Peranan Ibu Bapa Pendorong Kejayaan Anak-Anak

0
24
Peranan Ibu Bapa Pendorong Kejayaan Anak-Anak

Ekoran wabak penyakit berjangkit Coronavirus yang kian merebak di seluruh pelosok dunia bermula kira-kira awal tahun 2020, banyak impak dan kesan negatif yang berlaku kepada institusi-institusi pendidikan sama ada sekolah, maktab, kolej mahupun universiti. Institusi- institusi keilmuan ini merupakan kayu pengukur kepada kejayaan anak-anak kepada setiap ibu bapa khususnya dari segi akademik, sahsiah malahan juga dalam bidang kokurikulum.

Kini, fungsi institusi yang banyak menitikberatkan ilmu-ilmu secara fizikal ini telah banyak berubah dan beralih ke arah pembelajaran secara maya atau dikenali sebagai PDPC bagi meneruskan, merealisasikan dan memenuhi keperluan pendidikan kepada anak bangsa di samping menjamin masa hadapan anak-anak agar lebih cerah kelak.

Mendepani corak pembelajaran gaya baharu yang diaplikasikan di setiap isi rumah, ramai ibu bapa risau akan kemampuan dan prestasi anak-anak mereka yang dilihat merudum akibat daripada pembelajaran secara maya. Meskipun pengajaran dan pembelajaran secara maya ini baru sahaja diterapkan dalam sistem pendidikan kira-kira dalam tempoh setahun dua, akan tetapi banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak lebih-lebih lagi apabila ibu bapa risau memikirkan tentang kejayaan dan masa hadapan anak-anak.

Antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh anak-anak dalam proses pembelajaran ialah kesukaran mereka untuk memberikan tumpuan dan perhatian yang mendalam semasa kelas berlangsung, kekurangan sumber rujukan untuk memahami sesuatu ilmu, kelemahan dalam menguruskan sendiri masa belajar, mengatasi sikap berputus asa akibat daripada kesukaran cara belajar dan juga cabaran-cabaran lain.

Cabaran-cabaran dalam pembelajaran ini bukan mudah di mana anak-anak juga memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan baik di samping berjaya dalam pelajaran.

Meskipun banyak cabaran yang dihadapi oleh anak-anak dari segi pembelajaran, pasti ada sosok tubuh yang amat diharapkan oleh setiap jiwa anak-anak bagi memberikan sokongan dan dorongan serta perhatian kepada mereka untuk mencapai kejayaan. Justeru, peranan ibu bapa ke arah memperkasakan keupayaan anak-anak untuk berjaya tidak kira dari segi pelajaran, minat, kerjaya mahupun dalam apa jua bidang amat diperlukan.

Peranan ibu bapa dalam usaha mendidik, mencorak dan sebagai pemangkin dalam kecemerlangan anak-anak adalah sangat penting kerana anak-anak bakal memegang teraju pimpinan negara pada masa hadapan kelak.

Meninjau kepada konsep kekeluargaan, keluarga ialah satu unit asas yang terpenting bagi mencorakkan dan menerapkan nilai-nilai murni bagi insan yang menjadi sumber utama pembangunan masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, sebelum bermula segala pembentukan dan pemantapan ilmu-ilmu, sahsiah dan juga impian yang ingin dicapai oleh anak- anak, ibu bapa merupakan individu yang terpenting dalam fungsi institusi keluarga demi menggalakkan kejayaan yang terbaik buat anak-anak.

Para ibu bapa seharusnya meningkatkan dan memantapkan kemahiran dari segi ilmu keibubapaan bagi menjamin kebahagiaan dalam institusi keluarga. Namun begitu, ilmu keibubapaan yang harus ditekankan oleh ibu bapa pada masa kini dilihat agak tidak memberangsangkan kerana pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa seperti kesibukan ibu bapa dengan tugasan kerja, kekurangan masa terluang bersama keluarga tersayang mahupun sebab-sebab lain yang memberikan sedikit tekanan kepada ibu bapa.

Tidak dinafikan bahawa pada zaman alaf baharu abad 21 ini, cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah sangat besar jika hendak dibandingkan dengan zaman ibu bapa dan nenek moyang dahulu.

Kesannya, ilmu keibubapaan dilihat sangat penting lebih-lebih lagi ilmu tersebut perlu disesuaikan dengan situasi terkini kepada anak-anak. Dengan hal yang demikian, ibu bapa mampu lebih cakna akan cara dan pendekatan yang terbaik dalam mendidik anak-anak ke arah yang lebih berkesan dan produktif.

Kesan daripada kelemahan fungsi keluarga ini menyebabkan anak-anak amat mudah dipengaruhi oleh ajakan dan anasir-anasir jahat yang mengawal akal fikiran, tingkah laku dan perlakuan anak-anak ke arah yang negatif. Kini, banyak berlaku permasalahan sosial termasuk seks bebas, jenayah siber, penagihan dadah, sumbang mahram dan pelbagai lagi bentuk aktiviti keruntuhan moral yang menjadi barah dalam kalangan segelintir generasi muda masa kini.

Aktiviti-aktiviti yang memudaratkan bagi setiap jiwa anak bangsa ini sememangnya menjadi kerisauan apabila generasi-generasi muda kini lebih terdorong untuk melakukan aktiviti- aktiviti yang tidak memberikan manfaat. Malah, mereka jualah yang bakal memegang tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan kelak.

Justeru, institusi kekeluargaan yang menerapkan ilmu-ilmu keibubapaan secara bijak adalah sangat penting bagi menghindarkan anak-anak generasi muda terpengaruh dengan pelbagai kegiatan yang negatif lebih-lebih lagi dengan budaya-budaya yang tidak bersesuaian dengan agama dan hidup bermasyarakat di negara kita.

Selain itu, ibu bapa juga berperanan memupuk dan membentuk sahsiah anak-anak. Dalam dimensi sahsiah, ibu bapa khususnya perlu memberikan perhatian dan menunjukkan teladan yang baik supaya anak-anak dapat mencapai kejayaan yang seimbang dalam kehidupan. Malahan, agama juga menekankan aspek sahsiah, akhlak dan moral dalam membentuk peribadi seseorang. Namun, aspek ini dilihat kurang diberi keutamaan mengikut acuan dan seruan yang diperintahkan oleh agama.

Berbeza dengan bangsa Melayu di negara kita di mana majoriti masyarakat beragama Islam, memiliki akhlak dan moral yang baik dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam dilihat tidak asing kerana didikan ibu bapa mereka yang mementingkan aspek nilai dan moral dalam kehidupan. Sebagai contoh, masyarakat di Jepun, rata-rata mereka menggunakan bahasa yang sopan, menjaga kebersihan, menepati masa, berdisiplin dan sebagainya.

Begitu juga dari sudut pelajaran, ibu bapa wajar mengetahui bahawa sekiranya anak-anak merupakan orang yang bijak pandai namun memiliki akhlak dan budi pekerti yang buruk, maka tiada guna akan kepandaian anak-anak jika tidak dihiasi dengan perlakuan yang baik. Hal ini demikian, bersesuaian dengan ajaran agama Islam di mana adab mendahului ilmu.

Seterusnya, ibu bapa juga perlu tahu bahawa dengan memaksa anak-anak untuk mencapai cita-cita berdasarkan pilihan ibu bapa itu sendiri adalah bukan pilihan yang terbaik sekiranya

anak-anak tidak memiliki minat dan cita-cita ke arah pilihan yang dikehendaki oleh ibu bapa. Doktor, ahli perniagaan, peguam, jurutera dan sebagainya ialah antara cita-cita yang seringkali meniti di bibir ibu bapa supaya anak-anak dapat menyambung pelajaran dan berjaya pada suatu masa kelak.

Justeru, ibu bapa seharusnya memberikan dorongan dan bimbingan kepada anak-anak berdasarkan kepada keupayaan, potensi, minat dan bakat mereka dalam sesuatu perkara.

Demikian juga penting bagi ibu bapa untuk tidak mengambil mudah akan pelajaran anak-anak dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi membolehkan mereka memperoleh keputusan yang membanggakan.

Namun, di kala segelintir dalam kalangan ibu bapa lebih mengutamakan kecemerlangan dalam bidang pelajaran, usah lupa bahawa kejayaan anak-anak juga bukan sahaja hadir dengan memperolehi keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik sahaja. Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak semua anak-anak boleh cemerlang dalam pelajaran.

Oleh itu, ibu bapa harus mengetengahkan lagi peranan mereka terhadap kecenderungan anak-anak daripada segi kemahiran. Ibu bapa perlu peka dan pantas mengenal pasti bakat dan kemahiran anak-anak ketika mereka sedang membesar.

Dengan hal yang demikian, kemampuan anak-anak untuk mengembangkan lagi bakat dan kemahiran mereka juga boleh dipupuk dan digilap agar menjadi aset dalam diri apabila mereka sudah dewasa kelak. Bakat dan kemahiran ialah bidang yang amat luas. Pelbagai kemahiran dan potensi anak-anak boleh terserlah termasuklah dalam bidang seni lukis, pertukangan, perniagaan, perusahaan, jahitan, gubahan, masakan, sukan dan sebagainya.

Kemahiran-kemahiran sebegini hendaklah dipupuk dalam diri anak-anak bermula daripada minat yang tertanam dalam jiwa mereka di samping berpotensi besar untuk mereka berjaya dan memperoleh kecemerlangan. Malah, usah memandang serong akan bidang-bidang kemahiran kerana hakikatnya kemahiran-kemahiran tersebut terbukti dapat dijadikan sebagai sumber rezeki jika mereka tekun, bekerja keras dan memanfaatkan bakat semula jadi dalam diri mereka.

Hal ini terbukti apabila mereka yang berdaya saing dan berdisiplin dalam bidang kemahiran tertentu, dilihat mampu berjaya dan memiliki kewangan yang lumayan. Banyak

usahawan yang berjaya hasil daripada titik peluh masing-masing sehingga kini dikenali ramai di negara kita seperti Dato’ Aliff Syukri, Ashallie, Khairul Aming dan juga usahawan-usahawan terkenal yang lain. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa amat penting memberikan galakan kepada anak-anak dan turut berlapang dada atas setiap kekurangan dan kelebihan yang ada pada anak-anak terutamanya untuk melihat anak-anak berjaya.

Namun, bakat semula jadi juga tidak cukup jika seseorang itu hendak berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Kemahiran sosial juga harus diberi penekanan dan perhatian yang lebih sekiranya anak-anak mahu berjaya. Kemahiran sosial amat berkait rapat dengan interaksi sesama manusia iaitu ketika berbual, menyampaikan sesuatu di samping membentangkan tugasan kerja seperti di sekolah, universiti mahupun ketika di peringkat kerja kelak.

Anak-anak yang menguasai kemahiran sosial sebenarnya mampu menarik ramai golongan untuk mendekati mereka. Hal ini kerana, daya keupayaan mereka dapat menarik minat orang lain di samping menerima kepercayaan orang-orang sekeliling. Mereka juga dilihat bijak dalam memimpin dan mampu mempengaruhi orang lain.

Keupayaan mereka dalam menguasai kemahiran sosial ini mampu memberikan peluang yang baik ketika anak-anak berada di alam pekerjaan. Sebagai contoh, anak-anak mudah untuk mendapat kenaikan pangkat, boleh dilantik untuk menjadi ketua dalam satu-satu organisasi, mempunyai pengikut dan juga pandai memimpin orang lain.

Sebagai natijahnya, ibu bapa berperanan penting ke arah kecemerlangan anak-anak dalam apa jua bidang. Sebagai pemimpin dalam rumah tangga, ibu bapa seharusnya menunaikan tanggungjawab dengan baik demi kecemerlangan anak-anak di samping menjadi tulang belakang untuk mereka berjaya. Jika ibu bapa gagal menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya, maka usaha ibu bapa ke arah membina kejayaan yang terbaik untuk anak-anak juga turut akan goyah dan terjejas.

Penulis; Farah Zahida Binti Nordin, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here