Setiap Yang Berlaku Pasti Ada Hikmahnya

0
143
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya

Sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia yang berakal untuk menghadapi dugaan, musibah atau masalah dalam kehidupannya. Orang yang tenang akan melihat setiap masalah sebagai ujian.

Ujian yang diaturkan oleh Allah SWT ini tidak sama bagi setiap orang dari segi tahap perit atau kesusahannya. Sama ada berat atau ringan, ujian yang diberikan ini sudah ditetapkan oleh Allah SWT mengikut kemampuan diri setiap hambaNya.

Selebihnya terserah kepada hamba itu untuk menerima dan melakukan perkara yang patut apabila berhadapan dengan ujian dariNya yang Maha Kuasa.

Bak kata pepatah ‘hidup ini ibarat roda, kadang kita di atas dan ada kalanya di bawah’ mencerminkan adapun mereka yang sudah berada di atas atau berjaya pada suatu ketika barangkali akan jatuh mungkin atas sebab dan kekurangan yang perlu diperbaiki.

Ujian itu juga bukan sahaja datang daripada masalah kewangan, ujian lain berkaitan dengan kehilangan yang tersayang, lelah menanggung bebanan, pergolakan atau kehidupan yang tidak aman dan banyak lagi.

Ini bermaksud ujian itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan cara bergantung pada kehidupan seseorang. Pendek kata, jika diberi pilihan manusia itu bertukar ujian masing-masing kerana melihat dan berpendapat ujian mereka ringan daripada yang kita lalui, sesungguhnya kita tidak mampu memikulnya.

Jadi, tipulah jika ada yang mengatakan langsung tidak terkesan dari segi perasaan atau kesihatan mental yang terjejas akibat mana-mana ujian yang mendatang. Ini kerana, fitrah manusia yang mempunyai hati dan perasaan dan jika diizinkan tidak mahu langsung dipertemukan dengan kesedihan, ketakutan, kekhuatiran atau kemarahan dalam kamus hidup.

Akan tetapi sudah menjadi sunnatullah bahawa kejadian di alam ini adalah berpasangan termasuklah apabila ada sedih datanglah gembira, bila ada amarah pasti ada redha dan adanya tenang selepas tekanan.

Adapun begitu, ingatlah bahawa ‘Setiap yang Berlaku Pasti Ada Hikmahnya’. Maka, ajari hati untuk terima pilihan Allah SWT dengan gembira, kerana tidak ada yang lebih mengetahui daripadaNya jika kesulitan itu lebih baik daripada kemudahan yang kita dambakan. Atau mungkin kita inginkan kesenangan tetapi Allah SWT anugerahkan kesabaran.

Malahan, tanpa kita sedar mungkin ujian yang Allah aturkan ini adalah sebagai jalan untuk Allah SWT kabulkan doa yang kita sendiri telah lupa. Tiada yang berlaku secara kebetulan atau kerana kita disisihkan Allah jika kita orang yang baik, hanya Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk kehidupan kita. Bukankah Dia yang Maha Esa menciptakan kita? Dan kita hanya hamba yang belum memahami kehidupan yang ingin diberi olehNya.

Sesungguhnya hanya masa menjadi hijab untuk kita dapat melihat hikmah sebenar yang telah disediakan olehNya. Setelah masa itu berlalu perasaan malu akan timbul jika kita

mempertikaikan aturan Allah SWT itu satu ketika dahulu. Disimpulkan, terdapat tujuh hikmah disebalik setiap ujian yang Allah berikan iaitu;

  1. Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita,
  2. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar,
  3. Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar,
  4. Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita,
  5. Allah sedarkan kita dan mahu mendengar rintihan kita yang semakin mendekatiNya,
  6. Allah mahu berikan iktibar kepada orang lain,
  7. Tanda Allah sayangkan kita.

Namun, ada yang terlalu bersedih sehingga hilang arah tuju dan tidak lagi yakin untuk berdoa dan meminta dengan yang pemberi ujian. Senyatanya, Allah tidak pernah mengabaikan doa dan rintihan hati hambaNya dan membiarkan hambaNya pulang dengan tangan kosong. Ini kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran”.

Dan apabila manusia itu bersedih ketahuilah dalam surah At-Taubah Allah SWT berpesan supaya;

“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”.

Allah SWT menurunkan ayat ini agar kita ingat bahawa Allah akan selalu bersama tambahan lagi dalam keadaan sedih. Bersedih di sini bukan bererti tidak boleh menangis tetapi menjadi lemah dan tidak langsung berusaha.

Di samping itu, Allah SWT hanya akan menjawab doa hambaNya dalam tiga cara iaitu; Ya, di mana doamu akan dikabulkan, Tidak, kerana ada yang lebih baik dan tunggu, sehingga masa yang tepat. Maka jelas disini bahawa tiada dalam jawapanNya yang merugikan kita. Dengan itu sentiasalah berdoa kerana Allah SWT akan beri apa sekalipun untuk doa itu.

Lantaran itu, kita juga tidak boleh mendefinasikan ujian ini sebagai bala kerana Allah membenci kita atau menyalahkan orang yang hidup sebelum kita. Akan tetapi, adalah sepatutnya kita kembali muhasabah diri dan mencari jalan keluar yang diredhai Allah SWT.

Malah mereka yang lebih dekat dengan Allah SWT seperti Rasulullah SAW telah menerima banyak tentangan hebat dalam menyebarkan ajaran agama Islam termasuklah dari kaumnya sendiri.

Sememangnya betul jika ada yang akan membantah dengan kenyataan ini kerana tidak relevan untuk membandingkan Rasululullah SAW dengan manusia biasa, seperti peristiwa apabila Sa’ad bin Abi Waqqas ditanyakan soalan, “Siapakah orang yang paling berat cubaanya”, dan beliau menjawab bahawa, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Orang yang paling berat cubaannya ialah para Nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang di bawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki sebarang dosa lagi”.”

Tetapi, jika difikirkan Rasulullah SAW itu adalah kekasihNya maka Allah berikan ujian bukanlah semata untuk menyusahkan hambaNya tetapi untuk lebih mendekatkan hubungan itu.

Ini menunjukkan bahawasanya, ujian Allah itu adalah sebagai tanda Allah sayang kepada kita supaya kita tidak lalai untuk ingat kepadaNya. Kerana dalam setiap yang Allah SWT datangkan adalah untuk kita kuat, jika Allah tangguhkan sesuatu tidak lain hanya supaya kita sabar dan Allah hilangkan sesuatu agar kita redha.

Makin berat ujian Allah itu, semakin kuat kasih sayangNya terhadap kita. Hadapilah dengan sabar dan tenang supaya kita juga dapat merasakan cinta yang Maha Agung ini. Dan janganlah mengeluh sesungguhnya Iman kita ini sedang diuji oleh pemiliknya.

Hal ini demikian kerana, setelah diasak dengan dugaan barulah manusia sedar bahawa dirinya amat lemah dan perlukan bantuan daripada pencipta yang Maha Agung. Mereka yang memahami akan menerima kenyataan dengan hati yang tenang kerana mereka yakin di sebalik setiap ujian ada rahmatnya. Itulah antara hikmahnya mengapa Allah SWT menguji, agar tumbuh jiwa hamba yang sedar dan kuat pada diri kita.

Tidak dinafikan juga dalam menjalani ujian itu, nafsu yang memberontak dan bisikan halus syaitan akan mengganggu konsentrasi hati. Kerana dalam perjalanan untuk membuat kebaikan pasti akan diuji dengan pelbagai rintangan dan halangan.

Sungguh, bukan mudah untuk menundukkan hati kita. Salah satu cara untuk tidak terus hanyut dengan permainan ini adalah dengan sentiasa bersangka baik, berfikir yang positif dan perbuatan yang menjurus diri kearah kebaikan. Atau cara lain yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk menetapkan hati di atas agamaNya dan ketaatan kepadaNya adalah dengan doa berikut yang bermaksud;

“Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMu.

Doa ini diamalkan oleh sahabat dan para tabiin seterusnya diwariskan ke atas kita supaya menjadi orang-orang yang soleh dengan hati yang kental.

Justeru itu, tidak perlulah kita menunjukkan kesedihan di khalayak ramai meminta belas kasihan sehingga menjatuhkan maruah diri. Manusia tetap manusia, mereka juga ada kelemahan tersendiri dan mungkin kita di perkata di belakang yang hanya akan memalukan diri sendiri.

Namun, berkongsi masalah atau meluahkan perasaan pada orang yang betul dapat membantu kita belajar lebih banyak tentang diri dan memahami perasaan yang terpendam dan bagaimana kita perlu mengubahnya.

Sebagai contoh, meluahkan perasaan kepada pasangan, rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat tentang fikiran dan perasaan kita juga dapat meredakan perasaan yang bercelaru. Meskipun kadang kala bersendiri itu boleh membantu, meluangkan masa dengan orang sekeliling juga dapat menaikkan semangat dan cara terbaik menceriakan hari kita.

Akhir kata, apabila hidup terasa susah ingatlah bahawasanya Allah telah ‘memujuk’ kita dalam kitab suciNya, surah aL-Insyirah ayat 6, yang bermaksud;

“Sesungguhnya tiap-tiap kesulitan itu ada kemudahan”.

Kita hanya perlu berpegang teguh dengan janji Allah ini kerana janji Allah itu tidak lain hanyalah yang benar. Tidak ada yang keliru atau salah pada takdir yang Allah tetapkan, hanya kita yang belum memahami di sebalik setiap ujian. Pasti ada banyak kebaikan yang ditulis dan tugas kita supaya tidak sombong dan sentiasa bermunajat padaNya dan tidak berputus asa dalam hidup ini.

Apabila kita redha dengan sesuatu yang mengecewakan hati kita maka percayalah bahawa Allah akan mengantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka. Maka yakinlah dengan perancangan Ilahi walaupun ianya sukar diduga dan difahami oleh akal kita. Semoga kita dapat menerima apa sahaja ujian dengan hati yang terbuka dan berjaya dalam perjalanan di dunia seterusnya beroleh rahmat dari Yang Maha Pengasih.

Penulis; Nur Nadhirah Adibah binti Mohd Nor Naser. Pelajar Bioteknologi Makanan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.