Friday, May 22, 2026
HomeArtikelPertambahan Pekerja Asing Dalam Sektor Kritikal Di Malaysia

Pertambahan Pekerja Asing Dalam Sektor Kritikal Di Malaysia

Dalam meniti arus kemodenan ini, Malaysia semakin dibanjiri oleh pekerja asing di dalam sektor kritikal sehinggakan pendatang asing dilihat di merata-rata tempat. Adakah betul bahawa peluang pekerjaan di Malaysia semakin berkurang disebabkan tiada peluang pekerjaan yang cukup ataupun peluang pekerjaan itu ada tetapi disebabkan rakyat Malaysia sendiri yang menolak untuk bekerja di dalam bidang-bidang pekerjaan yang memerlukan kerahan tenaga yang tinggi? Natijahya, bidang pekerjaan di dalam sektor kritikal seperti sektor perkhidmatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian dipenuhi oleh pekerja asing. Jadi marilah kita bersama-sama menyulusuri dan mengupas topik ini dengan lebih lanjut.

Pertambahan pekerja asing di dalam negara Malaysia disebabkan oleh kemiskinan dan desakan hidup di negara mereka. Pekerja asing kebanyakannya datang dari negara Bangladesh. Mereka akan cuba sebaik mungkin merebut peluang untuk mendapatkan pekerjaan di negara Malaysia kerana di negara mereka tiada pekerjaan yang sesuai untuk mereka lakukan. Contohnya, mereka akan diterima bekerja dengan mudah jika mereka sudah mempelajari kemahiran dalam pembinaan. Mereka mesti bekerja membanting tulang bagi menyara kehidupan keluarga mereka yang ada di Bangladesh. Kadar bayaran gaji yang mereka perolehi di negara Malaysia sudah dapat menampung perbelanjaan seharian dan keluarga mereka. Oleh itu, pekerja asing ini sentiasa mengambil peluang yang ada kerana apabila mereka bekerja di Malaysia memberikan mereka lebih banyak keuntungan berbanding bekerja di negara mereka sendiri.

Selain itu, rakyat tempatan yang terlalu memilih pekerjaan. Mereka menginginkan pekerjaan yang lebih selesa, mudah dilakukan, tidak perlu pening kepala dalam menyiapkan kerja dan pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi. Lebih-lebih lagi dalam golongan orang muda yang baru sahaja bergraduasi. Itulah pandangan mereka di dalam bidang pekerjaan pada masa kini sedangkan duit tu perlulah diraih dengan usaha yang tinggi.

Setiap perkara yang kita inginkan tidak akan datang begitu sahaja diibaratkan seperti yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Majikan juga mestilah memberikan bayaran yang sesuai kepada pekerja berdasarkan pekerjaan yang mereka lakukan. Majikan tidak boleh memandang rendah terhadap gaji yang diberi kepada pekerja dengan hanya memberi gaji yng sedikit kepada mereka kerana mereka melakukan pekerjaan yang biasa dilalukan seperti pekerjaan buruh. Hal ini mesti dititikberatkan agar dapat berlaku adil dan saksama kepada pekerja.

Sudah terang lagi bersuluh, kadar jenayah juga semakin bertambah dari segi jenayah samun, pecah rumah, penagih dadah dan kongsi gelap. Hal ini amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana keselamatan mereka tergugat dengan adanya kehadiran mereka yang membahayakan keadaan sekeliling. Jangan disebabkan oleh jenayah yang tidak dibendung, imej dan maruah negara Malaysia akan tercalar diibaratkan seperti telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Kebanyakan pendatang asing yang datang ke negara ini mempunyai latar belakang sosioekonomi yang rendah. Dengan taraf pelajaran yang rendah dan pegangan agama yang sedikit, mereka akan mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan. Cabaran hidup di bandar mendorong mereka melakukan pelbagai gejala negatif. Oleh sebab itu mereka lebih mudah untuk cenderung melakukan jenayah.

Salah satu cara utama untuk menangani masalah kemasukan pendatang asing secara mendadak adalah dengan mengehadkan kemasukan dan kebergantungan kepada pekerja asing. Pengambilan pekerja asing mestilah mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan. Dengan had yang telah ditetapkan bagi pekerja asing  dalam sektor kritikal ini, mudah untuk pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kehadiran pendatang asing tanpa izin yang datang bekerja di tempat yang tidak sepatutnya.

Hal ini perlu dititikberatkan supaya dapat mengelakkan pendatang asing mengambil mudah tentang pengurusan dokumen yang sah untuk masuk ke dalam Malaysia. Jika dilihat sekarang terdapat ramai pendatang asing yang ditangkap kerana masuk ke dalam Malaysia tanpa dokumen yang sah. Jelasnya, sebelum pihak ejen dan majikan mengambil pendatang asing untuk bekerja mereka perlulah memastikan bahawa mereka mempunyai dokumen yang sah.

Selain itu, kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat. Tindakan ini perlu dilakukan bagi mengelakkan pendatang haram masuk ke dalam negara tanpa dokumen yang sah dengan mudah. Pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya hanya melepaskan batuk di tangga berkaitan dengan kemasukan pendatang asing ini kerana ia akan mendatangkan banyak kesan buruk yang akan berlaku kepada negara.

Masyarakat juga haruslah peka terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja asing ini, jika ada sebarang  aktiviti yang meragukan, mereka hendaklah melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa juga mestilah menjaga perairan negara dengan lebih cekap kerana pendatang asing suka menggunakan jalan laut kerana lebih mudah untuk menyusup ke dalam negara. Oleh hal demikian, pelbagai cara perlu dilakukan untuk mencegah pendatang asing dengan apa-apa cara sekalipun.

Sebagai penutup, jelaslah bahawa kedatangan buruh asing ini memberikan implikasi negatif lebih banyak daripada implikasi positif kepada negara kita. Walaupun sesetengah pihak berpendapat bahawa kemasukan pekerja asing ke dalam negara kita dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi negara, namun kesan negatif yang dilihat semakin  berlarutan berlaku dalam kalangan pendatang asing perlu dicegah dengan segera.

Pihak kerajaan dan masyarakat perlulah berganding bahu bagi menangani masalah ini kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Para majikan harus mengubah sikap dengan mendahului rakyat tempatan untuk dijadikan sebagai pekerja. Inilah masanya negara Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing supaya negara kita lebih terus maju ke hadapan.

Penulis: Siti Nur Izzwa Najlia Binti Jefri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular