Thursday, September 28, 2023
HomeArtikelSindrom Tourette: Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu

Sindrom Tourette: Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu

Pernahkah anda melihat video-video di aplikasi Tiktok, Twitter dan sebagainya tentang individu-individu yang mengalami penyakit Sindrom Tourette?

Kebanyakkan video-video tersebut terdiri daripada orang asing dari luar negara. Namun begitu, baru-baru ini terdapat beberapa video yang tular tentang seorang remaja wanita Malaysia, bernama Alani, yang juga menghidapi penyakit tersebut.

Video yang tular itu telah mendapat perhatian orang ramai kerana ia sememangnya jarang dijumpai di Malaysia. Jadi, apakah itu Sindrom Tourette?

Sindrom Tourette atau lebih dikenali sebagai, “Tourette Syndrome”, merupakan suatu kondisi di dalam sistem saraf seseorang, menyebabkan seseorang itu melakukan pergerakan, perbuatan atau percakapan secara tiba-tiba dan berulang walaupun pelaku tidak berniat untuk melakukan perbuatan tersebut. Perbuatan ini dikenali sebagai “Tics”.

Sebagai contoh, seseorang mungkin terus berkedip mata berkali-kali atau mengeluarkan suara menggerutu tanpa rela. Mereka bahkan boleh mengeluarkan kata-kata secara rawak dari mulut mereka, bahkan beberapa perkataan yang mungkin kita tidak mahu dengar.

Mempunyai tics boleh diumpamakan seperti tersedu. Walaupun kita mungkin tidak mahu, namun badan kita tetap melakukannya.

Walau bagaimanapun, mereka boleh menghentikan diri mereka daripada melakukan tics tertentu untuk sementara waktu, tetapi agak sukar. Pada akhirnya,  individu itu akan tetap melakukan tics tersebut.

Disebabkan penyakit ini sangat jarang berlaku, sebahagian masyarakat menganggap perbuatan mereka adalah pelik dan tidak normal, sehinggakan ada juga yang menganggap mereka biadap dan kurang ajar, sedangkan ia adalah tidak terkawal. Oleh itu, kita perlu menyebarkan kesedaran untuk mendidik orang ramai mengenai penyakit ini agar tidak lagi berlaku salah faham.

Tahukah anda Billie Eilish juga merupakan salah seorang pesakit Tourette?

Penyanyi muda terkemuka itu telah membuat kenyataan di akaun Instagram beliau bahawa beliau juga menghidapi penyakit tersebut. Beliau turut menerangkan bahawa penyakit Tourette ini telah menyebabkan segala perkara yang dianggap mudah untuk dilakukan, menjadi sukar.

Terdapat juga perkara-perkara atau insiden yang boleh menyebabkan tics tercetus dengan sendirinya. Beliau telah mengajar dirinya beberapa cara untuk mengelakkan beliau melakukan tics, namun, malangnya percubaan untuk mengelakkan tics juga boleh menyebabkan tics tercetus dengan lebih teruk.

Terdapat dua jenis tics iaitu motor dan vokal. Tics Motor merupakan pergerakan badan. Sebagai contoh, perbuatan berkedip mata, menggerakkan bahu, membaling sesuatu objek, memukul dan sebagainya.

Manakala Tics Vokal pula merupakan bunyi yang dihasilkan oleh seseorang dengan suaranya. Misalnya, bersenandung, berdeham, menjerit, menyanyi dan sebagainya. Terdapat juga kategori tics mengikut keparahannya, iaitu Tics Biasa dan Tics Komplex.

Tics biasa hanya melibatkan sebahagian anggota badan seperti mata dan hidung, manakala Tics Komplex melibatkan beberapa bahagian badan yang berbeza dan boleh mempunyai corak pergerakannya yang tertentu seperti menghantuk kepala sambil mengangkat tangan, dan melompat-lompat.

Di Amerika Syarikat, 1 daripada 360 kanak-kanak berusia 6 hingga 17 tahun telah didiagnosis dengan Syndrome Tourette. Mujur sekali, penyakit ini jarang dijumpai di Malaysia.

Doktor-doktor dan Saintis masih tidak mengetahui punca sebenar Sindrom Tourette ini, namun begitu, terdapat kajian yang mengatakan bahawa penyakit ini boleh disebabkan oleh genetik yang diwarisi, dalam erti kata lain, genetik penyakit tersebut telah diturunkan dari ibu bapa kepada anak-anak tersebut.

Bolehkah seseorang itu sembuh daripada penyakit Tourette ?

Kebiasaannya, Sindrom Tourette ini berlaku pada awal usia kanak-kanak selepas umur 1 tahun, sehingga lewat remaja. Apabila seseorang itu semakin berusia, tics akan berkurangan dan menjadi lebih mudah untuk dikawal. Namun begitu, tidak ada kepastian bahawa seseorang itu akan sembuh sepenuhnya daripada penyakit tersebut walaupun telah berusia.

Penyakit Sindrom Tourette ini tidak mempunyai penawar. Namun begitu, ada rawatan yang tersedia untuk membantu mengawal tics. Ramai yang menghidapi Sindrom Tourette ini mempunyai tics yang masih lagi tidak mengganggu kehidupan seharian mereka. Oleh itu, mereka tidak memerlukan rawatan tersebut.

Walau bagaimanapun, terdapat rawatan yang boleh dilakukan bagi mereka yang menghidapi tics yang agak teruk antaranya;

1.    Psikoterapi

Terapi perilaku kognitif adalah jenis psikoterapi yang boleh digunakan untuk mengatasi penyakit Sindrom Tourette ini. Terapi ini tidak dapat menyembuhkannya sepenuhnya, namun ia bertujuan untuk melatih kesedaran pesakit tentang persekitarannya dan melatih mereka untuk mengawal pergerakan mereka.

Bukan itu sahaja, malah, terapi ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh pesakit Sindrom Tourette, tetapi ia juga boleh membantu pesakit yang menghidapi ADHD dan OCD.

2.    Ubat-ubatan

Terdapat juga ubat-ubatan yang membantu mengawal tics dan mengelakkannya daripada menjadi lebih teruk dan tidak terkawal seperti ubat-ubat Antipsikotik, Antidepresan, Botulinum toxin dan Antikonvulsan.

3.    Deep Brain Stimulation

Seterusnya, terdapat juga rawatan Deep Brain Stimulation yang boleh dilaksanakan jika tics yang dihidapi pesakit itu terlalu tidak terkawal, iaitu dengan menanam implan elektrod ke dalam otak pesakit.

Namun begitu, rawatan tersebut terlalu berisiko kerana boleh menyebabkan gangguan percakapan, pendarahan dan sebagainya. Oleh itu, sebaiknya rawatan tersebut hanya boleh dilaksanakan atas nasihat doktor-doktor pakar.

Seorang remaja di Australia Bernama Bianca Saez pernah mempunyai Sindrom Tourette yang terlalu teruk, hingga boleh mencederakan orang-orang di sekelilingnya, terutama sekali, rakan-rakan baik dan keluarga tersayang.

Bianca juga menghadapi kesukaran untuk bergaul dan berkawan disebabkan penyakitnya ini yang menimbulkan perasaan takut kepada kawan-kawannya untuk mendekati Bianca.

Namun segalanya telah berubah pada tahun 2008 ketika beliau berumur 16 tahun, beliau telah menjadi pesakit Australia pertama yang menjalani pembedahan yang melibatkan dua elektrod di dalam otaknya untuk menetapkan semula neuron yang rosak hingga menyebabkan Sindrom Tourette.

Selepas menjalani pembedahan tersebut, Bianca akhirnya dapat menjalani kehidupan sehariannya seperti normal. Kini, beliau berumur 27 tahun dan berjaya memperoleh kerjaya yang beliau impikan.

4.    Memberi Semangat Kepada Pesakit Tourette

Disebabkan penyakit Sindrom Tourette yang dihidapi, pesakit-pesakit Tourette ini tidak dapat menjalankan kehidupan mereka seperti orang biasa, walaupun sekadar melakukan kerja-kerja ringan dan menguruskan diri, kerana serangan tics tersebut boleh berterusan selagi mana individu tersebut masih menyedarkan diri.

Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan perasaan kepada individu tersebut dan akhirnya menyebabkan mereka mengalami stress, depresi, dan keyakinan diri yang lemah.

Oleh itu, jika kita mempunyai rakan-rakan baik yang mengalami penyakit Sindrom Tourette ini, sekurang-kurangnya kita boleh bantu mereka dengan memberi sokongan kepada mereka antaranya:

  • Berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan informasi yang tepat mengenai Sindrom Tourette.
  • Cuba memahami keadaan mereka bahawa mereka tidak berniat untuk melakukan perbuatan tersebut, elakkan daripada meminta mereka untuk berhenti.
  • Elakkan daripada mentertawakan mereka ketika mereka mengalami serangan tics.
  • Apabila mereka sedang bersedih, luangkan masa untuk mendengar luahan mereka.
  • Sentiasa berada di samping mereka dan memberi sokongan kepada mereka. Orang sekeliling mungkin tidak tahu tentang penyakit yang dihadapinya. Oleh itu, jika terdapat orang sekeliling yang tersalah faham, bersedia untuk bersuara bagi mempertahankan rakan kita yang menghidapi Tourettes.

3 Perkara Tentang Sindrom Tourette Yang Mungkin Kita Tidak Tahu

1.   Orang Yang Menghidapi Tourette Tidak Selalu Mencaci Dan Memaki.

Segelintir masyarakat telah menyalah erti pesakit-pesakit Tourette ini dan menyatakan mereka bersikap kurang ajar dan tidak senonoh kerana sering menggunakan bahasa atau perkataan yang kasar.

Namun realitinya, perbuatan yang dilakukan oleh mereka adalah 100% tidak terkawal. Tics ini dikenali sebagai “Coprolalia” iaitu ia merupakan suatu Tics Complex yang sukar dikawal dan disorok dan melibatkan yang tidak sesuai.

2.     Mempunyai tics tidak semestinya seseorang itu menghidapi Tourette.

Tics, merupakan perbuatan membuat bunyi-bunyi atau pergerakan yang sukar dikawal, adalah sebahagian daripada Tourette. Namun, ia lebih complex daripada itu.

Seseorang boleh mempunyai tics yang tidak kekal dan hanya berlangsung selama beberapa minggu atau bulan. Memiliki Tourette bermaksud seseorang mempunyai sekurang-kurangnya dua tics motor dan sekurang-kurangnya satu tics vokal, dan mempunyai tics selama lebih dari satu tahun.

3.     Penghidap Tourette Tidak Dapat Mengawal Tics Mereka (Pergerakan Atau Suara) Walaupun Mereka Mahu

Mempunyai tics adalah sukar dikawal. Perbuatan tersebut adalah tidak sengaja atau dikenali sebagai involuntary. Walaupun penyebab sebenar tics masih belum diketahui, banyak orang membandingkan tics dengan perasaan gatal atau keinginan untuk bersin.

Anda mungkin telah cuba untuk menghentikannya, tetapi akhirnya anda tetap juga menggaru atau bersin dan merasa lebih lega setelah melakukannya kerana dorongan tersebut telah hilang, hinggalah dorongan tersebut kembali lagi.

Apabila seseorang itu cuba menahan tics mereka, ia boleh menyebabkan tekanan dan tics boleh menjadi lebih teruk. Selain itu, anxiety juga boleh menyebabkan tics menjadi lebih teruk.

Kesimpulannya, badan dan otak kita semua bekerja dengan cara yang berbeza. Oleh itu, dengan belajar memahami dan menyesuaikan diri dengan keperluan orang lain, serta memahami keperluan diri kita sendiri, juga merupakan kemahiran yang berguna dalam kehidupan kita.

Menjadi seorang rakan atau individu yang baik merupakan satu proses, dan kadangkala kita tetap akan melakukan sesuatu kesilapan. Sekiranya perkara seperti ini berlaku, kenali silap kita dan bersedia untuk membincangkannya agar kita menjadi lebih baik di masa akan datang.

Membaca artikel ini juga merupakan langkah awal untuk menjadi individu yang baik dan prihatin terhadap mereka yang menghidapi Tourette. Setiap orang mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing.

Oleh itu, janganlah kita membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui latar belakang atau masalah yang dihadapi oleh seseorang individu kerana kita mungkin akan tersilap anggap.

Penulis; Jazlina Arifah binti Izham, pelajar tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

RUJUKAN

  1. Brown, T. (2019, August 18). “Unforgettable” young woman with worst case of Tourette’s finds love and fulfilment. Retrieved June 30, 2021, from @9News website: https://www.9news.com.au/national/60-minutes-tourettes-syndrome-bianca-saez-tara-brown-woman-etched-in-my-mind/75d5e639-e7f3-4efc-b58a-8724703c66eb
  2. How to be a good friend to someone with Tourettes. (2020, September 6). How to be a good friend to someone with Tourettes. Retrieved June 30, 2021, from Touretteshero website: https://www.touretteshero.com/2020/09/06/how-to-be-a-good-friend-to-someone-with-tourettes/
  3. Idika, N. (2018, November 28). Billie Eilish reveals she has Tourette Syndrome. Retrieved June 30, 2021, from PopBuzz website: https://www.popbuzz.com/music/news/billie-eilish-tourette-syndrome/
  4. Tourette syndrome – Symptoms and causes. (2018). Retrieved June 30, 2021, from Mayo Clinic website: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tourette-syndrome/symptoms-causes/syc-20350465
  5. CDC. (2020, March 6). Five Things about Tourette. Retrieved June 30, 2021, from Centers for Disease Control and Prevention website: https://www.cdc.gov/ncbddd/tourette/features/tourette-five-things.html
  6. https://www.alodokter.com/author/stephanie. (2016, May 20). Sindrom Tourette. Retrieved June 30, 2021, from Alodokter website: https://www.alodokter.com/sindrom-tourette
RELATED ARTICLES

Most Popular