Saat kematian adalah perkara benar dan wajib diyakini. Ajal pasti menjemput, tidak awal, tidak lewat walau sedikit pun. Saat itu tidak mungkin bertanya adakah kita sudah bersedia?
Belakangan ini kita mendengar berita kematian orang yang kita tidak kenali, malah orang yang kita kenali. Sering kali terpacul di mulut kita, “tak sangka si fulan dah meninggal dunia, nampak sihat sahaja.” Kita lancar pula menyambung, “ macam mana la anak-anak si fulan, kecil-kecil lagi tu.”
Namun, siapakah kita untuk membongkar rahsia Allah? Segala yang berlaku dengan izinNya pasti ada hikmah. Hikmah itulah kita sukar menafsirnya. Apakah dengan kematian seorang ibu, ada kebaikan untuk anak-anaknya yang ditinggalkan?Subhanallah…
Banyak lagi rahsia Allah yang tak mungkin kita fahami. Kita hanya dituntut untuk mempercayainya dengan penuh keimanan. Sebagai muslim sejak azali, hal ini mudah difahami. Bagi orang yang baharu mengenali Islam, mereka perlukan bimbingan dan didikan daripada sumber yang sahih.
Saya juga ada kalanya tertanya-tanya dengan suratan yang perlu ditanggung. Namun cepat-cepat saya beristighfar, dan menyakini qada’ dan qadar Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu yang kita tidak mampu pikul. Jika Allah hadirkan musibah, Dia Maha Mengetahui kita boleh melaluinya dengan sabar, tenang dan redha.
Ramai orang menyangka ujian Allah hanyalah dalam bentuk kesusahan dan penderitaan. Jarang kita menganggap kemewahan atau kesenangan sebagai ujian. Mungkin hal ini kerana kesusahan itu jelas dan nyata, ia membawa kesedihan.
Bagaimanakah pula seorang hamba Allah yang diuji dengan harta yang melimpah tetapi tiada sekelumit pun harta itu datang dari sumber yang halal? Hamba ini terus hanyut dalam kesesatan tanpa sempat bertaubat.
Oleh itu, sama ada ujian yang Allah turunkan dalam bentuk susah atau senang, kita wajar mengakui bahawa ujian adalah lumrah kehidupan. Ujian akan mengukur tahap ketakwaan kita, adakah kita redha dengan ujian ini? Mampukah kita mendepaninya atau kita tewas, langsung menyerah kalah?
Semoga ujian yang Allah beri kepada kita dapat kita atasi dengan tenang, sabar dan rasional. Carilah solusi bukan hanya menyalahkan orang lain, diri sendiri atau pun takdir. Kita perlu bangkit dan kekal optimis untuk menjalani sisa-sisa hidup yang kita sendiri tidak pasti untuk berapa lama lagi.Al-fatihah ( dibaca ) untuk mereka yang telah dijemput Ilahi akibat COVID-19.Semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama-sama para solihin.Aamin.