Wednesday, October 4, 2023
HomeArtikelPerniagaan Atas Talian

Perniagaan Atas Talian

Perniagaan atas talian bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada masa kini. Ramai rakyat Malaysia sekarang yang berkecimpung dalam bidang perniagaan atas talian ini, sama ada suri rumah ataupun pelajar.

Perniagaan atas talian sudah menjadi perkara awal yang akan dituju oleh kebanyakan orang yang ingin menambah pendapatan mereka ataupun yang ingin mencari pekerjaan. Perniagaan atas talian ini juga dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja dan tak kira di mana mereka berada. Mereka hanya memerlukan capaian internet serta telefon pintar ataupun komputer riba.

Banyak manfaat yang kita boleh dapati dengan berniaga di atas talian. Tambahan pula, perniagaan atas talian amatlah bermanfaat kepada golongan yang baru bermula dalam perniagaan. Apakah manfaat perniagaan atas talian kepada golongan yang baru bermula dalam perniagaan?

Antara manfaat yang dapat kita lihat ialah perniagaan atas talian ini memerlukan modal yang rendah. Perkara ini sangat sesuai kepada seseorang yang ingin memulakan sesebuah perniagaan kerana mereka hanya perlu menyediakan modal untuk membeli produk yang ingin dijual. Tambahan pula, mereka boleh melakukan aktiviti perniagaan mereka di rumah sahaja tanpa perlu menyewa kedai atau kawasan perniagaan memerlukan modal yang tinggi untuk dikeluarkan. Jika melakukan perniagaan di rumah sahaja mereka tidak perlu melakukan pengubahsuaian kedai kerana tempat tersebut hanya boleh dijadikan sebagai tempat simpanan produk-produk sahaja.

Selain itu, mereka juga boleh mengupah pekerja pada kadar optimum berdasarkan orang yang dapat menguruskan stok serta hal-hal yang berkaitan dengan internet. Risiko yang mereka hadapi juga berkurang kerana mereka tidak perlu mengeluarkan modal yang banyak untuk membayar kos seperti kos sewa kedai dan upah pekerja dan hanya perlu fokus kepada modal untuk membeli barangan jualan serta pengurusan pembungkusan dan penghantaran produk kepada pelanggan sahaja.

Segala maklumat dan urusan jual beli yang berlaku juga direkod dan disimpan dengan baik serta memudahkan para peniaga untuk melakukan semakan bagi tujuan audit dan sebagainya. Oleh itu, perniagaan atas talian sangatlah bermanfaat kepada peniaga yang baru bermula dan risiko yang dihadapi juga tidaklah tinggi.

Selain itu, peniaga juga dapat memasarkan produk mereka ke pasaran global jika berniaga di atas talian. Pada zaman yang berteknologi tinggi ini dan maklumat yang boleh didapati dengan di hujung jari sangat memudahkan bagi seorang peniaga untuk memasarkan produknya hingga ke pasaran global. Terdapat banyak juga aplikasi yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk memasarkan produk mereka seperti Instagram, Twitter, Facebook, Whatsapp serta Tiktok.

Perniagaan atas talian amatlah membantu kepada para peniaga untuk memperkenalkan produk mereka ataupun menaikkan jualan. Para peniaga yang masih lagi bertatih dalam bidang perniagaan dapatlah menarik pelanggan untuk membeli produk mereka dengan mudah kerana produk mereka yang dipasarkan dapat dilihat oleh ramai orang. Tambahan pula, para peniaga juga akan mudah dikenali apabila mereka berniaga di atas talian ini.

Perniagaan atas talian yang menggunakan media sosial ini memudahkan para peniaga untuk mengiklan produk mereka tanpa kira masa kerana iklan tersebut akan dipaparkan mengikut masa yang telah kita tetapkan dan jangkauan pelanggan untuk menerima iklan tersebut lebih tinggi.

Mereka juga tidak perlu mencetak risalah untuk mengiklan produk yang hanya dapat diedarkan pada tempat tertentu sahaja serta jangkauan untuk mendapatkan pelanggan juga terhad. Oleh itu, perniagaan atas talian ini amatlah bermanfaat kepada para peniaga yang baru mula berniaga.

Seterusnya, para peniaga juga dapat berniaga dengan bebas dan fleksibel tanpa perlu memerhatikan perniagaan seperti perniagaan secara konvensional. Hal ini kerana perniagaan atas talian melalui aplikasi seperti Shopee dan Lazada mempunyai sistem automatik yang mengambil tempahan bagi setiap pelanggan yang ingin membeli produk mereka pada bila-bila masa.

Pelanggan dapat mengakses aplikasi ini pada bila-bila masa dan para peniaga hanya perlu menguruskan hantaran barangan kepada pelanggan. Tambahan pula, perniagaan atas talian melalui aplikasi tersebut dapat membantu para peniaga untuk menaikkan jualan mereka kerana mereka dapat berniaga 24 jam sehari.

Namun begitu, para peniaga hanya perlu meluangkan masa beberapa jam sahaja untuk memantau kedai-kedai mereka yang berada dalam aplikasi tersebut. Jika peniaga yang baru mula berniaga tersebut merupakan seorang pelajar, perniagaan atas talian ini sangatlah bermanfaat kepada mereka dan mereka juga dapat menambahkan pendapatan untuk membiayai yuran universiti mahupun perbelanjaan mereka.

Perniagaan atas talian tidak akan menganggu masa pembelajaran mereka dan mereka masih lagi boleh menambahkan pendapatan mereka. Oleh itu, para peniaga yang baru memulakan perniagaan dan ingin berniaga lebih fleksibel, perniagaan atas talian merupakan satu pilihan yang bijak kepada mereka.   

Kemudahan teknologi sangatlah membuka peluang perniagaan kepada golongan yang baru memulakan perniagaan untuk menambahkan pendapatan mereka. Mereka dapat jadikan media sosial sebagai satu platform untuk menambahkan pendapat pada masa kini. Perniagaan atas talian ini sangatlah membantu mereka yang ingin menaiktarafkan kehidupan mereka.

Bagi mereka yang ingin menambahkan pendapatan boleh menjadikan perniagaan atas talian ini sebagai salah satu inisiatif untuk mereka. Perniagaan atas talian ini merupakan salah satu langkah yang bijak bagi para peniaga yang baru memulakan perniagaan kerana banyak manfaat yang mereka boleh dapati dengan berniaga di atas talian.

Oleh itu, pada pendapat saya kepada seseorang ingin memulakan perniagaan, mereka perlu mempertimbangkan untuk berniaga di atas talian untuk menambahkan pendapat mereka kerana perniagaan atas talian dapat memberikan banyak manfaat.  

Penulis; Syafirah Binti Mohd Muslim
RELATED ARTICLES

Most Popular