Raya Datang Lagi

0
179
Raya Datang Lagi

Lagi seminggu kita akan bersua dengan hari lebaran. Bagi si ibu, akan bermulalah masa yang menuntut kudrat yang tinggi, fizikal dan mental. Walaupun SOP Aidilfitri telah digariskan, dapur masih perlu berasap. Juadah beraneka macam perlu disediakan. Kalau bukan untuk tetamu pun, anak-anak di rumah pasti mahu dilayani agak istimewa kerana mereka sudah berjaya berpuasa sebulan bukan?

Lalu seawal 1 Ramadhan tempahan kuih raya sudah dibuat. Ibu bekerjaya perlu bijak mengatur strategi. Memang lebih berbaloi jika kita buat sendiri kuih-muih tapi memikirkan masa dan komitmen yang perlu diberikan, mudah rasanya buat kuih tunjuk! Pelbagai bentuk, rasa dan yang paling penting mudah.

Menu pagi Syawal telah lama difikirkan. Saya mungkin akan memilih menu nasi ayam kerana menu ini boleh dimakan sepanjang hari. Ketupat yang sejuk beku juga senang dibeli di mana-mana. Jadi saya hanya perlu memasak rendang.

Mengenang masa remaja dulu saya pernah belajar membalut ketupat tapi nampaknya tangan saya tiada seni, hanya lincah menekan papan kekunci! Ada kalanya saya sediakan menu ala barat kerana anak-anak suka makan spageti dan makaroni.

Begitulah zaman beredar. Anak-anak saya tiada kenangan menganyam daun palas untuk  dibuat ketupat kerana ibu mereka hanya menempah ketupat sejuk beku. Mereka tidak mendambakan makanan tradisi itu daripada saya kerana bagi mereka makanan barat masakan saya sudah lazat dinikmati.

Persoalannya hilangkah serinya Syawal apabila hidangan barat yang disajikan di atas meja? Mungkin nilai sentimentalnya agak kurang namun acara lain yang lebih signifikan dengan Aidilfitri tetap menjadi budaya.

Saya dan suami menunggu detik anak-anak bergilir-gilir mohon maaf atas kekhilafan yang pernah dibuat. Masa ini pelbagai karenah boleh dilihat. Abang akan mula menyalami tangan kami, “Abang minta maaf zahir, batin yaa ibu”, ada sendu di hujung bicara anak sulung saya yang memang lembut jiwanya itu. Diikuti dengan Angah, yang kelihatan gagah tetapi bila ayat maafnya diucap tetap ada rasa sebak walaupun dia cepat-cepat menutup rasa itu. Acik dan Adik turut melakukan perkara yang sama.

Percayalah inilah detik yang paling sentimental pada sambutan Aidilfitri. Ucapan maaf-memaafi atas salah silap yang penah dilakukan. Sebagai ibu, saya selalu memaafkan mereka  walaupun bukan hari raya.

Apalah sangat ketupat, rendang, kuih samprit atau mana-mana lagi kuih jika dibandingkan dengan peluang untuk memohon maaf secara terbuka pada hari raya. Kepada semua,  Maaf Zahir dan Batin.