Monday, December 9, 2024
HomeArtikelPerlukah Memilih?

Perlukah Memilih?

Selepas memperoleh keputusan SPM yang agak baik, Abang cuba memohon untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tempatan. Dia langsung tidak mahu memohon untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi ada juga permohonan yang dia isi itu memerlukannya bekerja jauh. Saya hanya memberikan pandangan sekiranya dia minta. Al-maklum anak-anak muda zaman sekarang banyak sumber rujukannya. Bertuahnya generasi PROMAX!

Tetapi ada kalanya saya tetap menyatakan pendirian tanpa diminta, contohnya. “Ibu rasa jadi cikgu pun ok, cuba tengok sekarang, Ibu BDR ja”. Dan pasti selepas itu dengan muka selamba Angah mencelah, “Mana boleh nak suruh ikut Ibu,” Begitulah laku si Angah, terlalu “direct”, walaupun saya bercakap dengan Abang, kalau dia mendengar, dia tidak segan silu menyampuk. Abang hanya menyokong hujah Angah namun dengan versi ayat yang lebih logik, “Abang mana pandai mengajar , tak sabar macam Ibu”.

Setelah beberapa lama, Abang menerima tawaran menyambung pengajian di UiTM yang berlangsung dalam talian. Dia nampak bersemangat tetapi saya tahu dia masih berharap untuk ditawarkan belajar di satu lagi institusi yang akan hadir dengan tawaran bekerja di laut biru. Namun tiada sebarang jawapan walaupun dia sudah melalui beberapa sesi temuduga yang semuanya dilakukan secara dalam talian.

Jumaat lepas, dengan wajah yang ceria, Abang memaklumkan bahawa e-mel daripada institusi itu telah diterima dan dia ditawarkan belajar di situ. Tetapi dia berasa sedikit kesal kerana tawaran itu agak lewat dan dia mulai serasi  dengan pengajian di UiTM. Saya hanya mendengar luahannya dan berkata, “ Abang fikirlah mana yang terbaik, UiTM pon ok tapi tawaran satu lagi yang Abang dok tunggu kan”. Saya tidak mahu memaksanya kerana dia lah yang akan belajar nanti.

Apalah sangat yang diharapkan oleh seorang ibu daripada mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ibu hanyalah hamba Allah yang  tidak bisa meramal masa depan. Jika tersepit dengan pelbagai pilihan, Ibu juga hanya mengikut gerak hatinya setelah memohon petunjuk daripada Allah. Apa yang Allah izinkan untuk terjadi akan terjadilah. Jika baik, kita bersyukur, jika buruk, kita bersabar, redha dengan ujian. Dan semoga Allah restui apa sahaja pilihan yang Abang buat nanti. Restu Ibu selau mengiringi perjalanan hidup Abang, Angah, Acik dan Adik. Barakallahu fikum…

RELATED ARTICLES

Most Popular