Topik steroid dan ubat peningkatan prestasi dalam sukan semakin menjadi topik lazim dalam arena sukan dekad ini. Terdapat juga kes di mana atlet profesional ditangkap menggunakan steroid di temasya sukan internasional.
Kita juga sudah mendengar tentang atlet Olimpik yang telah dilucutkan pingat mereka kerana gagal dalam ujian dadah. Terdapat juga atlet sukan profesional yang ditangkap dan dipulaukan serta dipinggirkan oleh masyarakat dan komuniti sukan kerana menggunakan steroid.
Sebenarnya terdapat alasan yang sah bagi penggunaan steroid contohnya, ia membantu atlet mengatasi kecederaan mereka. Penggunaan steroid akan mempercepatkan proses penyembuhan dan membolehkan mereka bersaing dengan lebih berkesan. Akan tetapi, penggunaan steroid tersebut haruslah berdasarkan preskripsi yang diberikan oleh doktor dan hanya diambil dalam dos yang terkawal.
Walau bagaimanapun, sebahagian atlet dan penggiat aktiviti kecergasan telah melampaui batas ini dengan menggunakan steroid untuk keuntungan mereka sendiri. Mereka percaya bahawa dengan mengambil steroid, ia akan memberi manfaat kepada karier mereka dan melancarkan mereka ke puncak prestasi mereka yang tertinggi di dalam karier sukan.
Bergiat dalam sukan profesional boleh memberi kesan besar pada tubuh manusia kerana ia memerlukan atlet untuk terus mendorong diri ke had mereka dan mempunyai peluang tinggi untuk mengalami kecederaan dan masalah tulang sepanjang ‘musim panas’.
Apabila pemain mengalami kecederaan, ia boleh memberi kesan yang serius terhadap karier seseorang, seterusnya menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.
Penggunaan steroid anabolik adalah dilarang dan sangat berbahaya. Menurut kajian yang dilakukan oleh World Anti-Doping Agency, hampir satu juta orang mengalami kecederaan akibat daripada penggunaan steroid setiap tahun.
Dengan sebab ini sahaja sudah mencukupi untuk jawatankuasa sukan antarabangsa seperti Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), melarang penggunaan steroid oleh atlet, sama ada disebabkan oleh kesan sampingannya yang berpotensi berbahaya mahupun kerana ia memberikan kelebihan secara tidak adil dalam sukan kepada pengguna steroid tersebut.
Dalam artikel ini, penulis akan menunjukkan kepada pembaca bagaimana penyalahgunaan steroid boleh merosakkan hidup penggunanya.
Apa Itu Steroid Anabolik?
Steroid adalah ubat sintetik yang meniru hormon yang dihasilkan oleh tubuh kita secara semula jadi sebagai sebahagian daripada pematangan atau sebagai tindak balas kepada tekanan. Steroid anabolik meniru hormon seks lelaki; istilah yang tepat bagi mereka adalah steroid anabolik-androgenik.
Istilah anabolik merujuk kepada proses pembinaan tisu otot, sementara androgenik merujuk kepada ciri seks lelaki.
Steroid anabolik adalah jenis yang biasanya disalahgunakan oleh atlet dan penggiat aktiviti kecergasan. Steroid anabolik digunakan secara giat oleh ahli bina badan, atlet, dan “penggemar” aktivit kecergasan yang mendakwa bahawa steroid dapat memberikan mereka kelebihan daya saing dan meningkatkan prestasi fizikal mereka.
Steroid juga dikatakan dapat meningkatkan jisim badan, kekuatan dan keagresifan. Mereka juga percaya steroid dapat mengurangkan masa pemulihan antara latihan, yang membolehkan mereka untuk berlatih lebih keras dan dengan demikian meningkatkan kekuatan dan daya tahan.
Sebilangan orang yang bukan atlet juga mengambil steroid untuk meningkatkan daya tahan, mendapatkan bentuk badan ideal dan kekuatan otot serta mengurangkan lemak badan dengan harapan dapat meningkatkan penampilan diri mereka.
Kesan-Kesan Steroid Anabolik
Walaupun pengguna steroid ini dicerahkan dengan pelbagai kelebihan anabolik steroid, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan masalah kesihatan yang serius berkaitan dengan penyalahgunaan steroid.
Efek-efek steroid anabolik dapat dibahagikan kepada kesan fizikal dan kesan psikologi pada pengguna steroid anabolik.
Kesan Kepada Fizikal
Kesan fizikal yang dapat dikesan pada pengguna steroid anabolik seringkali dapat dilihat daripada segi kesihatan dan penampilan mereka. Kesan fizikal pula dapat dilihat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Kesan yang jelas dapat dilihat dalam jangka masa pendek ialah masalah pertumbuhan jerawat yang teruk di bahagian muka dan badan pengguna steroid. Selain itu, pengguna steroid terutamanya pengguna lelaki akan mengalami penipisan rambut yang akan mengakibatkan botak.
Walaubagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara di mana rambut tersebut akan tumbuh semula setelah pengambilan steroid anabolik dihentikan.
Seterusnya, berat badan pengguna steroid anabolik juga akan bertambah secara mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab atau juga dikenali sebagai “moon face”. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, risiko terkena penyakit kencing manis dan juga darah tinggi.
Kesan jangka masa panjang pula ialah penggunaan steroid anabolik boleh menyebabkan tahap kolesterol darah meningkat. Tahap kolesterol darah yang tinggi boleh menyebabkan masalah kardiovaskular seperti kerosakan jantung dan strok.
Ia juga boleh mengakibatkan kerapuhan tulang yang parah. Keadaan ini akan menyebabkan tulang seseorang itu tidak kuat dan mudah patah walaupun hanya terkena hentakan yang perlahan.
Penggunaan steroid anabolik yang berterusan juga boleh menyebabkan penghasilan selaput di bahagian mata. Ianya akan berkembang menjadi penyakit yang bernama katarak. Sekiranya ia tidak dirawat, ia akan menyebabkan penghidapnya hilang penglihatan. Akhir sekali, kesan jangka masa panjang penggunaan steroid anabolik ialah kerosakan hati dan penyakit kuning.
Selain itu, kesan fizikal penggunaan steroid anabolik juga merangkumi masalah pertumbuhan dan seksual. Kesan seksual dan pertumbuhan yang dapat dilihat pada pengguna lelaki ialah Atrofi (membuang tisu atau organ) testis, kehilangan dorongan seksual. Ia juga akan mengurangkan pengeluaran sperma dan menurunkan tahap hormon dalam badan.
Selain itu, payudara dan prostat pengguna steroid anabolik lelaki akan membesar. Akhirnya ia boleh menyebabkan kemandulan.
Kesan seksual dan pertumbuhan yang dapat dilihat pada perempuan pula ialah pengguna steroid anabolik wanita akan menghadapi kesan maskulin seperti bulu di muka, saiz payudara yang berkurang, suara yang semakin mendalam, dan pembesaran kelentit. Mereka juga mengalami haid yang tidak normal. Akhirnya, ia juga boleh menyebabkan kemandulan.
Kesan Kepada Otak
Penggunaan steroid anabolik mempengaruhi bahagian otak yang disebut sistem limbik, yang mengawal mood seseorang manusia. Penggunaannya tidak menyebabkan khayal serta merta seperti ubat lain, tetapi boleh menyebabkan kesan lain yang berbahaya.
Penyalahgunaan steroid dalam jangka panjang akan menyebabkan tingkah laku agresif dan perubahan mood yang melampau. Gejala ini lebih dikenali sebagai “kemarahan roid”. Gejala kemarahan roid ini menyebabkan ledakan kemarahan, pencerobohan, dan keganasan yang disebabkan oleh penggunaan steroid anabolik.
Beberapa pakar percaya bahawa penggunaan testosteron daripada steroid anabolik dapat menyumbang kepada paranoid, kemurungan dan ledakan keganasan yang akan membahayakan pengguna steroid anabolik dan juga orang di sekelilingnya.
Kesan Kepada Psikologi
Selain daripada kesan fizikal, pengamalan steroid anabolik juga akan memberi kesan kepada psikologi pengguna steroid anabolik. Kesan psikologi ini berpunca daripada pengaruh steroid anabolik di otak.
Antara kemungkinan gangguan psikologi termasuk perubahan mood yang drastik contohnya menimbulkan perasaan paranoid, cemburu, berkhayal, dan merasakan seolah-olah diri kebal dan tidak terkalahkan seperti tidak ada yang dapat menyakiti mereka.
Gejala seperti maniak atau gila yang boleh membawa kepada keganasan juga menjadi kesan daripada penggunaan steroid anabolik. Penghakiman pengguna steroid juga akan terganggu akibat daripada perasaan diri yang kebal dan tidak boleh dikalahkan.
Kesan psikologi lain juga termasuk kemurungan, rasa gementar yang melampau, dan akhirnya pengguna steroid anabolik akan sering merasakan permusuhan dengan semua pihak.
Kesimpulan
Tuntasnya, gejala pengambilan steroid anabolik ini akan terus wujud dan ada baik daripada kalangan atlet profesional, ahli bina badan mahupun penggemar aktiviti kecergasan.
Mereka akan mengambil ‘ubat’ ini dengan pelbagai alasan antaranya untuk memecahkan rekod, menaikkan nama mereka di platform antarabangsa, untuk pulih daripada kecederaan dan juga demi mendapatkan figura badan yang menarik dan diidamkan.
Malangnya, ia hanya akan merosakkan reputasi mereka kerana banyak organisasi dan peminat sukan menganggap perbuatan ini sebagai satu penipuan. Penggunaannya juga hanya akan memberikan lebih banyak kesan buruk kepada kesihatan penggunanya berbanding kebaikan yang ditawarkan steroid anabolik tersebut.
Pada pendapat penulis, steroid anabolik akan selalu ada dalam arena sukan dan pertandingan, kecuali langkah serius diambil oleh organisasi yang bertanggungjawab untuk sepenuhnya menghapuskan penggunaan steroid dalam sukan dan mengenakan hukuman berat kepada pengamal steroid anabolik.
Pengeluaran steroid juga perlu dikawal rapi oleh kerajaan dan hanya diberikan kepada orang yang betul-betul memerlukan penggunaan steroid tersebut secara terkawal atas saranan doktor yang bertanggungjawab dan bertauliah.
Atlet yang benar-benar serius terhadap kesihatan dan sukan serta bertujuan untuk meningkatkan kekuatan, prestasi dan penampilan fizikal mereka haruslah menjauhi penggunaan steroid anabolik dan terus berusaha keras demi mencapai sasaran mereka dengan menggunakan platform dan cara yang betul dan selamat.
Penulis; Muhammad Arieff Haikal Bin Ezaidin, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.