Saturday, October 5, 2024
HomeArtikelPersoalan Tentang Yakjuj Dan Makjuj

Persoalan Tentang Yakjuj Dan Makjuj

Perkataan Yakjuj dan Makjuj dan Pengertiannya

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, yaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.

Personaliti Tentang Yakjuj Dan Makjuj

Yakjuj dan Makjuj adalah daripada umat manusia iaitu dua kabilah. Dikatakan daripada  Yaputh bin Nuh. Ini dikuatkan lagi daripada hadis Bukhari. Sifat mereka sangat banyak. Antaranya adalah kekuatannya yang amat luar biasa, mata mereka sepit, banyak bulu pada badan mereka dan jumlah mereka yang tersangat ramai.

Manakala Ibnu Hajar menyebut 3 sifat iaitu jasad mereka seperti pohon besar, jasad mereka empat hasta lebar darab empat hasta tinggi dan sebahagian mereka boleh duduk di atas telinga-telinga mereka seleret ke tanah. Walaupun begitu, sifat ini tidak disandarkan pada riwayat yang sahih, tetapi didhaifkan sifat tersebut oleh sebahagian ulama’.

Bilangan Yakjuj dan Makjuj juga tersangat ramai. Bilangan mereka teramat ramai. Ini berdasarkan hadis di mana bilangan mereka tanpa diketahui jumlahnya. Dalam hadis al-Hakim melalui kitabnya al-Istadrakh menyebut: Manusia dibahagikan kepada 10 juzuk dan 9/10 daripadanya Yakjuj dan Makjuj sedangkan sejuzuk yang lain adalah semua makhluk atau manusia.

Mereka adalah yang kufur dengan Allah. Kalaulah tidak, nescaya tidak dihukum ke atas mereka serentak. Ini berdasarkan mafhum hadis. Berdasarkan riwayat hadis, mereka dikurung dan disekat antara dua gunung yang besar di Turki. Apabila mereka keluar, mereka terus menuju ke Laut Mati dan meminum semua air tersebut. Kemudian mereka menuju ke Baitul Maqdis, Palestin.

Mengikut riwayat yang sahih, mereka keluar pada zaman Nabi Allah Isa bin Maryam selepas turunnya Nabi Isa dan dia membunuh Dajjal dan ketika itulah keluarnya Yakjuj dan Makjuj menyebabkan Nabi Isa telah membawa bersamanya orang yang beriman ke gunung yang berhampiran iaitu gunung Thur. Ini bertujuan untuk berlindung kerana ramainya jumlah Yakjuj dan Makjuj seperti ombak laut yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya.

Sekarang ini dengan kemudahan teknologi bahkan melalui udara dan satelit yang mungkin dapat mengesan tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini, kudrat Allah SWT yang boleh melakukan apa saja. Berdasarkan nas hadis menunjukkan mereka berada di dalam tanah dan percubaan untuk keluar berlaku dari semasa ke semasa. Samalah seperti kita beriman adanya jin dan di manakah mereka.

Mengikut riwayat Nawwas bin Sam’an bahawa Yakjuj dan Makjuj telah dibala dengan leher mereka dimakan ulat dan mereka mati serentak, selepas itu Nabi Isa dan pengikutnya turun ke bumi. Mereka tiada tempat kerana dipenuhi jasad Yakjuj dan Makjuj dan bau jasad mereka yang tidak baik.

Kemudian Allah SWT utuskan burung seperti leher-leher unta memakan dan membawa mereka mengikut kehendak Allah SWT. Selepas itu Allah SWT menurunkan hujan membasuh bumi hingga menjadi suci.

Bilakah Golongan Ini Akan Muncul Dan Kalau Mereka Manusia, Apakah Agama Mereka?

Sebagai orang yang beriman, kita meyakini akan keluarnya Yakjuj dan Makjuj berdasarkan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, secara jelas dan nyata. Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan Adam, yakni manusia. Disebut bahawa Ya’juj itu satu kabilah dan Ma’juj satu kabilah yang lain.

Berdasarkan kepada nas menunjukkan Yakjuj dan Makjuj adalah umat yang kafir yang kufur dengan Allah SWT. Hal ini mengikut riwayat al-Bukhari (3348) menyebut, daripada Abu Said al-Khudri RA daripada Nabi SAW:

” يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: ” يَا آدَمُ، فَيَقُولُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالخَيْرُ فِي يَدَيْكَ، فَيَقُولُ: أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ، قَالَ: وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟، قَالَ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ، فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا، وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى، وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيُّنَا ذَلِكَ الوَاحِدُ؟ قَالَ [ص:139]: ” أَبْشِرُوا، فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفً

Maksudnya: Allah Taala berfirman (pada Hari Kiamat), “Wahai Adam!”. Maka jawab baginda Adam AS, “Aku datang dengan penuh ketaatan, dan kebaikan adalah milik-Mu juga”. Allah berfirman, “Keluarkanlah ba’thun nar!” Baginda bertanya, “Apakah ba’thun nar itu?” Allah berfirman, “Dari setiap 1000 orang, 999 orang sebagai Ba’thun nar (yakni penghuni neraka). Saat itulah anak kecil menjadi tua. “Dan gugurlah segala kandungan wanita yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Akan tetapi azab Allah itu sangat keras“ (QS. Al Hajj: 2).Para sahabat bertanya, “Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu?” Baginda bersabda, “Bergembiralah! Sesungguhnya dari kalian satu orang dan dari Yakjuj dan Makjuj itu seribu orang”.

Dalam kitab Ashrāt al-Sa`ah ada menyebut:

Zaman keluar mereka selepas turunnya Nabi Isa bin Maryam AS dan dikatakan selepas Nabi Isa AS membunuh Dajjal. Dalil keluarnya Yakjuj dan Makjuj seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’, ayat 96:

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ

Maksudnya: (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

Adakah Yakjuj dan Makjuj dari keturunan Nabi Nuh?

Pandangan yang disebarkan menerusi internet itu dikemukakan berdasarkan logik akal dan pandangan geosains terhadap sifat Yakjuj dan Makjuj yang antara lain terletak antara dua gunung, merosakkan bumi, bersifat gelombang yang menyala, boleh disekat menggunakan tembok dan akan turun dari tempat yang tinggi.

Bagaimanapun, majoriti ulama silam dan pengkaji Islam termasuk Yusuf Abdullah Yusuf Al-Wabil, meyakini bahawa Yakjuj dan Makjuj ialah manusia berdasarkan penerangan mengenainya yang tertera dalam banyak hadis termasuk hadis sahih.

Dalam kitabnya Tanda-tanda Kiamat, Yusuf menjelaskan Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan Nabi Nuh as menerusi anak baginda iaitu Yafitz. Antara ciri bangsa Yakjuj dan Makjuj ialah bermata sepet, hidung kecil, berambut perang, dahi lebar dan tidak fasih berbicara.

Apakah Asal Kewujudan Yakjuj Dan Makjuj?

Asal kewujudan Yakjuj dan Makjuj pula tertera dalam ayat ke-92 hingga 98 daripada surah al-Kahfi yang bermaksud: “Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.

Mereka berkata: `Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’.

Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan besi.

Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.

Maka mereka tidak boleh mendakinya dan mereka tidak boleh (pula) melubangkannya. Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar.

Keyakinan terhadap adanya Yakjuj dan Makjuj tidak sahaja dipercayai seluruh umat Islam tetapi turut dipercayai penganut agama lain. Justeru, kewujudan Yakjuj dan Makjuj terus dikaji penyelidik yang bingung memikirkan pelbagai misteri yang menyelubunginya – apakah ia sebenarnya? Di manakah ia berada ketika ini serta benarkah ia memiliki kemampuan luar biasa yang dapat memusnahkan manusia.

Bagi merungkai segala misteri itu, penyelidik menggunakan pelbagai petunjuk antaranya menerusi al-Quran, jelas dinyatakan Yakjuj dan Makjuj pernah hidup di suatu lokasi yang menjadi laluan Zulkarnain dan mereka `dikurung’ di sebalik tembok besi di wilayah berkenaan.

Jenis Kerosakan Yang Dilakukan Yakjuj Dan Makjuj

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

MaksudnyaMereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

(Surah al-Kahfi: 94)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman menceritakan tentang Dzu al-Qarnain. Kemudian ia menempuh jalan yang lain lagi. Dengan kata lain, ia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan kedua bukit itu, yakni dua buah gunung, yang di antara keduanya terdapat satu lubang, yang keluar darinya Ya’juj dan Ma’juj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka berbuat kerosakan, merosakkan tanaman dan keturunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/297-298)

Al-Alusi berkata: Iaitu mereka mengganas dengan membunuh, merosakkan dan segala bentuk kerosakan terhadap manusia. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/479)

Al-Maraghi berkata: Sebenarnya Ya’juj dan Ma’juj telah melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, perampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua yang bernyawa.

Al-Kalbi berpendapat: “Mereka ini keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan diseksa dan dibunuh.” Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.

Kesudahan Yakjuj dan Makjuj

إِذْ أَوْحَى اللَّهُ إِلَى عِيسَى إِنِّى قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِى لاَ يَدَانِ لأَحَدٍ بِقِتَالِهِمْ فَحَرِّزْ عِبَادِى إِلَى الطُّورِ. وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ. وَيُحْصَرُ نَبِىُّ اللَّهُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لأَحَدِكُمُ الْيَوْمَ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهُمُ النَّغَفَ فِى رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الأَرْضِ فَلاَ يَجِدُونَ فِى الأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلاَّ مَلأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لاَ يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلاَ وَبَرٍ فَيَغْسِلُ الأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ثُمَّ يُقَالُ لِلأَرْضِ أَنْبِتِى ثَمَرَتَكِ وَرُدِّى بَرَكَتَكِ.

Maksudnya:

Ketika Allah SWT mewahyukan kepada Isa AS: Sesungguhnya aku mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kemampuan bagi seorang pun untuk memeranginya. Maka biarkanlah hamba-hamba-Ku menuju Tur.

Lalu Allah SWT keluarkan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Kemudian mereka melewati tasik Tabariyah, dan meminum seluruh air yang ada padanya. Hingga ketika barisan paling belakang mereka sampai di tasik tersebut, mereka berkata: “Sungguh dahulu di sini masih ada airnya.”

Ketika itu terkepunglah Nabi Allah Isa AS dan para sahabatnya. Hingga kepala lembu ketika itu lebih berharga bagi mereka daripada seratus dinar kamu sekarang ini. Maka Nabi Isa dan para sahabatnya bermohon kepada Allah SWT.

Maka Allah SWT pun mengirim sejenis ulat yang muncul di leher mereka (Ya’juj dan Ma’juj). Maka pada pagi harinya, mereka seluruhnya binasa menjadi bangkai-bangkai dalam waktu yang hampir bersamaan.

Kemudian turunlah Nabi Allah Isa dan para sahabatnya (dari gunung Tuur). Maka tidak didapati satu jengkal pun tempat kecuali dipenuhi oleh bangkai dan bau busuk mereka. Maka Nabi Isa AS dan para sahabatnya pun berdoa kepada Allah SWT.

Maka Allah mengirimkan burung-burung yang lehernya seperti unta, membawa bangkai-bangkai mereka dan kemudian dilemparkan di tempat yang Allah kehendaki. Kemudian Allah kirimkan hujan yang tidak menyisakan satu pun rumah mahupun khemah, lalu membasahi bumi hingga menjadi licin. Kemudian dikatakan kepada bumi itu: ‘Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalilah berkahmu…”

Riwayat Muslim (7560)

Penulis; Amirul Fahmi bin Ahmad Shan Wani, pelajar tahun 3 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular