Minggu lalu saya berkesempatan menghantar anak belajar di sebuah institusi pendidikan nun jauh di utara.
Dengan borang rentas negeri yang sah, kami sekeluarga menghantar anak kedua ke asramanya. Dalam hati seorang ibu, agak sedih melepaskan anak sebab dialah penyeri dalam keluarga. Dengan sikap yang suka mengusik adik-adik terutama yang bongsu dia selalu meriuhkan suasana istana kecil kami.
Sepanjang perjalanan angah (nama timangan anak kedua), beliau tidak banyak bercakap. Adik pun tidak diusiknya. Mungkin dia memikirkan suasana baharu yang akan ditempuhnya nanti.
Sebenarnya pengalaman menghantar anak ke asrama pernah saya tempuh sebelum ini. Abangnya pernah belajar di sekolah berasrama pada usia yang masih muda iaitu 13 tahun. Saya masih ingat dalam tempoh seminggu awal saya dan ayahnya berulang alik ke asrama pada setiap petang sementara dia dapat menyesuaikan dirinya di sana.
Berlainan dengan angah, walaupun usianya 16 tahun, dia tidak pernah berjauhan daripada kami. Apabila dia menerima tawaran belajar di asrama, saya bertanya berulang kali betulkah keputusannya itu.
Sudahlah sekolah ini jauh dari rumah, saya tak sanggup berulang selama seminggu memandangkan SOP rentas negeri terpaksa dipenuhi terlebih dahulu. Saya memberitahunya, “ Ibu hantar angah terus balik tau.” Dia hanya tersengih dan berkata, “No hal lah, ibu.”
Begitulah tingkah laku anak kedua, bersahaja dan nampak tenang.
Seingat saya ketika dia masih bayi, jika angah demam, saya boleh melelapkan mata selepas memberinya makan ubat. Tapi kalau abang yang demam, sekejap-sekejap saya terjaga dan memeriksa keadaannya.
Bukan pilih kasih tapi personaliti abang, angah, acik dan adik sangatlah berbeza walaupun mereka lahir daripada rahim yang sama.
Buat sementara, acik dan adik masih sepenuhnya di rumah. Jadi, saya tidak terlalu bimbang dengan mereka.
Sehingga artikel ini ditulis, sudah seminggu angah di utara. Sekali-sekala dia akan menghantar khabar melalui Whatssap.
Ada juga dia menghantar video. Saya rasa dia seronok meneruskan pelajaran di situ. Saya tidak perlu risau, tetapi hati ibu tentu tidak pernah tidak risau!
Buat semua anak dengan personaliti yag berbeza, demi masa depan, terbanglah setinggi mungkin. Doa ibu selalu mengiringi perjalanan hidup kalian.