‘Mai pakat mai, pakat mai ramai-ramai!’ merupakan slogan Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2024 yang telah berlangsung daripada 1-3 Mac bertempat di Kg. Lat seribu, Tambun Tulang, Arau Perlis. Pesta Angin Timur (PAT) merupakan program tahunan yang diadakan di negeri Perlis. Pesta Angin Timur merupakan Program pelancongan berasaskan kebudayaan yang utama di Perlis dan mengambil nama sempena peredaran musim daripada sejuk ke musim panas yang dibawa angin dari sebelah Timur ke negeri Perlis.
Aktiviti yang dijalankan pada tahun ini tidak kurang hebat seperti tahun sebelumnya malah lebih meriah setelah dikomersialkan dari tahun ke tahun melalui pelbagai medium seperti radio dan tinta muka buku. Tambahan, Pesta Angin Timur juga telah mendapat segmen khas dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran di kaca TV 1 memperlihatkan sekitar perjalanan program khusus buat penduduk di negeri lain agar dapat merasai kehangatan Pesta ini.
Di samping itu, apa yang menarik? Program tahunan ini julung kalinya menerima pencapaian “Malaysia Book of Record” atas pembuatan garam belacan teramai selain mendapat penyertaan antarabangsa dalam pertandingan sukan rakyat “Extreme Mud Challenge” yang baru diperkenalkan dalam Pesta Angin Timur (PAT) tahun ini. Pelbagai pengisian diadakan untuk menyajikan pengalaman pesta yang tidak dapat dilupakan serta bermanfaat buat seluruh warga Perlis dan pelancong yang hadir seperti persembahan kesenian, Jualan Mega Rahmah, aktiviti belon udara panas serta pameran agensi iaitu PTPTN, TNB dan MARA.
Bukan itu sahaja, terdapat juga terowong ilmiah yang dihasilkan daripada gulungan jerami yang menjadi di antara tarikan pesta dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), WorldStar Agriculture Machinery dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Seni jerami ini dinamakan sebagai ‘Jerami Art Tunnel’.
‘Perlis damai dan menawan’ dan Perlis-The Undeniable Charm dipilih menjadi slogan sempena Tahun Melawat Perlis 2024, negeri yang berada di utara Semenanjung Malaysia bersempadan dengan negara Thailand ini menjanjikan panorama alam serta gunung-ganang yang menghijau, udaranya nan bersih serta kabus menghiasi pemandangan pagi. Khusus buat pencinta alam, Perlis merupakan destinasi yang dicari dengan pelbagai tempat riadah dan rekreasi yang indah seperti Bukit Cenderawasih, Wang Kelian Viewpoint, Bukit Chabang, Taman Agrovet, Gua Kelam, Bukit Ayer, Bukit Jernih dan Gunung Medan.
Kampung Wai di Kuala Perlis menjanjikan pengalaman menelusuri bukit kapur berusia 500 juta tahun melalui aktiviti berkayak atau menaiki bot kecil. Air terusan disini berwarna kehijau-hijauan dengan pemandangan bukit-bukau batu kapur. Lokasi seterusnya yang menjadi pilihan pencinta alam ialah Wang Kelian View Point apabila pengunjung dapat menikmati udara segar di atas bukit Wang Kelian sambil melihat panorama serta ditemani fenomena awan gulung iaitu kabus pagi yang terlihat seperti awan.
Bukan itu sahaja, terdapat banyak pilihan buat pengunjung sekiranya ingin mendapatkan pemandangan indah sekitar negeri Perlis di lokasi yang berbeza seperti di Gunung Medan, Utan Aji, pengunjung boleh beriadah dengan berjoging untuk sampai ke atas ataupun menaiki perkhidmatan van yang disediakan.
Uniknya, terdapat sebuah kafe berkonsepkan minimalis di atas Gunung Medan membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam sambil bersantai dengan ahli keluarga. Tasik Timah Tasoh juga menjadi pilihan pengunjung untuk bersiar-siar dengan menaiki basikal ataupun skuter elektrik mengelilingi tasik, selain disediakan juga taman permainan dan kereta api bergerak buat anak-anak.
Seiring dengan titah baginda raja muda negeri Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam perasmian Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bertempat di Dewan 2020 pada awal Disember tahun lalu agar rakyat Perlis menjadi duta pelancongan buat negeri ini serta menyeru para pengusaha rumah inap, pelancongan, pemilik restoran serta pengendali pengangkutan awam agar menambah-baik prasarana dengan mementingkan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan dalam mempergiatkan usaha mempromosikan negeri ini buat para pelancong.
Oleh yang demikian, seperti kata pepatah tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu mendorong kepada lebih ramai pengusaha inap desa baru bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila terdapat banyak inap desa yang baru didirikan lengkap dengan fasiliti moden seperti kolam renang, alatan barbeku dan wifi percuma. Homestay FF Sejati, Sanglang, Perlis merupakan di antara inap desa yang berbaloi dengan harga yang berpatutan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berserta kelebihan lokasi yang strategik iaitu dikelilingi bendang sekaligus menyajikan “port healing” yang indah dan menenangkan.
FF Sejati juga menyediakan beberapa pilihan tempahan inap desa sama ada sebiji rumah buat keluarga yang besar ataupun pengunjung boleh memilih inapan bilik daripada kabin yang dilengkapi pendingin hawa. Selain itu, RiverView Homestay, Ngulang memberikan pengalaman tidur di tepi sungai dan berdekatan dengan sawah padi, Orang-Orang Village juga tidak kurang cantiknya apabila terletak di tengah bendang dan penginap dapat merasai angin sepoi petang ketika bersiar di sekeliling kawasan penginapan. Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi tempat penginapan di Perlis yang selesa dan yang penting berpatutan buat pelancong sekalian.
Dusun Nakawan memberikan suasana makan di dalam dusun dengan banyak pilihan tempat duduk selain kerusi biasa seperti bersila di atas para dan makan di atas buaian. Selain itu, pilihan santapan yang pelbagai seperti peknga, nasi lemak dan pulut mempelam serta makanan barat juga seperti “Chicken Chop” dan bebola daging.
Tempat makan seterusnya ialah Ngulang Kopitiam di mana menjanjikan suasana klasik kembali ke tahun 60-an. Kopitiam ini beroperasi daripada sebuah rumah tradisional yang dibeli oleh pemiliknya dan dibina semula. Rumah ini dihiasi dengan barang-barang antik seperti telefon lama, koleksi majalah lama, pinggan mangkuk dan mesin taip yang menambahkan ciri khas kedai ini. Selain itu, Pulau ketam merupakan produk pelancongan baharu yang menyajikan pemandangan landskap berlatarbelakangkan kepulauan Langkawi dan perkampungan nelayan serta terdapat hutan paya bakau yang digazetkan sebagai hutan simpan dan menjadi habitat kepada hidupan akuatik yang secara tidak langsung dapat memelihara ekosistem sejagat.
Oleh yang demikian, kecantikan Pulau Ketam menjadikannya sebagai lubuk rezeki buat para peniaga apabila terdapat sederet kedai makan yang didirikan sepanjang pulau ini dengan pilihan makanan yang pelbagai seperti jagung bakar, lokcing dan laksa lemak udang lipan. Jadi, tempat ini merupakan tempat “healing” dan berswafoto yang indah ditambah dengan keasyikan angin pantai yang menderu sambil pengunjung menikmati santapan.
Perlis negeri terkecil yang memiliki keluasan kira-kira 810 kilometer persegi dan kaya dengan kepermaian alam jelaslah mempunyai daya penarik yang tersendiri buat pengunjung yang mahukan ketenangan dan jauh daripada suasana hiruk-pikuk bandar. Justeru, jemputlah ke Perlis agar rakyat negeri ini dapat berbagai kasih sayang daripada ketenangan yang diwujudkan Allah SWT buat negeri ini melalui kehijauan bukit-bakau, air terjun dan sawah padi, bak kata pepatah kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.
Penulis: Hafizatul Afiqah Bt Khairul Hafiz, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
