Abang dan Angah ada rahsia mereka tersendiri terutama hal “awek”. Bahasa formalnya mungkin teman wanita atau buah hati. Saya kurang mengambil tahu secara langsung, namun mereka tahu pendirian saya yang selalu menasihatkan mereka untuk fokus dalam pelajaran, carilah seramai mungkin kawan, jangan sesekali bermusuh dengan sesiapa.
Ketika mereka masih di sekolah rendah saya berpesan, “Jangan kacau anak dara orang, nanti kalau jadi apa-apa, Ayah yang akan selesaikan yaa.” Alhamdulillah anak-anak teruna saya tidak pernah menimbulkan masalah dengan kawan-kawan perempuan mereka.
Menginjak sekolah menengah, saya rasa Angah sering mendapat perhatian. Kemungkinan wajahnya yang manis, sikapnya yang agak nakal membuatkan dia sering menerima kiriman atau ucapan misteri.
Dia tidak pernah memberitahu saya. Namun, penyiasat kecil di rumah, Adik akan datang berbisik memberitahu dalam beg sekolah Angah terselit kad ada gambar hati! Apabila saya minta penjelasan, Angah buat tidak peduli dan hanya berkata, “Orang bagi, ambik ja la”.
Pernah ketika sambutan Aidilfitri, dua orang gadis bertandang ke rumah. Bila ditanya, “Kawan siapa ni, anak-anak mak cik semua lelaki,” Selamba mereka menjawab bahawa mereka itu kawan si Angah.
Mahu tidak mahu, saya melayan mereka seadanya sambil menjeling tajam ke arah Angah. Sejurus mereka pulang, Angah pun memberitahu, “ dah beriya nak jumpa ibu. Angah suruh je datang rumah, “ Isyh! Anak bertuah ni.
Berlainan dengan Abang yang nampak sedikit dingin, pemalu pula, dia kurang mempunyai peminat. Tapi saya rasa dia pernah menyukai seseorang. Normal saya kira. Asalkan rasa itu tidak melalaikannya daripada tanggungjawab yang lebih utama.
Ada kala saya seperti mengenali orang yang disukainya, tapi dia tak pernah mahu mengaku. Kadang kala saya bercerita tentang pengalaman berkawan ketika muda. Sekadar mahu dia mengambil iktibar dan pengajaran. Lantas Angah pasti bersuara, “Tu zaman dulu la Ibu, “ Saya pula membalas, “ Dulu pun berkawan jugak.”
Saya rasa saya tidak mahu mencampuri urusan hati mereka, siapa yang mereka sukai, mengapa mereka menyukai si dia. Saya hanya berdoa, mereka akan menemui wanita pilihan persis bidadari syurga. Wajahnya sejuk mata memandang, hormat orang tua, pandai menjaga maruah dan baik akhlaknya.
Yang paling penting mereka saling mencintai, menerima segala kelebihan dan kekurangan masing-masing. Aduhai, masih awal agaknya untuk saya memikirkan perkara ini. Anak sulung saya baru mencecah 18 tahun!