Dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar semasa pandemik Covid-19 ini, banyak jiwa-jiwa yang terkorban dan keluarga yang bergelut demi kelangsungan hidup mereka. Ada yang diuji dengan kehilangan insan tersayang, kehilangan punca pendapatan, terpisah dengan keluarga dan sebagainya.
Tidak dilupakan juga mereka yang bertarung dengan diri dan mental sendiri untuk kekal positif di samping pelbagai kesulitan yang dihadapi. Namun begitu, tanpa kita sedari dalam memupuk pemikiran yang positif untuk menghadapi semua masalah tersebut, kadangkala ianya membawa kepada positiviti toksik.
Positiviti toksik adalah penafian seseorang dalam menghadapi sesuatu perkara negatif dan menganggap pemikiran positif adalah satu-satunya jalan keluar daripada masalah. Selain daripada mendepani hakikat masalah tersebut, mereka lebih memilih untuk bersikap palsu di hadapan orang ramai dan menutupi kesedihan mereka dengan memakai topeng kebahagiaan.
Dr. Jaime Zuckerman, seorang pakar psikologi klinikal di Pennsylvania mengatakan bahawa “positif toksik, pada intinya, adalah strategi penghindaran yang digunakan oleh seseorang untuk menghilangkan sebarang ketidakselesaan dalaman yang dihadapi”. Namun hakikatnya, apabila mereka menafikan emosi mereka, ianya menyebabkan perkara yang lebih teruk berlaku terhadap mental dan juga fizikal mereka.
Tidak dinafikan, kita semua pernah bertemu dengan orang-orang yang sentiasa ceria, bermotivasi dan gembira dalam setiap perkara yang mereka lalui. Golongan ini dipenuhi dengan cogan kata yang jelas dan positif untuk menangani masalah kehidupan mereka, tidak kira besar atau kecil.
Anda mungkin akan menyedari bahawa ketika anda bercakap dengan mereka mengenai situasi buruk yang sedang anda hadapi, mereka akan menaburkan anda dengan kata-kata stereotaip yang dianggap ianya dapat membuatkan masalah anda hilang dalam sekelip mata.
Sebagai contoh apabila anda hilang pekerjaan semasa pandemik, mereka akan menasihati anda “Ada orang yang lebih susah kehidupan mereka” atau anda baru-baru ini didiagnosis dengan penyakit kritikal seperti barah? mereka berkata “Awak perlu sentiasa berfikiran positif!” ataupun anda kehilangan orang tersayang? mereka akan berkata “Jangan terlampau bersedih, bukan awak seorang yang mengalaminya” dan sebagainya.
Menginginkan kebahagiaan dan kebebasan orang lain daripada kesedihan atau kesakitan hakikatnya tidaklah buruk. Kita sendiri percaya bahawa pernyataan seperti ini dilontarkan hanya untuk menyenangkan keadaan orang yang menghadapi masalah tersebut.
Tetapi malangnya, ia timbul dari secebis kebodohan yang tidak disedari kerana apabila difikirkan ianya tidaklah seindah dan semudah yang diperkatakan untuk melupakan segala masalah yang dihadapi oleh seseorang. Tambahan pula, perkara yang menjadi perhatian di sini ialah ungkapan-ungkapan tersebut melibatkan penafian terhadap hakikat kehidupan yang tidak dapat dielakkan iaitu kesedihan.
Kita mungkin dapat mengalihkan perhatian kita daripada emosi ini dengan mengatakan, “Semuanya akan berakhir!” atau “Berhentilah bersikap negatif!” ataupun “Segala-galanya akan baik.”
Tidak dinafikan, berfikiran positif itu adalah satu cara untuk kembali pulih daripada sesuatu keadaan namun bukanlah dengan menafikan perasaan sedih dan dukacita itu. Sebagai seorang manusia yang normal, kita berhak untuk merasa sedih tetapi tidaklah keterlaluan sampai memberi kesan yang lebih buruk kepada diri sendiri dan orang lain.
Malah, jika kita menolak perasaan tersebut dan tidak memahami emosi sebagai seorang manusia seperti kesedihan dan kemarahan, ia hanya akan menjadikan keadaan mental seseorang lebih buruk.
Secara lebih jelas lagi, positif toksik adalah percubaan seseorang untuk memaksa diri mereka merasa bahagia dengan menafikan setiap perkara negatif yang mereka hadapi. Manakala, pemikiran positif yang sebenarnya ialah menerapkan sikap positif terhadap situasi yang dialami di samping menerima realiti perkara negatif tersebut.
Ia merupakan cara yang seimbang untuk bersikap positif dan secara langsung dapat memberi ruang kepada diri sendiri untuk menerima realiti yang dihadapi supaya kita akan lebih memahami dan belajar untuk meneruskan kehidupan. Kita perlu mengakui emosi kita kerana ia adalah sebahagian daripada diri kita yang Tuhan telah ciptakan.
Sejujurnya, agak naif untuk kita mengharapkan manusia itu untuk sentiasa bahagia atau senang dalam hidup kerana daripada kesakitan itu mereka akan belajar erti kebahagiaan dan bersyukur.
Tambahan pula, hakikat kehidupan ini bukanlah aspek kebaikan sahaja yang kita akan lalui sepanjang hidup namun ianya penuh dengan warna-warni. Menolak sama ada baik atau buruk bermaksud menolak perbuatan alam.
Pada dasarnya, setiap orang di dunia ini walaupun orang yang paling berjaya sekalipun, mereka pasti pernah melalui sisi gelap dalam hidup mereka. Kadang kita diuji dengan pelbagai dugaan, kadang kita disenangi dengan pelbagai nikmat. Tetapi, semuanya untuk menjadikan kita manusia yang lebih optimis dan bahagia.
Oleh yang sedemikian, apabila kita ingin menyenangkan keadaan seseorang kita perlu lebih berwaspada iaitu daripada mengatakan “Engkau pasti akan mengatasinya“, kita boleh mengatakan; “Saya faham keadaan awak dan kesedihan yang awak alami. Itu sememangnya perkara yang sukar tetapi saya ada jika awak perlukan untuk berkongsi masalah.” Bukannya dengan “Fikirkanlah hikmah di sebalik perkara itu!”, sebaliknya kita dapat mengatakan; “Saya faham awak rasa sangat teruk dengan keadaan sekarang. Sekiranya ada apa-apa yang dapat saya lakukan untuk membuat awak rasa lebih baik, beritahu saya.”
Oleh itu, apabila kita menggantikan positif toksik dengan positif yang sebenarnya, kita membenarkan mereka untuk berasa sedih supaya perkara itu dapat dilepaskan dengan cara yang betul justeru dapat mengurangkan beban yang mereka hadapi.
Kesimpulannya, orang yang memaksa anda untuk sentiasa bersikap positif, untuk berhenti berduka dan yang hanya ingin bergaul dengan anda ketika anda membawa “positive vibes“, sama sekali bukanlah pengaruh yang positif.
Mereka mencerminkan penafian mereka untuk menghadapi kebenaran dengan memaksa anda memakai topeng yang menyerupai diri mereka. Dengan berbuat demikian, mereka hanya membahayakan diri sendiri dan orang lain dengan menyangkal spektrum lengkap manusia yang mempunyai akal dan emosi.
Akhir kata, perasaan sedih itu bukanlah satu perkara yang salah untuk dirasai namun carilah penyelesaian untuk mengatasinya dengan baik.
Penulis; Anis Suraya binti Mohd Yusoff, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
.