak tersebut untuk jangka masa yang panjang.

Oleh sebab itu, UNICEF, WHO, dan Bank Dunia bekerjasama pada Mac 2020 untuk membanteras malnutrisi kerana pihak mereka menilai dan mendapati bahawa kemajuan dan usaha sebelum ini adalah tidak mencukupi untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) nombor 2 ‘Menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan’ dan nombor 3 ‘Memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur’ menjelang 2030.

Apakah Penyelesaian Bagi Masalah Malnutrisi?

Beberapa alternatif pengurusan masalah malnutrisi yang telah dilaksanakan dan dijalankan oleh UNICEF adalah menyediakan makanan dengan asas pemakanan yang sihat yang mempunyai nutrisi yang cukup untuk meningkatkan rawatan dan pencegahan malnutrisi.

UNICEF adalah penyedia makanan terapeutik terbesar di dunia dengan membeli 80% bekalan kecemasan dunia dan dapat menyediakan makanan kecemasan kepada hampir 90% penduduk dunia melalui rangkaian gudang dan pusat pengedaran global. 

Selain itu, UNICEF berusaha untuk memastikan bahawa kanak-kanak dan wanita dalam komuniti yang berisiko untuk mendapat malnutrisi, mendapat akses mikronutrien penting dalam bentuk pemakanan suplemen yang diperkaya dengan nutrisi untuk mengatasi malnutrisi seperti B12, folat, zink, kalsium, besi, magnesium, serta vitamin A, D, dan E.

Di samping itu, menyokong penyusuan susu ibu adalah salah satu aktiviti utama UNICEF. Ia mendorong permulaan penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk bayi ketika satu jam pertama kehidupan dan penyusuan susu ibu eksklusif selama enam bulan pertama kehidupan sehingga berusia dua tahun.

UNICEF juga memberi panduan kepada ibu bapa dan pengasuh mengenai cara pengendalian dan penyediaan pelbagai makanan untuk anak-anak mereka sebaik sahaja anak-anak mereka dapat makan makanan pepejal. 

Pasukan UNICEF juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan tempatan untuk menilai dan memantau kadar malnutrisi dan meningkatkan pengurusan jaminan makanan (food security) dalam masyarakat. Dengan cara ini, ia dapat membantu mencegah keadaan yang semakin merosot.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga menubuhkan satu program iaitu ‘Community Feeding Programme’ sebagai inisiatif untuk membendung masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga yang berpendapatan rendah khususnya masyarakat orang asli.  

‘Community Feeding Programme’ telah dilaksanakan sejak 2013 di kawasan pedalaman Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak. Berdasarkan laporan, 3 negeri iaitu Kelantan, Perak, dan Pahang mempunyai kes tertinggi malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Objektif program ini adalah untuk memulihkan >25% kanak-kanak malnutrisi selepas 6 bulan mengikuti program ini dan untuk mengekalkan status pemakanan bernutrisi dalam masyarakat. Dari tahun 2013 hingga 2015, sebanyak 36 Pusat ‘Commmunity Feeding’ telah ditubuhkan. Majoriti daripada pusat ini bertempat di Hulu Perak, Perak sebanyak 17 pusat.

Dua inisiatif telah dikenal pasti untuk mengurangkan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli sebanyak 50% pada tahun 2015 melalui ‘Community Feeding Programme’ iaitu melalui pembahagian bakul makanan (food basket) dan ‘community feeding’ yang terdiri dari 3 program iaitu RUTF (Ready to Use Therapeutic Food), ‘Supplementary Feeding Programme’ dan ‘Community Empowerment Programme’.

Kedua-dua inisiatif program ini menyasarkan semua kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun di dalam komuniti terpilih. Kanak-kanak tersebut akan diberi RUTF yang diperbuat daripada kacang tanah, gula, susu serbuk, minyak dan lain-lain.

RUTF diberikan 3 kali seminggu untuk memulihkan nutrisi mereka. ‘Supplementary Feeding Programme’ pula diberikan 5 kali seminggu oleh sukarelawan dengan menyediakan makanan yang berasaskan karbohidrat, protein, lemak yang seimbang dan menyediakan multivitamin dan susu untuk nutrisi yang mencukupi. 

‘Community Empowerment Programme’ adalah program untuk perkongsian maklumat mengenai pemakanan dan penjagaan kesihatan untuk memberi kesedaran dan menguatkan pengetahuan tentang kesihatan melalui aktiviti komuniti seperti ceramah kesihatan, menganjurkan saringan kesihatan, kelas memasak untuk ibu dan gotong royong.

Menurut UNICEF, usaha lain untuk meningkatkan hasil pemakanan berkualiti untuk kanak-kanak ialah dengan menggerakkan sistem sokongan seperti sistem kesihatan, sistem air bersih dan sistem Pendidikan.

Sistem air bersih adalah sangat penting untuk memastikan kanak-kanak mempunyai akses air minuman yang bersih dan selamat. Akses sedemikian penting untuk memastikan diet yang sihat, melindungi kanak-kanak dari jangkitan dan untuk memastikan badan mereka dapat menggunakan nutrien dengan sebaiknya.

Sistem pendidikan bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran makanan yang sihat untuk kanak-kanak dan remaja serta memainkan peranan penting dalam mendidik dan memberi kesedaran khususnya berkaitan penyakit-penyakit yang mungkin boleh disebabkan malnutrisi.

Kesimpulannya, malnutrisi adalah masalah kesihatan yang rumit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang kompleks tetapi pihak bertanggungjawab telah berusaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) nombor 2 ‘Menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan’ dan nombor 3 ‘Memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur’ menjelang 2030.

Penulis; Muslimah Binti Zaira Azlan, Pelajar Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular