Saturday, August 13, 2022
HomeArtikelSistem Pendidikan Satu Aliran Nasional Memperkukuh Hubungan Etnik

Sistem Pendidikan Satu Aliran Nasional Memperkukuh Hubungan Etnik

Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, ataupun masyarakat majmuk, yang terdiri daripada bangsa utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Sistem pendidikan melalui sistem persekolahan merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial.

Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata, bahkan ia merupakan saluran penting untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan sejagat.

Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama, dan aspek-aspek moral diterapkan kepada masyarakat yang bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, bijak dan mempunyai sifat patriotik di mana ia penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat.

Sistem persekolahan yang terbaik adalah sistem persekolahan yang meliputi keseluruhan kehidupan masyarakat Malaysia, di mana ia tidak hanya terhenti apabila seseorang individu tamat persekolahan atau tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, tetapi ia menjadi kesinambungan dalam kehidupan hingga ke hari tua dengan memberi sumbangan bagi memartabatkan bangsa dan negara.

Namun, sistem pendidikan di Malaysia terdapat kekurangan dalam memberi kesaksamaan pendidikan pada warga bumiputera dan bukan bumiputera. Terdapat banyak isu yang telah dibangkitkan bagi menuntut hak pendidikan bangsa masing-masing.

Antaranya ialah wujud sistem persekolahan pelbagai aliran. Memasuki tahun 2010 telah menjadikan sistem pendidikan di Malaysia bergerak seiring dengan keperluan semasa akibat perubahan arus pemodenan. Namun, Malaysia masih meneruskan kesinambungan sistem persekolahan dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Isu-isu sistem persekolahan merupakan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat persetujuan daripada masyarakat yang mempunyai pandangan dan kepentingan yang berbeza.

Masyarakat mengetahui bahawa pihak kerajaan perlu memainkan peranan bagi menaikkan mutu pendidikan kebangsaan tetapi sejauh mana setiap tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Sistem persekolahan Malaysia kini masih tidak banyak berubah dari aspek perpaduan kaum.

Murid-murid dan pelajar dapat menjadikan sekolah sebagai asas permulaan membina hubungan baik sesama mereka di mana di sekolah, mereka dapat beramah mesra, bergaul, bersukan, makan bersama, saling kenal-mengenali dan merapatkan hubungan silaturahim.

Namun begitu, kewujudan sekolah yang pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia. Kini, ianya sudah tidak relevan untuk diguna pakai kerana sekiranya ia masih diteruskan, maka hubungan antara masyarakat Malaysia akan semakin pudar. Hal demikian kerana sekolah merupakan tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk saling mengenal.

Namun, sehingga kini, masyarakat Malaysia masih belum bersetuju untuk menggunakan satu sistem sekolah sahaja. Hal ini kerana, masyarakat Cina dan India masih mahu menggunakan sistem sekolah pelbagai aliran yang dianggap dapat menjaga bahasa ibunda mereka dan menjamin hak-hak mereka.

Idea menubuhkan satu aliran sistem persekolahan perlu dilaksanakan kerana melaluinya semangat perpaduan di kalangan rakyat dapat dipupuk. Pelaksanaan sekolah satu aliran tidak akan menyebabkan kehilangan identiti kaum tertentu, malah ia akan terus menyemai semangat perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat Cina, India, dan semua kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka, walaupun belajar di sekolah yang sama aliran.

Selain daripada wujud sistem persekolahan pelbagai aliran, terdapat isu lain yang timbul iaitu berkenaan dengan pengisian dalam kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum. Hal ini penting kerana ia memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada masyarakat dalam membentuk jati diri dan disiplin.

Terdapat kelemahan dalam pengisian kurikulum dan ko-kurikulum di mana reaksi yang negatif kelihatan dalam hubungan masyarakat. Contohnya, sekolah kebangsaan tidak menjadikan Bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil sebagai subjek wajib telah menyebabkan ibu bapa daripada Cina dan India tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Bagi mereka, bahasa ibunda ialah identiti yang harus dipelihara.

Oleh itu, satu sistem persekolahan perlu diwujudkan dengan menerapkan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai subjek yang wajib diambil oleh murid-murid Cina dan India. Murid-murid Melayu boleh mengambil bahasa Mandarin dan Tamil sebagai salah satu subjek pilihan. Secara tidak langsung, orang Melayu akan dapat menguasai Bahasa Mandarin dan Tamil yang akhirnya dapat merapatkan jurang pendidikan antara kaum.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu mengambil berat mengenai pendidikan di negara bagi membentuk masyarakat yang memahami antara satu sama lain sejak di bangku sekolah walaupun berbeza bangsa dan agama.

Penulis;  Ahmad Fateh Bin Md Hali, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Akidah Dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular