Thursday, March 28, 2024
HomeArtikelPerubahan Kehidupan Sosial Pada Pasca COVID-19

Perubahan Kehidupan Sosial Pada Pasca COVID-19

Coronavirus atau lebih dikenali sebagai (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus corona. Penyakit ini bermula pada bulan Disember 2019 di Wuhan, China. Wabak ini telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Justeru, disebabkan wabak ini telah merebak ke seluruh dunia dan telah menyebabkan kadar kematian yang tinggi, pihak berwajib telah mengambil inisiatif bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini menjadi lebih teruk.

Oleh hal yang demikian, pandemik Covid-19 telah menyebabkan perubahan sosial yang besar dalam komuniti. Perubahan sosial ini  adalah sesuatu yang tidak direncanakan dan terjadi secara sporadis (secara tiba-tiba dan tidak merata). Hal ini telah menyebabkan, rakyat merasa kehadiran wabak ini tidak dikehendaki.

Selain itu, kondisi masyarakat yang belum siap untuk menerima perubahan kehidupan sosial akibat pandemik Covid-19 tentu telah menggoyahkan nilai dan norma sosial yang telah berkembang dan dianut oleh masyarakat selama ini.

Pandemik ini telah menyebabkan perubahan  kehidupan dalam waktu yang singkat.  Menurut Max Weber dalam buku yang bertajuk Sociological Writings, perubahan sosial adalah perubahan situasi dalam masyarakat sebagai akibat dari adanya ketidaksesuaian unsur-unsur di dalamnya.

Selepas itu, harus kita akui bahawa kesan pandemik Covid-19 telah memaksa masyarakat untuk mereka menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk perubahan sosial yang berlaku akibat pandemik Covid-19.

Oleh hal yang demikian, pelbagai masalah yang timbul telah membawa kepada transformasi sosial. Maka tidak mustahil peradaban dan tatanan kemanusiaan akan banyak berlaku perubahan dari zaman dahulu.

Dalam pada itu, wajah dunia selepas wabak mungkin tidak akan kembali kepada keadaan asalnya. Bak kata cendekiawan, Yuval Noah Harari yang menyatakan dalam artikel yang bertajuk “The World After Coronavirus” yang diterbitkan dalam Finacial Times pada 20/03/2020 bahawa ‘badai pasti berlalu, manusia mampu bertahan, namun dunia yang kita tempati akan sangat berbeza dengan dunia sebelumnya’.

Seperti yang kita sedia maklum, apabila masyarakat diperkenalkan dengan normal baru dalam kehidupan sosial mereka. Hal yang demikian kerana, normal baru ini dilakukan bagi mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Namun demikian, jika normal baru ini tidak dilakukan dengan disiplin yang tinggi oleh masyarakat, ia boleh membuatkan kes Covid-19 meningkat secara mendadak. Pandemik Covid-19 ini telah memaksa masyarakat untuk adaptif dengan situasi baru dan segala perubahan sosial yang berlaku.

Masyarakat pada masa kini perlu banyak melakukan perubahan sosial dari pelbagai aspek. Sebagai contoh, dari aspek pendidikan pelajar perlu menjalankan sesi pembelajaran secara atas talian (online) atau secara hybrid iaitu gabungan belajar secara atas talian dan secara bersemuka. Perkara ini juga berlaku kepada sesetengah pekerja yang diminta untuk bekerja dari rumah.

Seterusnya, dari aspek keagamaan umat Islam di Malaysia ini diminta untuk melakukan solat di rumah. Di masjid pula mereka perlu menjarakkan kan saf pada jarak satu meter serta para jemaah perlu memakai pelitup muka dan membawa sejadah mereka sendiri.

Di pasaraya terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti oleh masyarakat. Setiap individu diminta mempunyai aplikasi ‘MySejahtera’ bagi memastikan individu itu telah lengkap divaksin dan berada dalam keadaan yang kurang berisiko. Setiap premis juga mempunyai alat pengimbas suhu bagi memastikan suhu badan manusia berada dalam keadaan yang normal.

Selain itu, masyarakat kini juga perlu menukar pola kehidupan sosial mereka kepada normal baru. Misalnya, sebarang aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP). Penganjur majlis (tuan rumah) perlu mengambil maklum untuk tidak menjemput ramai tetamu.

Di samping itu, para tetamu juga dinasihatkan untuk tidak bersalam-salaman atau memeluk ketika berjumpa dengan tuan rumah. Langkah-langkah yang dilakukan ini adalah bagi memastikan tiada berlakunya kes Covid-19 di sesebuah majlis perkahwinan atau majlis-majlis sosial yang lain.

Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah kehidupan sosial dalam komuniti. Perkara ini juga telah banyak meninggalkan impak positif dan negatif dalam masyarakat. Impak positif daripada pandemik Covid-19 ini ialah kita dapat melihat kesepaduan antara kaum di negara menjadi lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Hal ini dapat dibuktikan apabila rakyat yang kehilangan pekerjaan atau hilang punca pendapatan telah dibantu oleh masyarakat setempat tanpa mengira kaum bagi memastikan kebajikan setiap orang dijaga dengan sebaiknya.

Selain itu, apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada masyarakat, ia sekali gus membuka sebuah kehidupan yang baharu. Perkara ini telah banyak mengubah kehidupan sebuah keluarga yang tidak rapat menjadi lebih rapat, hubungan sesama jiran bertambah baik dan sifat prihatin dapat dipupuk semula.

Namun demikian, pandemik Covid-19 juga telah mendatangkan impak negatif dalam komuniti. Wabak ini telah menyebabkan ramai orang menjadi penggangur dalam sekelip mata. Seluruh dunia amat terkesan dengan wabak ini kerana menyebabkan ekonomi bertambah buruk.

Selain itu, wabak ini juga telah meragut jutaan nyawa manusia di seluruh negara sekali gus menyebabkan masyarakat kehilangan orang tersayang. Impak negatif ini juga telah meninggalkan kesan dalam jangka pajang kerana ia berkaitan dengan keadaan mental masyarakat. Tekanan ini terjadi akibat perubahan sosial yang berlaku dalam kehidupan mereka secara mendadak dan  mereka amat memerlukan sokongan dari ahli keluarga dan rakan terdekat agar tekanan ini dapat dikurangkan.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa wabak Covid-19 ini telah menyebabkan banyak perubahan sosial dalam komuniti. Tidak ada masyarakat di negara ini yang tidak terkesan dengan wabak ini. Masyarakat tidak menyangka bahawa tahun 2020 menjadi sebuah tahun yang banyak meninggalkan perubahan dalam kehidupan mereka.

Dalam sekelip mata mereka perlu menyesuaikan diri dengan normal baru agar kesihatan mereka dapa dijaga dengan baik. Setiap masyarakat di Malaysia telah diwajibkan memakai topeng muka apabila mereka keluar dari rumah jika tidak mereka akan didenda.

Sebagai masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia seharusnya kita menggalas tanggungjawab bersama-sama untuk mengembalikan kehidupan sosial serta ekonomi negara ke arah lebih baik. Sikap penting diri perlu dibuang kerana kita bukan sahaja menjaga diri sendiri tapi perlu menjaga orang di sekeliling kita.

Penulis; Nur Alya Binti Abdul Rahman, Pelajar Tahun 1 Kelab Integrasi Komuniti Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular