Sunday, October 6, 2024
HomeArtikelPostur Tidur Dari Perspektif Islam Dan Kesihatan

Postur Tidur Dari Perspektif Islam Dan Kesihatan

Tidur merupakan suatu aspek penting dalam kehidupan manusia. Selain memberi rehat kepada badan, tidur juga memainkan peranan dalam pemulihan dan penyembuhan badan serta minda. Akan tetapi, suka penulis kongsikan di sini satu perkara yang mungkin dipandang remeh dalam kehidupan seharian kita tetapi kesannya amatlah besar iaitu kedudukan postur badan ketika kita tidur.

Kira-kira satu pertiga daripada hidup kita diisi dengan tidur, namun kedudukan di mana kita tidur sering diketepikan sebagai tidak penting. Tambahan pula, penyelidikan menunjukkan bahawa cara kita meletakkan badan semasa tidur boleh menjejaskan kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Selain dari aspek kesihatan, postur tidur juga sering diperkatakan dalam Islam. Oleh itu, mari kita sama-sama lihat apakah integrasi antara pandangan Islam dan kesihatan terhadap postur kita tidur.

Tidur Mengiring Sebelah Kanan

Bagi umat Islam, tuntutan untuk tidur mengiring sebelah kanan memang sudah tidak asing lagi seiring dengan kata-kata Rasulullah SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (6544) bermaksud, : “Jika engkau hendak menuju pembaringanmu, maka berwudhulah seperti engkau berwudhu untuk solat, kemudian berbaringlahlah di rusukmu sebelah kanan “.

Dalam pada itu, tidur mengiring sebelah kanan ini juga membawa pelbagai manfaat terhadap kesihatan, antaranya mengurangkan tekanan pada jantung yang terletak di sebelah kiri dada manusia. Dengan tidur dalam posisi ini, tekanan pada jantung menjadi lebih ringan kerana tidak perlu mengepam darah ke seluruh tubuh dengan begitu kuat.

Selain itu, tidur di sisi kanan juga dapat meningkatkan kualiti pernafasan dan menurunkan tekanan darah lalu membawa kepada tidur yang lebih berkualiti. Dari sisi lain, tidur di sebelah kiri boleh menyebabkan tekanan pada jantung yang lebih tinggi kerana dada terhimpit yang pada akhirnya boleh menjadi penyebab peningkatan tekanan darah ketika tidur.

Selain daripada itu, tidur di sisi kanan juga dapat membantu proses pencernaan kerana posisi mengiring sebelah kanan ini membantu mengisi usus besar hingga ke bahagian dubur manusia dengan lebih pantas. Hal ini akan memudahkan seseorang untuk membuang air besar serta mengelak dari masalah sembelit.

Kemudiannya, tidur di sisi kanan juga dapat membantu mengatasi masalah dengkur. Dalam posisi ini, bunyi dengkuran dapat dikurangkan dan pernafasan menjadi lebih lancar kerana lidah, mulut, dan rahang berada dalam posisi yang lebih selesa berbanding dengan tidur dalam posisi lain, seperti telentang.

Maka tidak peliklah mengapa Islam sangat menyarankan umat mereka untuk mempraktikkan tidur mengiring sebelah kanan ini. Oleh itu, disarankan untuk mempertimbangkan posisi tidur ini sebagai langkah untuk meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan secara menyeluruh.

Tidur Mengiring Sebelah Kiri

Bagi tidur mengiring sebelah kiri pula, tiada dalil atau hadis khusus yang menyentuh akan perkara ini. Hal ini kerana, Islam lebih menyarankan untuk tidur mengiring sebelah kanan.

Dapat kita lihat kata Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Mukhtasar Zad al-Ma’ad iaitu:

“Ada rahsia di sebalik perbuatan baginda baring mengiring sebelah kanannya. Ini kerana hati (jantung) manusia tergantung di sebelah kiri dan sekiranya seseorang itu tidur di sebelah kirinya nescaya tidurnya akan nyenyak kerana merasa senang dan enak. Adapun sekiranya seseorang itu tidur di sebelah kanannya maka dia akan merasa tidak selesa lalu tidak akan dapat tidur lena kerana hatinya merasa gusar.”

[Zad al-Ma’ad, 1/377]

Meskipun tidur sebelah kiri tidak terlalu disentuh dalam Islam, tetapi dari perspektif kesihatan pula banyak manfaatnya terutamanya bagi ibu mengandung. Ibu mengandung lebih disarankan untuk tidur mengiring sebelah kiri kerana posisi tidur mengiring ke sebelah kiri ini dapat mengelakkan urat vena besar (inferior vena cava) yang berada di sebelah kanan tulang belakang daripada dihimpit oleh janin.

Perkara ini dapat memastikan pengaliran darah yang lebih optimum dalam badan, terutamanya dari jantung ke bayi dalam kandungan, serta dapat mengurangkan tekanan pada hati. Dengan pengaliran darah yang lebih optimum ini, nutrisi dan oksigen lebih mudah disalurkan ke plasenta dan seterusnya kepada bayi.

Tidur Menelentang

Tidur dalam posisi menelentang ini dikatakan posisi yang memberikan paling banyak manfaat kepada kesihatan. Ia tidak hanya melindungi tulang belakang, tetapi juga dapat mengurangkan ketidakselesaan pada pinggul dan lutut. Menurut penjelasan dari pakar, tidur dalam posisi terlentang ini menggunakan graviti untuk memastikan bahawa badan tetap sejajar dan selari dengan tulang belakang. Ini akan membantu mengurangkan tekanan yang tidak perlu pada punggung atau sendi. Tambahan pula, meletakkan bantal di bawah lutut dapat membantu menyokong lekukan semula jadi tulang belakang.

Selain itu, tidur menelentang dengan kepala ditinggikan dapat membantu meredakan hidung tersumbat, khususnya akibat sinusitis. Hal ini kerana daya graviti akan membuat cairan hingus mengalir dan mengelakkan daripada hidung tersumbat

Tidur menelentang juga tidak dilarang dalam Islam berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Sahih Muslim. Daripada Abdullah bin Zain al-Mazini bermaskud “Dia melihat Rasulullah SAW baring terlentang di dalam masjid, sambil meletak salah satu kakinya atas kaki yang lain”.

Jadinya, jika sudah bosan tidur mengiring, boleh cuba tidur menelentang pula.

Tidur Meniarap

Tidur dalam keadaan meniarap membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan terhadap kesihatan. Posisi meniarap ini akan membuatkan tekanan berlebihan pada leher dan tulang belakang sekali gus meningkatkan risiko untuk leher terseliuh berlaku. Tambahan pula tulang belakang tidak mendapatkan sokongan yang cukup kerana posisi tubuh yang melengkung lalu menyebabkan rasa tidak selesa dan sakit.

Selain itu, tidur dalam posisi meniarap juga dapat menyebabkan masalah pernafasan, terutamanya pada orang mereka yang menderita ‘sleep apnea’. Posisi ini juga dapat menyebabkan masalah pada kulit wajah seperti munculnya kerutan atau jerawat. Hal ini kerana muka bersentuh terlalu lama dengan bantal. Oleh itu, disarankan untuk menghindari tidur dalam posisi meniarap dan mencari posisi tidur yang lebih selesa.

Dari segi pandangan Islam pula, Islam jelas menekankan larangan tidur secara  akan tidur meniarap seperti mana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan menggunakan kaki lalu berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW”.

Riwayat Abu Daud (5040) & al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)

Dalam hadis dengan lafaz yang lain iaitu dari Riwayat Ibn Majah, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya:  “Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka”.

Di sini jelas menunjukkan Islam sangat tidak menggalakkan umatnya untuk tidur meniarap. Tambahan pula menjadi keharusan untuk mengejutkan mereka yang tidur meniarap.

Kesimpulannya, dapat kita lihat yang Islam ini  tidak hanya menyentuh berkaitan ibadah sahaja malahan juga menyentuh akan kehidupan seharian umatnya secara menyeluruh termasuklah postur tidur. Dengan mengamalkan postur tidur yang dianjurkan oleh agama, umat Islam dapat bukan sahaja dapat memastikan tidur mereka menjadi ibadah tambahan pula dapat membawa manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental.

Penulis: Amirul Ashraf Bin Mohd Zaki, Tahun 2 Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular