Apa itu perpaduan? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perpaduan ditakrifkan sebagai bercampur menjadi satu, bergaul dan bergabung dan bermuafakat.
Konsep perpaduan ialah satu proses menyatupadukan masyarakat dan negara melalui ideologi kebangsaan untuk membentuk satu identiti dan semangat kekitaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan orang awam persis peribahasa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Perpaduan etnik sangat penting untuk reformasi masyarakat dari aspek fizikal, sosial, ekonomi dan politik. Malaysia merupakan sebuah negara yang distingtif kerana masyarakatnya yang berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India dan penduduk peribumi yang lain.
Sering kita dengar perkataan perpaduan dilontarkan oleh tokoh negara kita terutama sekali pada sambutan kemerdekaan yang menyokong cita-cita murni bagi melahirkan sebuah negara yang berdaulat. Justeru, bangsa yang merdeka bukan sahaja bebas dari penjajahan asing malah dari sudut pemikiran iaitu pemikiran yang terbuka. Perpaduan bangsa sangat penting untuk reformasi masyarakat iaitu proses penyatuan dari aspek fizikal, sosial, ekonomi dan politik.
Pandemik Covid-19 yang melanda negara merupakan sesuatu yang di luar jangkaan dan gelombang krisis pandemik ini telah mengubah cara kehidupan seluruh masyarakat bermula tahun 2020 sehingga sekarang dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan. Kerajaan memperkenalkan Standard Operating Procedures (SOP) baharu iaitu penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rentetan senario itu, amalan memupuk perpaduan juga semakin dilupakan. Ini adalah kerana larangan untuk saling berkumpul dan mematuhi Standard Operating Procedures (SOP) iaitu penjagaan jarak 1 meter.
Sebelum berlakunya pandemik Covid-19 ini, masyarakat sudah terbiasa dengan aktiviti yang berteraskan perpaduan contohnya program Gerak Gempur Cegah Denggi, pertubuhan rukun tetangga dan mengadakan persembahan tradisional untuk meraikan hari kebesaran.
Persoalannya, apakah peranan masyarakat dalam mengeratkan hubungan etnik di negara kita sewaktu pasca Covid-19 ini? Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengeratkan hubungan etnik di Malaysia pada pasca Covid-19 ini adalah dengan menghulurkan bantuan kepada jiran yang memerlukan tidak kira bangsa dan agama.
Realitinya, sewaktu pasca Covid-19 ini ramai orang kehilangan pekerjaan dan kerjaya sebagai contoh pekerja yang diberhentikan kerja kerana majikannya tidak mampu membayar gaji pekerja tersebut.
Majikan terpaksa memotong kos pembayaran gaji dan mengehadkan jumlah pekerja dalam syarikat yang dimilikinya. Contohnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan orang perseorangan sumbang tenaga dalam mengumpul, mengagihkan dan memberikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan atau petugas barisan hadapan untuk menempuhi fasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Seterusnya, menghulurkan bantuan dengan kaedah transaksi dalam talian seperti “Tabung Covid-19: Bantu Jiran Kita” yang memberi tumpuan menggalakkan rakyat berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan. Jumlah wang yang disumbangkan adalah seikhlas hati bermula RM1 seorang.
Dalam meniti arus modenisasi ini, semua perkara tidak lagi mustahil dicapai kerana perkembangan teknologinya yang begitu pesat sehinggakan kita boleh membeli makanan secara dalam talian tanpa perlu keluar dari rumah.
Platform yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan iaitu “foodpanda” atau “grabfood” boleh dipesan dan dihantar ke alamat jiran terdekat sewaktu hari sambutan perayaan tradisional mereka.
Dalam tidak sedar, hubungan etnik dapat dipupuk semula dalam hati masyarakat pelbagai etnik dan menggalakkan masyarakat untuk mengambil berat antara satu sama lain. Mereka mula menyedari betapa pentingnya perpaduan etnik untuk individu, sosial dan ekonomi negara kita.
Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengaplikasikan sikap cintakan perpaduan di mana jua kita berada dan tidak lupa daratan seperti kacang lupakan kulit. Contohnya mengucapkan perayaan etnik yang lain contohnya perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina di aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter.
Hal ini menunjukkan masyarakat tersebut mempunyai jati diri yang tinggi dalam mengeratkan hubungan sesama etnik walaupun berada dalam pasca Covid-19 yang menjadi batu penghalang aktiviti perpaduan dilaksanakan.
Pada waktu yang sama, pihak berkelayakan perlu menjayakan program webinar yang terbuka kepada semua etnik. Program webinar bertajuk “Memupuk Semangat Perpaduan Dalam Era Covid-19” dapat memberi impak yang signifikan dalam membina jati diri masyarakat pelbagai etnik untuk terus bekerjasama dan mengelakkan sikap evasif serta meningkatkan rohaniah dan insani yang sempurna.
Memberi layanan sama rata juga merupakan cara untuk mengeratkan lagi hubungan etnik kerana akan merasa dihargai dan disayangi sebagai rakyat Malaysia.
Perpaduan akan menjadi rapuh apabila tidak ditangani. Tanpa perpaduan yang kukuh negara kita akan porak peranda, keharmonian, ekonomi, politik dan sistem pendidikan turut terjejas.
Jelaslah perpaduan amat penting dalam mengekalkan negara yang maju setanding dengan negara luar. Beberapa tindakan perlu diambil bagi memperkasakan hubungan etnik di negara ini pada pasca covid-19.
Lantaran itu, perpaduan bukanlah sesuatu yang mudah dicapai sekiranya masyarakat tidak mempunyai sikap toleransi antara satu sama lain. Dalam konteks ini, masyarakat perlu menjauhi sikap rasisme iaitu mendiskriminasikan segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Masyarakat perlu menangani sikap rasisme sebelum ianya menjadi ekstremisme dengan menekankan sikap penerimaan antara kaum dalam aspek bangsa, agama dan budaya.
Sebagai kesimpulannya, kita haruslah tidak mengabaikan kepentingan perpaduan antara hubungan etnik walaupun berada pada musim pandemik Covid-19 yang menjadi batu penghalang dalam melaksanakan aktiviti berkaitan perpaduan yang memerlukan perkumpulan orang ramai serta menjadi rakyat yang berintegriti, semangat patriotisme yang tinggi, mengamalkan perilaku yang baik, saling tolong menolong dan pemikiran terbuka. Menyedar hakikat di atas permusuhan dan pertelingkahan sesama kaum hanya akan memudaratkan diri sendiri, masyarakat dan negara.
Penulis; Nurzulaikha binti Mohd Asraff Khan, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM.