Wednesday, July 24, 2024
HomeKehidupanSelamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir

Saya suka mengingati tarikh lahir. Tak kira tarikh lahir mak, adik-beradik, anak-anak atau pun sahabat serta rakan taulan. Saya tidak perlu bersusah payah mengingatinya. Mungkin ini  sedikit kelebihan yang Allah anugerahkan.

Jika tarikh itu bertepatan dengan hari istimewa yang lain, tarikhnya cantik atau hampir dengan tarikh lahir saya, hal ini menjadi lebih mudah. It’s just a piece of cake. Sebagai contohnya si bongsu saya lahir pada 11.12.2013, 11,12,13….unik dan mudah diingat.Ada kawan saya lahir pada 1 Mei, Hari Pekerja.

Ada kalanya saya sengaja mahu melupai tarikh-tarikh itu. Tetapi bila tiba ke tarikh itu automatik saya tahu hari jadi siapa hari itu? Bukanlah semua orang. Hanya mereka yang ada kena-mengena dengan diri sahaja.

Rupanya bakat mudah mengingat tarikh lahir ini dikongsi oleh beberapa orang teman yang suka merai orang pada hari jadi mereka. Padanan yang amat ngam, bukan?

Saya tukang ingat tarikh dan beberapa orang lagi akan berpakat untuk merai si tuan hari jadi.

Biasanya kami akan berbincang untuk mencari hadiah yang dibeli hasil kutipan wang secara sukarela. Selalunya hadiah dibeli mengikut ciri-ciri empunya hari jadi. Warna kesukaannya, kek perisa kesukaannya atau pun barang yang disebut-sebut mahu dimilikinya. Dan yang paling menarik tentulah KEJUTAN!

Seronoknya melihat senyuman manis dan riak gembira pada wajah si tuan hari jadi. Ada yang sampai mengalir air mata, terharu ada orang yang mengingati tarikh istimewa mereka sedangkan mereka sendiri tidak ingat tarikh lahir sendiri.

Bagaimana pula sambutan untuk orang yang sukar melupai tarikh lahirnya sendiri?

Saya tidak pernah mahu orang mengingati hari lahir saya sebenarnya. Saya lebih suka jika tarikh itu berlalu begitu sahaja. Namun hal itu tidak pernah berlaku.

Pasti saya akan menerima ucapan, hadiah dan kejutan pada tarikh lahir saya sama seperti mereka yang pernah saya raikan. Tanda ingatan itu tentulah amat membahagiakan walaupun pertambahan usia itu membuatkan kita menghampiri masa tua, masa kembali kepada Sang Pencipta.

Rasanya selagi masih sihat, saya akan terus mengingat tarikh lahir. Sekali pun saya tidak berpakat untuk membeli hadiah atau membuat kejutan, memadai lah sebaris ucapan, sepotong doa agar Allah memberi nikmat, rezeki dan barakah kepada yang menyambut hari jadi itu.

Doa yang baik-baik pasti akan dimakbulkan oleh Allah, Tuhan Sekelian Alam.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular