Bersempena sambutan hari kebangsaan negara kita yang ke-63 dengan tema Malaysia Prihatin, ayuh kita semarakkan ulang tahun hari yang bersejarah negara dengan sajak kemerdekaan terbaik yang pernah dihasilkan oleh tokoh-tokoh hebat dan sasterawan negara.
Sajak kemerdekaan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh ini penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat. Ia masih segar dan sesuai untuk dideklamasikan bagi anak-anak atau sesiapa sahaja yang cintakan tanah air tercinta
Pada tahun 2020 ini, walaupun sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara yang ke-63 disambut dengan suasana norma baharu. Namun itu bukanlah alasan bagi kita untuk tidak meraikannya bagi melahirkan tanda cintakan tanah air.
Semoga sajak kemerdekaan yang pernah dihasilkan oleh tokoh sasterawan negara dan tokoh sastera kita ini dapat menjadi inspirasi buat kita semua rakyat Malaysia.
TANAH AIR (Menjelang Kemerdekaan) – Usman Awang
Engkau Tanah Air pemilik perut yang berbudi penampung hujan penyedut sinar mentari lahirlah anakmu dari semaian petani Engkau Ibu Murni dengan jasa abadi berdetik didenyut nafas kami kerna kita satu sama dipunyai Telah kau rasa segala seperti kami dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi di mana-mana wajahmu tak pernah mati Tapi begitu sejarah hidup zaman berzaman pernah merangkul pahlawan kemerdekaan mereka sujud dalam kaku mohon perlindungan Bukankah dengan kasih dan harapan kau tenggelamkan mereka dalam dakapan di mana bunga ganti nisan bertaburan Negara baru di atas rongga jantungmu akan tertegak bertapak dalam kebebasan cinta antara kita wahyu dari Tuhan. Dato’ Usman Awang (Tongkat Warrant) |
* Dato Usman Awang (1929-2001) atau juga nama penanya Tongkat Warrant merupakan seorang sasterawan negara yang prolifik. Beliau juga menggunakan beberapa nama pena lain seperti Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan lain-lain lagi. Beliau merupakan sasterawan negara yang ketiga yang dilantik pada tahun 1983 selepas Kamaludin Muhammad (1981) dan Shahnon Ahmad (1982). |
ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN – A Samad Said
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar; dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah, tenang dalam segala uji cabar dan debar. Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi. Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh. Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan, inti tonggak dan menara kebahagian. Kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani. Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti. Tanah air akan indah, megah dan bermaruah jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah; dan bumi akan subur, makmur dan mewah jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama. Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita; kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti. Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan. Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu, berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa – bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia. Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu; dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga, kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra, wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama. |
*Datuk A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan seorang yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Beliau adalah antara sasterawan terulung negara yang masih lagi aktif berkarya sehingga kini walaupun umurnya kini sudah mencecah 85 Tahun (lahir pada 9 April 1935). |
DILEMA MELAYU – Zurinah Hassan
Maka bangkitlah seorang Hang Jebat suaranya meningkah angin melantun ke anjung istana Melaka “ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.” Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan gementar tubuhnya menyambut titah sultan sambil tunduk memikirkan Hingga air matanya mengalir tidak tertahan-tahan dadanya bagai akan pecah dihempas gelombang serba salah. Alangkah sukarnya membuat keputusan untuk setia kepada raja yang zalim, dan menzalimi kawan yang setia. Bukan mudah untuk membuat pertimbangan di antara membantah seorang tuan, dan pentingnya mempertahankan ketuanan melawan kerenah seorang raja dan memelihara sebuah kerajaan. Barangkali apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini tetapi apa yang lebih aku bimbangkan ialah bangsaku pada hari esok. Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu. Semalam aku tidak tidur gelombang serba salah menghempas ke dadaku aku menimbang dan mengenang kaulah sahabat yang kusayang bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu. Alangkah sukarnya membuat pilihan jika aku pulang membunuh Jebat aku akan kehilangan kawan tapi jika aku membiarkan kau menderhaka bangsaku akan kehilangan Tuah. Lalu aku pilih untuk mengorbankan sahabat kesayanganku sendiri walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu. Biarkanlah kuharap disuatu waktu nanti bila bangsaku berpecah belah mereka akan menyedari bahawa si Tuah bukan menentang Jebat tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa yang kupertahankan bukan raja tetapi kerajaannya tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa. Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana tetapi inilah usaha terakhirku agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya bangsaku tidak akan hilang ketuanannya dan Melayu tidak akan hilang di dunia. |
*Dato Dr Zurinah Hassan merupakan Sasterawan Negara wanita pertama di Malaysia. Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Beliau yang berasal dari Kedah ini telah menghasilkan pelbagai karya yang meliputi sajak, puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, cerpen, novel dan sebagainya. |
SENJA HARI MERDEKA – Siti Zainon Ismail
Seluruh kota gemerlap cahaya tak siapa sempat berdoa bersama decip burung kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata. Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta jalan sesak pemimpin segak berarak tanyalah padang yang menyaksikan laungan pertama, ogos basah juga hampir kehilangan nama di peta di mana muzium sejarah menghimpun getar nyilu perjanjian ucapan hilang di telan zaman padang merdeka menjadi taman jerigi tiang-tiang pualam tumbuh hotel bintang lima membakar tapak silam sebuah keaiban peradaban memusnahkan warisan |
* Prof Dr Siti Zainon Ismail tokoh Sasterawan Negara Malaysia yang ke-14 yang berasal dari Gombak. Beliau telah menghasilkan puluhan karya-karya berkaitan dengan sastera, sajak, cerpen, novel dan sebagainya. |
LIDAH BANGSA – A. Aziz Deraman
Lidah bangsaku tiba-tiba kelu di hujung satu dekad abad ke-21 buana yang resah benua tidak tentu akan segala yang mungkin alaf baru, ketika kuasa-kuasa bertukar haluan krisis ekonomi gelegak di tangan budaya hidup yang terencat sosial manusia yang bejat di sisi globalisasi liberalisasi bangsaku hilang berani. Dari dahulu di bumi merdeka ini bangsaku bingkas bangun berdiri bersatu langkah sederap serentak yakin bangunkan nusa yang hebat dimalui disegani dihormati orang atas kekuatan aneka macam taat setia rakyat menjulang satu padu bukan kepalang sepakat nikmat kemakmuran, jika muncul aliran baru alur fikir menerjah tanpa nyata batin zahir nusa ini akan nanar jadi pohon tidak berakar. |
* Datuk A. Aziz Deraman atau nama sebenar Abdul Aziz Deraman merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Kini beliau merupakan Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) |
MERDEKA JIWA – AWANG SARIYAN
Sebermula merdeka bermula di jiwa merdeka daripada syirik kepada Yang Esa merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka. merdeka daripada takluk kepada dunia merdeka daripada perhambaan kepada manusia merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa merdeka daripada tuntutan hawa merdeka daripada sifat lagha merdeka daripada hasad, khianat dan haloba merdeka daripada penjajahan minda merdeka daripada dualisme merdeka daripada sekularisme merdeka daripada kejahilan atma merdeka daripada kejumudan idea merdeka daripada ujub dan riyak 2.9.2020 |
Prof Dato’ Dr. Haji Awang Sariyan merupakan Prof penyandang Kursi Za’ba UPSI dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Beliau telah menulis pelabagai jenis karya tulis dalam usaha untuk memartabatkan bahawa Bahasa Melayu. Beliau juga mempunyai pelbagai koleksi puisi antaranya karya “Kumpulan Puisi: Mencari Makna Diri” dan “Mencari Puisi: Di Denai Kehidupan” yang diterbitkan oleh DBP. |
Semoga senam sajak kemerdekaan ini dapat memberi manfaat dan inspirasi buat anda semua dalam menyambut ulang tahun Kemerdekaan Negara kita pada tahun ini.
Selain sajak kemerdekaan, raikan juga pantun merdeka dan Hari Kebangsaan Malaysia 2020 dengan tema Malaysia Prihatin
Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik
JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI