Sunday, October 6, 2024
HomeKehidupanPerjalanan Bermula...

Perjalanan Bermula…

Keputusan SPM 2020 yang ditunggu-tunggu akhirnya telah diumumkan. Semalaman Abang, anak sulung saya tidak dapat melelapkan mata. Saya lihat dia mundar-mandir, sekejap duduk, sekejap baring, makanan pun tidak dijamahnya seperti selalu. Saya juga agak gementar dengan pengumuman SPM itu tetapi saya cuba berlagak biasa.

“Ibu, macam mana kalau Abang tak dapat strict A?”, Abang melontarkan pertanyaan sambil memandang tepat ke mata saya. Saya mengambil nafas lalu berkata, “Abang dapat apa pun kita reda. Abang dah buat yang terbaik kan”.

Dia nampak agak lega, namun pada pagi 10 Jun itu dia menawarkan diri mahu menemani saya membeli sarapan pagi. Mungkin dia mahu menenangkan jiwa resahnya.

Pada tahun ini, keputusan SPM diumumkan dalam norma baharu. Belajar pun banyak dalam talian, maka keputusan pun diambil secara atas talian. Ketika sama-sama melihat keputusan Abang di skrin komputer, kami sekeluarga sangat bersyukur dengan keputusan yang Abang peroleh. Walaupun bukan strict A, keputusan 6A yang diperolehnya diharap dapat membuka langkah untuk Abang merealisasikan cita-citanya.Alhamdulillah.

Dan mulai pukul 11 pagi ramailah yang menelefon untuk mengucapkan tahniah. Nenek sebelah ibu, nenek sebelah ayah, ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kedua-dua belah, rakan-rakan ibu dan ayah. Aduhai! Siapa yang ambil SPM sebenarnya?

Saya yang melayani panggilan-panggilan itu memandangkan Abang yang semalamnya tidak dapat tidur terus terlelap di biliknya. Saya merafakkan kesyukuran kepada Ilahi atas nikmat keputusan cemerlang yang anak saya peroleh. Inilah rezeki daripada Allah. Alhamdulillah.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa yang anaknya menerima keputusan SPM 2020. Walau apa pun keputusan anak-anak, mereka wajar dirai, dipeluk dan diiringi kata-kata semangat.

Amat tidak adil kita menunjukkan riak kekecewaan dengan keputusan mereka. Sebagai ibu bapa kita wajar menyayangi anak-anak tanpa syarat, menerima kejayaan dan kegagalan mereka. Doa yang baik-baik kita mohon kepada Allah agar anak-anak bukan sahaja menjadi insan cemerlang duniawi tetapi juga berjaya ukhrawi.

Kepada anak-anak, keputusan SPM ini menandakan permulaan perjalanan menempuh sebuah kehidupan. Rancanglah perjalanan itu dan tempuhi dengan tekad dan usaha yang tak pernah kenal putus asa.

Selamat Maju Jaya.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular