Tuesday, March 19, 2024
HomeArtikel9 Kaedah Memupuk Semangat Perpaduan Rakyat Malaysia

9 Kaedah Memupuk Semangat Perpaduan Rakyat Malaysia

9 Kaedah Memupuk Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

Perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia ialah kunci kedamaian, kemakmuran, kestabilan dan kelangsungan pembangunan negara.

Tanpa perpaduan, negara tidak akan mencapai kestabilan yang mutlak, kemajuan dan keamanan yang berterusan.

Perpaduan rakyat Malaysia semakin terserlah di saat kita bersama-sama bersatu untuk memerangi penularan dan memutuskan rangkaian wabak COVID-19. Kesepakatan yang ditunjukkan oleh rakyat sebagai jentera perpaduan pada saat krisis ini berlaku mencerminkan kematangan rakyat memahami makna perpaduan dan kesepaduan sosial antara kaum.

Semua rakyat Malaysia yang cintakan negara perlu meneruskan  membudayakan perpaduan sebagai amalan hidup kita yang berterusan. 

9 Cara Mengekalkan Perpaduan Rakyat Malaysia

  1. Galakkan anak-anak berkomunikasi dengan jiran berlainan bangsa. Ibu bapa disarankan membawa anak-anak berkunjung ke rumah jiran sempena perayaan.
  2. Anjur aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum & memupuk kerjasama.
  3. Hindari tindakan cetus provokasi kaum. Bagi mengekalkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia,  kita hendaklah mengelakkan isu sensitif yang merosakkan rasa muhibah dan perpaduan.
  4. Hargai jasa tokoh negara yang berjuang demi kemerdekaan tanah air dan perpaduan negara.
  5. Sentiasa patuh undang-undang & tidak terpengaruh anasir luar.
  6. Gunakan bahasa kebangsaan. Bahasa Kebangsaan dapat mewujudkan perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di Malaysia.
  7. Hayati tema sambutan han kebangsaan. Tema hari kebangsaan dapat menanam semangat cinta kepada negara. Tema Hari Kebangsaan tahun 2022 adalah Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
  8. Raikan sambutan perayaan semua kaum di Malaysia secara bersama-sama
  9. Rakyat harus bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Antara cara yang boleh dilakukan adalah menerapkan nilai-nilai perpaduan kepada anak-anak sejak kecil
Perpaduan Mengekalkan Keharmonian

3 Teras Utama Perpaduan Negara

Bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat, Kementerian Perpaduan Negara telah menggariskan 3 teras bagi mencapai matlamat ini iaitu;

  1. Patriotisme dan Demokrasi
  2. Identiti Nasional 
  3. Ekosistem Perpaduan

1. Patriotisme dan Demokrasi

Patriotisme merujuk perasaan cinta terhadap negara yang bercirikan ketaatan kepada undang-undang dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi berasaskan prinsip inginkan yang terbaik untuk negara. Semangat ini harus dipupuk dan dididik sejak awal dan semangat ini saling berkait dengan kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat.

Rakyat yang mempunyai jiwa patriotisme yang utuh akan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan negara, di mana sahaja dirinya berada. 

Demokrasi matang bermaksud mempunyai semangat cintakan negara serta memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan dalam mengamalkan sistem demokrasi negara.

Oleh itu penguasaan ilmu pengetahuan dan kefahaman rakyat berhubung dengan sejarah Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu dipertingkatkan melalui pembelajaran sepanjang hayat. Usaha memperkukuh integrasi nasional antara negeri dan wilayah dari aspek kepelbagaian etnik serta kefahaman budaya dan adat resam perlu dimantapkan.

2. Identiti Nasional

Matlamat membina sebuah bangsa yang berjaya perlu seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan, penyatupaduan dan kesepaduan sosial dalam kepelbagaian etnik dan agama serta kerencaman budaya dan adat resam yang kita miliki. 

Malaysia mempraktikkan cara mengikut acuannya yang tersendiri dalam membina dan merekayasa identiti nasional di samping memastikan hubungan antara etnik sentiasa terpelihara. Sepertimana yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030:

“Perpaduan melalui negara bangsa ialah masyarakat yang memahami, menghormati dan bertanggungjawab bagi memastikan Malaysia terus membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua.”

3. Ekosistem Perpaduan

Ekosistem perpaduan menyediakan persekitaran dan ruang yang kondusif bagi menggalakkan dan mencambahkan benih perpaduan dalam masyarakat dengan mengambil kira cabaran, persekitaran dan pengaruh global. Peranan dan tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh pelbagai pihak termasuklah pemimpin politik, agensi Kerajaan, pihak swasta, pengamal media, NGO, masyarakat sivil dan rakyat secara keseluruhannya.

Setiap komponen dalam ekosistem saling berkait dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Aspek komunikasi, tapak integrasi, tadbir urus jentera perpaduan, keluarga dan komuniti, undang-undang serta peranan pemimpin perlu diberikan perhatian dalam mewujudkan persekitaran yang membudayakan perpaduan.

Sumber:

  1. Kementerian Perpaduan Malaysia
  2. Jabatan Penerangan Malaysia
  3. Bernama

Baca juga;

RELATED ARTICLES

Most Popular