Monday, June 27, 2022
HomeArtikelSimpanan Untuk Persaraan; Permulaan Fasa Hidup Yang Baharu

Simpanan Untuk Persaraan; Permulaan Fasa Hidup Yang Baharu

Cuba anda bayangkan situasi ini; apabila seseorang bertanya soalan; ‘Mengapakah anda menabung dan menyimpan wang?’ jawapan yang sering kita dengar adalah sama ada untuk melanjutkan pelajaran, pergi bercuti, sama ada ke luar mahupun di dalam negara, untuk membeli kereta atau rumah idaman dan juga untuk tujuan kecemasan.

Jarang sekali kita mendengar alasan seseorang menyimpan wang untuk kegunaan tahun persaraan mereka.

Mungkin sesetengah orang terlupa bahawa kita semua tidak akan bekerja sepanjang hidup kita. Kita juga tidak akan mendapat pendapatan yang berterusan dari pekerjaan semasa kita. Akan tiba saatnya, ketika kita mencapai had usia yang layak, di mana kita mesti bersara.

Pernahkah anda terfikir tentang hal ini? Jadi, bagaimanakah anda ingin meneruskan kelangsungan hidup pada tahun-tahun yang berikutnya tanpa sumber pendapatan anda?

Individu memikul sebahagian besar tanggungjawab kewangan untuk tahun persaraan mereka. Maka, mereka mestilah membuat simpanan sebanyak mungkin untuk menikmati tahun persaraan yang terjamin secara kewangan dan menjadikan pilihan untuk bekerja sewaktu tempoh bersara adalah pilihan semata-mata dan bukannya kewajipan.

Anda akan berterima kasih kepada diri anda jika anda mula untuk menabung lebih awal. Semakin awal anda mula menabung, semakin tinggi jaminan kewangan yang akan diperolehi dalam jangka masa panjang.

Tatkala anda di dalam tempoh persaraan kelak, tidak dinafikan bahawa sebahagian besar simpanan persaraan anda akan digunakan bagi tujuan perbelanjaan harian seperti membeli barangan dapur, membayar bil-bil utiliti dan hutang yang masih tertunggak seperti duit rumah, kereta dan sebagainya.

Di samping itu, dengan usia yang semakin meningkat, anda juga akan sering mengeluarkan wang untuk pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Selain itu, ada yang mungkin ingin menggunakan sebahagian daripada simpanan mereka untuk mengubahsuai rumah, menunaikan haji, melakukan hobi seperti berbasikal dan memancing serta membuat percutian ke luar negara.

Oleh yang demikian, jika anda menetapkan matlamat persaraan dari awal, hal ini akan dapat membantu anda untuk menetapkan anggaran jumlah wang yang perlu ada di dalam tabung persaraan anda kelak.

Sudah pasti anda tidak mahu berbelanja secara berlebihan seterusnya mengakibatkan akaun bank anda menjadi kosong pada tempoh awal persaraan, bukan?

Tiga Badan Simpanan Persaraan di Malaysia

Tahukah anda, di Malaysia terdapat tiga badan kerajaan utama yang menguruskan skim pencen iaitu Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

KWAP merupakan badan kerajaan yang menguruskan dan membiaya skim pencen untuk pekerja-pekerja di sektor kerajaan manakala KWSP pula bertanggungjawab dalam menguruskan wang simpanan pekerja dari sektor swasta.

Sementara LTAT merupakan badan kerajaan khusus yang menguruskan faedah persaraan dan lain-lain faedah kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Persamaan ketiga-tiga badan ini adalah untuk menyediakan faedah persaraan bagi pekerja-pekerja yang berdaftar di bawah setiap sektor berkenaan.

Hakikatnya, persaraan boleh terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya kerana telah mencapai had umur persaraan, mengalami kecacatan fizikal yang kekal dan persaraan mungkin juga terjadi atas sebab pilihan individu tersebut untuk bersara lebih awal dari had umur yang telah ditetapkan.

Tujuan Utama Tabung Persaraan

Tujuan utama tabung-tabung pencen ini diwujudkan adalah bagi memudahkan urusan individu untuk menyimpan wang khusus untuk tempoh persaraan kelak. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya simpanan untuk menyara kehidupan setelah bersara.

Walau bagaimanapun, jika anda ingin menambah lagi simpanan untuk persaraan, sebenarnya terdapat banyak lagi pilihan lain seperti anuiti hayat dan pelbagai produk insurans lain.

“Sekiranya anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal”. Maka dapat kita simpulkan bahawa perancangan merupakan aspek yang sangat penting dalam sesuatu perkara.

Oleh itu, demi tempoh persaraan yang tenang dan santai, anda seharusnya melakukan perancangan dengan baik. Kita semestinya tidak mahu bekerja keras sehingga usia tua.

Kita pasti ingin menikmati tahun keemasan dan menghabiskannya dengan melakukan perkara yang kita sukai seperti mengembara ke seluruh dunia, menjadi sukarelawan, menyertai komuniti agama bahkan meluangkan masa dengan orang yang tersayang.

Mungkin ada di antara kita yang ingin terus bekerja. Pilihan sememangnya di tangan anda. Tetapi jika anda mempunyai kemahiran untuk ditawarkan dan tenaga untuk melakukannya, mengapa tidak?

Sekiranya anda mempunyai set kemahiran khusus yang diinginkan oleh syarikat tertentu, anda boleh melakukan pelbagai kerja selepas bersara seperti mengajar, menulis buku atau kerja-kerja perundingan.

Tetapi cuba anda bayangkan, pada usia tersebut, anda sudah pasti ingin melakukan pekerjaan tersebut dengan lebih santai dan bukannya dengan terlalu bekerja keras seperti di usia muda.

Oleh itu, anda haruslah sentiasa ingat bahawa akan tiba suatu masa di mana anda tidak boleh lagi melakukan pekerjaan atau mungkin masih boleh melakukannya tapi dengan kadar yang lebih perlahan. Maka, anda mesti mula membuat kajian mengenai apa yang anda jangkakan sewaktu bersara dan mula merancang bagaimana untuk mencapainya.

Sekiranya anda ingin mengekalkan taraf hidup yang sama seperti tahun bekerja anda, berapa banyak wang yang perlu anda simpan dalam sebulan? Atau dalam setahun? Anda mungkin juga mahu meminta pertolongan dan nasihat dari penasihat kewangan peribadi yang dapat membantu anda dalam merancang dan mempersiapkan anda bagi tempoh persaraan.

Sebagai penutup, saya akui bahawa terdapat sesetengah orang yang percaya bahawa selepas bersara, mereka hanya perlu berehat di rumah dan menjaga kesihatan mereka. Tetapi pada pendapat saya, persaraan sebenarnya menandakan titik permulaan bagi fasa kehidupan yang baharu.

Oleh itu, saya ingin mengajak anda semua untuk mula berfikir tentang aktiviti berfaedah yang anda ingin lakukan setelah bersara suatu hari nanti. Inilah masanya untuk kita menyumbang kembali kepada masyarakat.

Walaupun begitu, kita haruslah sentiasa berfikiran terbuka. Tidak kira jalan mana yang anda pilih untuk lalui sewaktu persaraan nanti, saya berharap agar persaraan anda boleh menjadi pengembaraan yang paling menarik dan indah sekali.

Hari esok boleh menjadi permulaan kebahagiaan baru dan kemenangan yang lebih besar – semuanya bergantung kepada bagaimana anda meluangkannya.

Penulis; Nurul Afiqah binti Hamzah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular