Monday, December 9, 2024
HomeArtikelRamadhan Kareem: Tips Kekal Proaktif Di Bulan Suci

Ramadhan Kareem: Tips Kekal Proaktif Di Bulan Suci

Tanggal 12 Mac 2024, bersamaan dengan 1 Ramadhan 1445H menurut kalendar Hijrah, umat Islam di seluruh Malaysia menyambut ketibaan bulan suci ini dan mula berpuasa selama sebulan. Sedar atau tidak, bulan yang ditunggu-tunggu ini sudah pun tiba.

Bagi mereka yang cakna dengan ketibaan bulan ini, tentulah mereka telah bersedia lebih awal dari segi fizikal, mental dan rohani. Bagaimana pula dengan anda yang masih tidak mempunyai apa-apa perancangan lagi? Jangan risau, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Di sini, penulis kongsikan tips untuk kekal proaktif di bulan Ramadhan supaya kita sama-sama dapat memanfaatkan bulan ini dengan sebaik-baiknya.

Bersahur Dan Minum Air Secukupnya

Ramai di antara kita yang memandang enteng terhadap pentingnya sahur ketika bulan Ramadhan kerana malas untuk bangun sahur. Sikap negatif ini perlulah dibuang dalam diri kita kerana dengan bersahur, banyak kebaikannya. Antaranya ialah:

  • Mengekalkan konsentrasi dan produktiviti
  • Meningkatkan kualiti ibadah
  • Mengekalkan kesihatan fizikal
  • Menjaga keseimbangan hormon dan metabolisme
  • Membekalkan tenaga dan mengelakkan dehidrasi
  • Sunnah Rasulullah

Oleh itu, bersahur merupakan entiti penting dalam ibadah puasa untuk memastikan tubuh yang sihat dan tenaga yang mencukupi ketika berpuasa untuk menjamin ibadah yang berkualiti. Sebiji kurma dan air sahaja sudah memadai untuk bersahur seperti yang dinyatakan di dalam hadis, “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma.” (Hadis sunan Abu Daud 2338).

Menyertai Program Kebajikan Dan Sukarelawan

Terdapat pelbagai program kebajikan dan sukarelawan yang dijalankan di bulan Ramadhan dan sering kali diteruskan dari tahun ke tahun kerana kepentingan dan keperluan program tersebut kepada masyarakat.

Dengan menyertai program sukarelawan, kita tidak hanya dapat membantu mereka yang susah dan kurang bernasib baik, namun kita juga dapat belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita ada serta menjadi lebih prihatin dan cakna terhadap kebajikan masyarakat.

Antara program sukarelawan yang pernah dianjurkan ialah:

  • Fajar Sejuta Pemuda and Cultural Exchange Fiesta 2023 oleh YOSH MyFundAction.

Melalui program ini, sebanyak 20000 pek makanan berjaya diedarkan kepada masyarakat di sekitar negeri Perak, Perlis, Penang dan Kedah untuk berbuka puasa. Program ini majoritinya terdiri daripada mahasiswa universiti, kolej matrikulasi dan pelajar MRSM di Malaysia. Penglibatan yang meriah daripada golongan belia dan pelajar dalam program kebajikan seperti ini sangat membanggakan dan perlulah dijadikan teladan dan ikutan kepada setiap lapis masyarakat tidak kira usia.

  • Kempen Beli dan Derma Kurma untuk Orang Berbuka Puasa

Program ini telah dijalankan pada tahun 2021 di mana golongan fakir miskin, asnaf dan mereka yang tidak berkemampuan mendapat sumbangan kurma untuk berbuka puasa.

  • Projek Kasih Ramadhan

Antara aktiviti yang dijalankan menerusi program ini ialah edaran bubur lambuk, edaran pek berbuka puasa di hospital, majlis berbuka puasa, solat tarawih dan qiamullail serta agihan pek hari raya kepada asnaf.

Bagi mereka yang mempunyai kekangan masa atau masalah pengangkutan untuk menyertai secara fizikal program seperti ini, kita juga boleh menyalurkan bantuan atau derma berbentuk wang, makanan atau pakaian kepada mereka yang memerlukan. Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun” (Riwayat Al-Tirmizi).

Melakukan Senaman Ringan dan Menghirup Udara Segar

Ketika berpuasa, sudah pasti kita akan cepat merasa letih dan mudah untuk mengantuk. Walaubagaimanapun, tidur yang berlebihan tidak bagus untuk kesihatan dan menyebabkan ibadah-ibadah sunat dan aktiviti-aktiviti bermanfaat yang lain tidak dapat dilakukan kerana tidur seharian waktu.

Oleh itu, senaman ringan sambil melihat dan menghargai alam semula jadi dapat menjadikan hari kita lebih produktif dan bertenaga. Antara senaman ringan yang dapat dilakukan ialah:

  • Brisk walk” atau berjalan kaki di sekitar taman perumahan
  • Menunggang basikal
  • Yoga
  • Senaman aerobik sambil mengikuti rentak irama muzik yang santai

Membantu Ibu Bapa Di Rumah Dan Mengeratkan Hubungan Sesama Keluarga

Lazimnya di bulan-bulan lain, kita lebih fokus terhadap kerja dan pembelajaran sehingga jarang pulang ke rumah untuk menjenguk dan menziarah ibu bapa kita. Hadirnya bulan Ramadhan ini memberi peluang kepada kita bukan hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi juga kepada keluarga.

Dengan membantu ibu bapa, kita juga dapat mencari keredhaan dan berkat Allah untuk diri kita sendiri. Sibuk mana pun kita, janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan yang kita peroleh kini datangnya daripada mereka dan tanpa mereka tiadalah kita di dunia ini.

Mungkin ramai di antara kita yang tahu akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak, namun ramaikah yang cakna dan lakukannya? Sebagai seorang anak yang soleh dan solehah, marilah kita bersama-sama menghargai dan membantu ibu bapa kita dengan:

  • Membantu menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa
  • Menyertai mereka ke masjid untuk solat tarawih dan hadiri majlis keagamaan bersama-sama
  • Memberi sokongan kewangan yang diperlukan
  • Mendoakan kesejahteraan mereka dan meminta ampun di atas dosa dan kesalahan kita

Menetapkan Target Ramadhan

Jika sebelum peperiksaan kita mempunyai target bagi pointer CGPA, begitu juga yang perlu kita lakukan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Bulan suci ini hanya tiba setahun sekali. Oleh itu, sebagai seorang muslim yang bijak, wajarlah kita memastikan Ramadhan kita kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Walaupun setiap orang mempunyai target yang berlainan, beberapa contoh target yang boleh diikuti adalah seperti yang berikut:

  • Solat di awal waktu
  • Menunaikan solat tarawih dengan konsisten selama sebulan
  • Menjadi imam atau bilal solat tarawih di masjid
  • Mempelajari dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam
  • Mengurangkan hiburan yang tidak bermanfaat dan meluangkan masa untuk majlis agama
  • Memberi sedekah setiap hari dalam bentuk wang atau makanan

Semoga tips-tips yang dikongsikan bermanfaat untuk semua dan menjadi momentum untuk kita memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Moga setiap langkah kecil dan usaha yang kita ambil selama di bulan Ramadhan ini membawa keberkahan kepada diri kita dan umat manusia secara keseluruhannya. Akhir kata, selamat menjalani Ramadhan yang penuh berkah dan semoga kita semua mendapat manfaat yang besar dari bulan yang mulia ini.

Penulis: Anis Fatini Binti Mohd Radzi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular