Menurut Kamus Dewan, optimisme adalah satu sikap, pandangan hidup atau pendirian yang melihat segala hal dari sudut kebaikannya sahaja atau yang menjangkakan perkembangan yang baik-baik sahaja. Optimis akan percaya dengan kejayaan dan kemungkinan yang positif manakala berlawanan dengan optimis, seorang pesimis akan cenderung dengan segala kemungkinan yang negatif.
Sikap optimistik selalu dikaitkan dengan mental yang sihat kerana antara faedah menjadi seorang optimis adalah mudah menyesuaikan diri dengan perubahan situasi, mengurangkan tekanan hidup dan lebih teguh untuk mengejar cita-cita.
Bagaimana anda ingin tahu bahawa anda mempunyai ciri-ciri seorang yang optimistik? Salah satunya adalah anda sentiasa positif bahawa cita-cita dan impian anda akan tercapai. Walaupun anda mengalami kegagalan, anda tidak berhenti berusaha kerana anda percaya awan tidak selalunya mendung, langit tidak selalunya gelap. Anda yakin bahawa kegagalan bermaksud anda perlu berusaha lagi sehingga suatu hari nanti impian anda akan tercapai.
Kedua, seorang yang optimis sentiasa bersyukur dengan perkara baik yang berlaku dalam hidup mereka dan berusaha mencari perkara yang lebih baik. Dalam kata lain, optimis ialah seorang yang sentiasa membaiki diri sendiri untuk menjadi lebih baik.
Ketiga, jika perasaan anda jarang dipengaruhi dengan perkara malang menimpa diri, anda ialah seorang optimis. Seorang optimis jarang membenarkan perasaan mereka dibawa atau dipengaruhi oleh kenegatifan orang lain. Mereka tidak akan mengendahkan sesuatu yang tidak penting bagi mereka.
Seorang optimis menerima perkara yang baik berlaku dalam hidup mereka sebagai hasil usaha mereka sendiri. Mereka percaya kejayaan mereka adalah satu bukti kerja keras mereka dan yakin bahawa kejayaan itu akan membuka pintu kejayaan yang lebih besar.
Oleh itu mereka jarang berhenti berusaha kerana mereka ingin kejayaan demi kejayaan berlaku dalam hidup mereka. Malangnya, seorang optimis jarang menerima perkara yang buruk dalam hidup mereka sebagai kesalahan ataupun hasil perbuatan mereka. Jika perkara yang negatif berlaku dalam hidup mereka, mereka akan menganggap perkara itu tidak ada kena-mengena dengan hidup mereka.
Kurang sensitiviti adalah salah satu sisi gelap seorang yang optimistik. Contohnya, jika seorang optimis mendapat pekerjaan yang diidamkan, mereka tidak akan pernah menganggap peluang itu adalah durian runtuh, tetapi mereka percaya bahawa peluang itu adalah hasil kerja keras mereka.
Sebaliknya jika mereka gagal mendapat pekerjaan yang diidamkan itu, perasaan duka cita memanglah dialami sebagai seorang manusia biasa, tetapi mereka tidak akan merasakan kegagalan itu adalah disebabkan oleh mereka dan mereka akan terus berjalan mencari peluang yang lain. Mereka jarang merenung dan berhenti sejenak malah mereka terus mencari kejayaan yang mereka impikan. Disebabkan itulah, mereka dikenali sebagai seorang yang tidak peduli.
Ahli psikologi mengatakan bahawa 25 peratus orang yang optimis dicorakkan oleh genetik dan suasana kehidupan. Seorang yang lahir daripada ibu bapa yang optimistik lebih tinggi peratus menjadi seorang optimis. Seorang yang lahir dalam suasana yang baik juga cenderung untuk menjadi seorang optimis. Contohnya, seorang kanak-kanak yang selalu dimarahi dan dikritik kerana kegagalan ketika kecil mudah cenderung menjadi seorang yang pesimistik.
Suasana yang menyalahkan mereka atas kegagalan mereka menyebabkan mereka menjadi negatif dan percaya kegagalan itu adalah kerana mereka tidak berpotensi mencapai kejayaan. Sebaliknya kanak-kanak yang diberi motivasi dan semangat ketika menghadapi kegagalan akan bertambah keyakinan untuk mencapai kejayaan mereka bertambah. Suasana yang memberi sorakan untuk mereka bangun daripada jatuh yang menyebabkan mereka tidak takut untuk terus berlari ke arah impian mereka.
Namun, genetik atau suasana bukanlah menjadi satu penghalang untuk anda menjadi seorang optimis kerana sifat ini seperti sifat positif yang lain yang boleh dibina dalam diri sedikit demi sedikit. Walaupun anda merasakan anda tiada ciri-ciri seorang optimis seperti yang bincangkan sebelum ini atau mungkin anda hanya mempunyai sepuluh dua puluh peratus sifat tersebut dalam diri anda, memupuk sifat optimisme menjadi seratus peratus dalam diri bukanlah satu ketidakmungkinan.
Peribadi yang baik seperti sikap optimisme ini perlulah dipupuk dan dibentuk dalam diri tanpa mengira umur dan usia. Pada peringkat kanak-kanak atau dewasa, setiap insan perlulah sentiasa berusaha berubah ke arah kebaikan.
Antara cara untuk menjadi seorang optimis adalah bersangka baik. Manusia mudah cenderung bersangka buruk atau risau dengan perkara yang belum berlaku atau perkara yang tidak nampak dengan mata kasar. Jika anda cuba untuk bersangka baik akan masa depan atau perasaan orang lain, anda akan lebih fokus untuk melalui semua yang berlaku pada masa sekarang.
Kedua, anda perlulah berusaha untuk bersyukur. Bersyukur adalah salah satu cara untuk menghargai apa yang wujud dalam hidup anda. Berusaha untuk bersyukur dengan apa yang ada boleh menyebabkan anda kurang membandingkan diri dengan orang lain seterusnya membuatkan anda hanya fokus untuk mencapai impian anda tanpa menghiraukan sekeliling anda.
Ketiga, mencatat atau merekod emosi positif. Kajian mengatakan seseorang yang suka menconteng diari mereka dengan perkara indah sahaja lebih cenderung menjadi ceria dan positif. Otak manusia lebih cenderung menyimpan memori pahit kerana impak sakit lebih kuat daripada impak bahagia, tetapi jika setiap kali anda mencatat memori yang indah, anda sebenarnya mengawal apa yang anda ingin simpan dalam memori anda. Dengan memori indah itu, anda akan lebih positif dan berani mengejar cita-cita anda.
Realiti kehidupan, masyarakat sering memperlekehkan usaha dan kejayaan seseorang. Oleh sebab itu, kita harus memupuk sifat optimisme untuk kita tidak dipengaruhi dengan ungkapan negatif yang dilontarkan oleh sesetengah masyarakat. Dengan sifat optimisme, kita akan lebih positif dengan diri dan kejayaan.
Hidup hanya sekali, jadi bukankah lebih indah jika hidup yang dipenuhi dengan diri dan kejayaan berbanding hidup yang tertutup dan terluka dengan lontaran negatif orang lain? Marilah kita bersama-sama memupuk sifat optimisme dalam diri agar terbentuk masyarakat optimis di sekeliling kita kerana masyarakat yang optimistik akan melahirkan generasi optimis.
Penulis; Â Samihah binti Mohd Azemi, pelajar Fakulti Sains Teknologi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.