Wednesday, October 4, 2023
HomeKehidupanRindu Bertamu

Rindu Bertamu

Rindu… Suatu perasaan, emosi yang mungkin membahagiakan, walau pun lebih banyak yang menyedihkan, memilukan dan memeritkan. Kita mungkin akan merindui seseorang atau sesuatu. Ibu akan merindui anaknya, suami akan merindui isterinya atau pun seseorang yang telah berusia merindui zaman kanak-kanaknya. 

Rindu akan terubat sekiranya kita berpeluang melepaskan kerinduan itu. Rindu si ibu akan reda jika dapat menatap wajah anaknya melalui panggilan video dan zaman kanak-kanak yang dirindui sedikit terubat bila kita melihat foto-foto lama.

Dua tiga hari ini saya banyak menerima whatsapp daripada bekas anak murid, yang mendakwa mereka merindui zaman persekolahan yang ditinggalkan. Begitulah kejadian rindu, biasanya apa yang kita rindukan itu tidak boleh diulang semula.

Tetapi naluri rindu membuatkan kita terkenang-kenang zaman itu sehingga dengan bercakap dengan cikgu yang pernah mengajar pun sedikit melegakan. Saya juga merindui semua bekas anak-anak murid, ketika mula-mula mengajar di Bumi Kenyalang, kemudian singgah di Port Dickson dan kembali ke negeri Jelapang Padi. 

Jika saya berjumpa dengan mana-mana bekas anak murid walau pun ada kalanya nama mereka tidak saya ingati, kenangan mendidik mereka pasti menyimpul senyum lalu rindu pun mereda.

Tentunya pandemik COVID 19 menerbitkan banyak kerinduan. Selain ibu bapa, adik-beradik dan kawan-kawan, pastinya kita merindui pelbagai senario. Senario riuh-rendah ketika perhimpunan pagi di sekolah, sesak-sesak di kantin atau kafetaria, beriadah santai di taman-taman rekreasi dan 1001 lagi senario yang sudah lama kita tidak rasai, kita rindui. Sampai bilakah rindu ini perlu ditanggung? Sampai bila? Tentulah jawapannya adalah setelah COVID 19 ini berjaya kita kalahkan. Lantas, bertabahlah hati-hati yang rindu. 

Namun rindu pada yang masih ada, peluang yang masih terbuka, selagi nafas masih berdenyut, kerinduan itu akan bisa dileraikan. Perasaan rindu itu akan hilang dan terubat. Jika kita merindui ibu yang sudah lama kita tak jumpa, apabila sempadan negeri dibuka nanti, kita akan terus balik kampung dan melepaskan rindu dendam itu. 

Apabila statistik vaksin sudah mencapai 100%, kerinduan anak-anak untuk kembali ke sekolah akan berakhir, rindu untuk lepak di kedai mamak juga akan dipenuhi. Tentulah rindu yang paling sakit ialah rindu pada orang yang sudah tiada. Carilah dia walau ke hujung dunia, rindu itu tidak mungkin terubat… Rindu yang ditanggung itu amat meruntun jiwa.

Hanya Allah yang dapat memberikan keringanan dan ketenangan untuk mengubat rindu yang sangat berat itu. Semoga rindu itu akan terlerai dalam mimpi-mimpi indah, hingga bertemu di pintu syurga. 

Aamin…

Previous article
Next article
RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular