Tuesday, March 19, 2024
HomeKehidupanRagam Si Bongsu Berpuasa

Ragam Si Bongsu Berpuasa

Sudah masuk hari yang kelima kita berpuasa. Alhamdulillah, syukur kita masih diberi peluang menikmati indahnya Ramadhan. Anak saya yang bongsu, Adik yang usianya 8 tahun juga dah empat hari berpuasa.

Puasa baginya bukanlah perkara baharu. Dia sudah diajar berpuasa ketika berusia 5 tahun. Puasa yang yuk, bila lapar buka periuk. Lucu mengingat detik itu. Dan mulai detik itu dia sudah tahu berpuasa walaupun ada kalanya dia seakan sudah tidak tahan untuk berbuka sebelum waktunya, dia masih berpuasa.

Apabila saya menjemputnya pulang dari sekolah pada pukul 5:30 petang (Adik bersekolah sesi petang ), dia sudah memberitahu  saya dengan muka kesian. “Balik ni adik nak buka puasa tau ibu. Adik penat, beg berat, naik turun tangga”, ceritanya tanpa diminta. Saya hanya mendengar omelannya.

Sepanjang dalam kereta, dia meneruskan lagi ceritanya, “ Ada ja kawan adik yang tak puasa tau ibu. Ok ja, budak-budak boleh kalau tak puasa kan ibu?”. Selepas memarkir kereta, saya pun mengusap kepalanya, “ Ibu ok ja kalau adik nak buka, adik letih kan. Adik pergi mandi dulu, lepas tu beritahu ayah macam yang adik beritahu ibu yaa”. Dia pantas masuk ke dalam rumah.

Seolah bertekad dengan keputusannya itu. Ketika saya di dapur saya perasan adik tidak mencari  saya. Saya pun menjenguk di ruang tamu. Saya lihat dia leka menonton televisyen. Saya pun menghampirinya lalu bertanya,”Dah bagitau ayah ka adik nak buka puasa?”. Dia menggeleng kepala seraya berkata, “Tak jadilah ibu, dah pukul enam ni, rugi adik tak puasa, nanti tak seronok nak raya”. Macam-macam la perangai anak bertuah ni.

Melihat adik berpuasa sebenarnya menuntut kekuatan dari saya sendiri. Sudah lah bersahur tiada selera menjamah nasi, hanya minum susu, berbuka pun dia kurang makan sedang kan kalau bukan bulan puasa, dia paling suka makan nasi. Vitamin pun saya sudah beri.

Namun adik tetap begitu. Ikut hati saya tidak izinkan dia berpuasa. Bila dewasa nanti dia pasti pandai berpuasa sendiri. Benarkah? Ataupun dia tak mahu berpuasa kerana tidak diajar begitu. Saya tak sanggup membayangkan anak-anak saya ponteng berpuasa. Nauzubillahi min zalik.

Tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak sedari kecil. Pelbagai didikan perlu diberikan. Bukan pendidikan yang formal. Semuanya berlaku secara tanpa kita sedari.

Ada kalanya anak-anak hanya memerhatikan kita, dia akan mempelajari sesuatu. Sebab itulah kita wajar menjadi idola terbaik untuk mereka. Janganlah bersikap seperti ketam yang mahukan anaknya berjalan lurus tanpa melihat dirinya yang berjalan senget.. Patutlah apabila anak muda bertingkah negatif, masyarakat tidak peduli siapakah dia? Mereka sibuk bertanya, “Anak siapakah itu?”.

Untuk ibu-ibu yang punya anak yang masih kecil, jangan putus asa untuk mendidik mereka berpuasa. Jika tak mampu sehari, memadai setengah hari. Asalkan mereka tahu menghormati bulan mulia ini.

Jangan pula menggunakan kaedah paksa. Biarlah kenangan ibu yang mengejutkan anak-anak bersahur, mengajar mereka melafaz niat berpuasa dan bertanya juadah yang ingin dimakan ketika berbuka menjadi memori terindah dalam hidup mereka.

Selamat memburu barakah Ramadhan.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular