Sunday, September 25, 2022
HomeArtikelPerkara Yang Usahawan Wajib Tahu

Perkara Yang Usahawan Wajib Tahu

Sudahkah anda melayari laman sosial hari ini? Apakah sesuatu benda yang kerap kali di  anda nampak apabila anda melayari laman sosial? Ataupun, apakah sesuatu perkara yang membuatkan anda kerap kali membuka laman Facebook, Instagram dan sebagainya?

Saya pasti anda boleh menjawab pertanyaan saya ini kerana jawapannya ada pada diri anda. Tak lain tak bukan, pengguna telefon bimbit pada zaman kini menggunakan kemudahan ini untuk mencari barang atau servis yang mereka mahu dan perlu.

Jangan risau, saya juga begitu! Hal ini kerana, keadaan semasa yang tidak mendukung kita untuk keluar membeli barang keperluan, oleh kerana kita perlu mengehadkan pergerakan atas sebab lonjakan bilangan penduduk di negara ini yang dijangkiti virus corona atau kita sering kali menyebut Covid-19.

Lambakan para peniaga kecil ini bermula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada tahun lalu. Kita dapat lihat betapa ramainya orang yang mula berjinak-jinak untuk menceburi bidang perniagaan menggunakan modal yang ada.

Hal ini disebabkan tidak kecil jumlah manusia yang terkesan dari wabak pandemik ini, menghadapi krisis dan kesukaran akibat wabak CoVid-19, berakhir dengan kehilangan pekerjaan yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan mereka. 

Seiring berjalannya waktu, terdapat ramai orang yang dipecat atas sebab syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja, atau memilih untuk meninggalkan pekerjaan mereka dan memulakan perniagaan kecil dengan pelbagai alasan.

Bukan hanya golongan dewasa sahaja yang memulakan perniagaan, bahkan terdapat juga ramai usahawan yang tergolong dari usia yang cukup muda, dan tidak pula sedikit yang masih menuntut ilmu di sekolah dan universiti. Hal ini menginspirasi lebih ramai orang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka.

Di saat anda membaca artikel ini, saya yakin anda juga pernah mempunyai pemikiran untuk memulakan bisnes kecil pada waktu yang sukar ini. Tunggu dulu! Teruskan membaca artikel ini sebelum anda mulakan perniagaan anda. Terdapat beberapa hal yang anda perlu ambil kira sebelum anda ambil langkah pertama.

Salah satu sifat usahawan berjaya ialah dapat melihat peluang dan bijak merebut peluang. Usahawan yang berjaya akan bergerak cepat dalam merebut peluang yang berada di hadapan mata. Jadi sebelum anda menentukan apakah perniagaan yang anda ingin lakukan, perhatikan keadaan sekeliling anda. Fikirkan apakah peluang yang anda boleh rebut berdasarkan keperluan dan kemahuan sekarang.

Saya beri anda satu contoh, pada zaman pandemik ini, komputer riba dan telefon bimbit pintar amat diperlukan untuk meneruskan pembelajaran secara atas talian. Jadi, terdapat ramai peniaga mengambil peluang dengan menjual komputer riba dan telefon pintar dengan harga yang berpatutan untuk menarik perhatian pelanggan.

Setiap orang dapat mengenal pasti peluang di sekeliling mereka tidak kira kecil atau besar peluang tersebut. Dan tentunya peluang yang dilihat setiap orang mungkin berbeza-beza.

Oleh itu, anda boleh cuba memikirkan sesuatu benda yang amat diperlukan oleh audien sasaran anda, berdasarkan pemerhatian anda yang teliti. Ingat! Mengenal pasti peluang yang ada sangatlah penting supaya bisnes anda dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Setelah mengenal pasti peluang, sudah pasti strategi perniagaan perlu dirangka supaya anda dapat melihat dengan lebih terkedepan. Melalui strategi yang anda rangka, anda akan dapat mengagak perjalanan bisnes anda walaupun strategi anda itu mungkin pada masa depannya akan berubah kerana anda tidak mengikutinya sepenuhnya atas beberapa faktor.

Saya mahu beritahu anda sesuatu. Sebenarnya, tiada cara yang benar untuk memulakan perniagaan. Apa maksudnya? Maksudnya, setiap orang mungkin memulakan perniagaan mereka dengan cara yang berbeza, termasuklah anda. Hal ini kerana setiap orang mempunyai pendekatan yang berlainan dalam bisnes.

Bayangkan 1000 orang usahawan memulakan perniagaan dengan cara yang sama? Sudah tentu saingannya amatlah tinggi. Jadi, apa yang penting adalah strategi anda. Pendek kata, strategi perniagaanlah yang akan menentukan kejayaan bisnes anda.

Kejayaan bisnes anda bergantung kepada bagaimana anda merangka strategi, dan menjalankannya. Kalau anda berstrategi sahaja tanpa merealisasikannya, perniagaan anda mungkin akan mengalami kegagalan.

Bagi sesuatu perniagaan, visi dan misi amatlah penting supaya anda dapat menjayakan perniagaan tersebut. Cuba anda tanya pada diri anda, apakah visi dan misi yang anda mahu untuk perniagaan kelak?

Saya bagi satu contoh, visi syarikat Walt Disney ialah untuk menghiburkan orang. Pada pendapat anda, adakah visi tersebut tercapai? Jawapannya ya. Anda dapat lihat betapa banyaknya filem-filem yang berkualiti yang dihasilkan oleh syarikat ternama ini, yang mampu menghiburkan kanak-kanak serta orang dewasa.

Dari sini kita dapat simpulkan bahawa visi dan misi inilah yang akan menggerakkan sesuatu perniagaan. Tanpa visi dan misi, sesuatu perniagaan diibaratkan seperti kenderaan tanpa pemandu. Visi dan misi sebagai panduan perniagaan sangatlah diperlukan supaya sesebuah organisasi perniagaan itu lebih gigih dalam usaha mencapai visi dan misi dengan meningkatkan kualiti kerja, dan sebagainya.

Jadi, tentukan satu visi dan misi anda terhadap perniagaan anda. Apakah yang mahu anda capai dalam jangka masa pendek dan panjang? Fikirkan dengan sebaik-baiknya.

Seterusnya, setiap perniagaan memerlukan modal untuk bermula. Tidak kisah sama ada modal anda kecil atau besar, yang penting modal anda mencukupi. Apakah itu modal yang mencukupi? Modal yang mencukupi adalah jumlah wang yang anda tentukan untuk memulakan bisnes anda, dan digunakan dengan sebaik mungkin.

Sangat disayangkan jika modal sahaja besar, namun perniagaan anda gagal. Sebab itulah mengenal pasti peluang dan mempunyai strategi perniagaan amat penting seperti saya katakan sebelum ini.

Dengan dua perkara tersebut, anda boleh mengagak berapakah modal yang anda perlukan untuk memulakan bisnes anda. Anda boleh mendapatkan modal sama ada menggunakan wang tabungan anda sendiri, mahupun membuat pinjaman dari kenalan terdekat ataupun bank.

Ingat! Modal yang besar tidak dinafikan penting tapi sesuatu modal tidak menentukan kejayaan bisnes! Kebijakan anda dalam menggunakan modal tersebutlah yang akan membawa bisnes anda ke arah yang lebih maju, yang seterusnya membuatkan anda mendapat untung yang besar, yang seterusnya dapat anda gunakan sebahagian darinya untuk strategi bisnes berikutnya.

Setelah anda mengambil kira keempat-empat perkara di atas, kita beralih pula kepada ciri-ciri yang perlu ada pada seorang usahawan.

Usahawan yang berjaya mempunyai minat terhadap apa yang mereka lakukan. Sama ada penemuan baru, peningkatan produk yang ada, atau perkhidmatan revolusioner, usahawan yang berjaya percaya bahawa bisnes mereka dapat mengubah permainan perniagaan pada masa akan datang. Mereka juga tahu bagaimana menyampaikan hasrat ini kepada orang lain.

Sebagai usahawan, terutamanya perniaga kecil-kecilan, anda perlu melakukan semua perkara dalam perniagaan anda, sekurang-kurangnya pada awal mula bisnes anda. Walaupun pada masa depannya perniagaan anda bertambah besar dan maju, dan anda berkeputusan untuk mengambil pekerja, anda akan tetap ingin mengetahui apa yang berlaku dalam perakaunan, pemasaran, pembelian dalam perniagaan anda.

Sekiranya anda belum mempunyai pengetahuan ini, tidak mengapa kerana seiring berjalannya waktu, anda akan belajar dengan sendirinya dari pengalaman anda sendiri mahupun dari orang-orang sekeliling anda.

Anda boleh menghadiri program-program ataupun seminar-seminar yang diadakan oleh sifu-sifu perniagaan yang ada di Malaysia, ataupun berguru dengan seorang mentor bisnes yang anda percaya untuk membantu anda dalam membangunkan bisnes. Memiliki semua pengetahuan dapat membantu memastikan usaha baru anda bermula dengan sebaik mungkin.

Keyakinan adalah salah satu ciri utama seorang usahawan. Semangat dan keyakinan bergerak bersama-sama. Usahawan perlu yakin dan percaya bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk membawa produk mereka ke pasaran.

Ini bermakna, usahawan yang berkeyakinan tinggi akan terus mencuba pendekatan baru jika strategi pertama tidak berfungsi, serta memiliki kemampuan untuk mengatasi rintangan yang pasti akan menghampiri dalam perniagaan anda.

Saya yakin kita semua pasti pernah mendengar ungkapan, “Tidak ada yang ingin gagal, mereka hanya gagal merancang.” Seperti yang saya katakan sebelumnya, tidak ada yang lebih benar daripada ketika memulakan perniagaan. Dan memang benar, ianya hampir mustahil untuk membuat perancangan berlebihan.

Oleh yang demikian, usahawan yang berjaya perlu bersiap seandainya rancangan mereka berubah. Usahawan perlu cukup fleksibel untuk menukar rancangan yang terbukti tidak dapat dilaksanakan dengan rancangan lain yang lebih strategik.

Aktif ialah salah satu ciri terpenting pada seorang usahawan. Namun saya faham, tidak semua orang mampu menjadi aktif dan bersosial dengan orang sekeliling kerana setiap orang mempunyai keperibadian yang berbeza-beza. Jika anda lebih bersifat introvert, jangan risau. Ini adalah kemahiran yang boleh dipelajari.

Perkara pertama yang anda perlukan adalah ucapan ringkas mengenai produk anda dan mengapa ia menarik. Fikirkan tentang apa yang akan anda katakan sekiranya anda berada di sebuah tempat dengan ramai pelanggan yang berpotensi. Apa yang anda ingin dia ketahui dalam 45 saat?

Gunakan masa yang sebentar ini untuk menarik minat orang supaya membeli dengan anda. Gunakan ucapan ringkas ini dimana – mana, kepada semua orang yang anda temui. Beritahu rakan anda, jiran anda dan orang yang anda kenal di alam maya.

Anda tidak pernah tahu siapa yang mungkin menjadi pelanggan, pembekal atau rakan kongsi yang sesuai untuk anda. Jangan takut untuk menghubungi atau menghantar emel kepada audiens sasaran anda secara langsung.

Berikutnya, mampu menguruskan wang adalah ciri penting seorang usahawan. Anda boleh belajar menguruskan wang daripada orang-orang yang berpengalaman. Tanpa pengurusan wang yang betul dan cekap, perniagaan anda tidak dapat berjalan dengan lancar.

Akhir sekali. Tidak berputus asa. Membawa produk atau perkhidmatan ke pasaran memerlukan kerja keras. Oleh kerana anda sudah mempunyai semangat dan keyakinan, jangan pernah berputus asa sehingga impian perniagaan anda menjadi nyata. Cuba dan terus mencuba sehingga berjaya.

Demikianlah sedikit sebanyak yang anda perlu ketahui sebelum anda mengambil langkah pertama sebagai usahawan. Jangan bimbang sekiranya anda tidak mendapatkan sokongan orang sekeliling anda! Percaya pada diri anda dan sendiri dan buktikan kepada mereka bahawa anda boleh! Semoga berjaya.

Penulis; Anis Zakirah Binti Ahmad Zahudi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Rujukan

Karen Doyle. 2014. 7 Characteristics of an Entrepreneur. https://www.aiuniv.edu/blog/2014/october/7-characteristics-of-an-entrepreneur

RELATED ARTICLES

Most Popular