Thursday, July 11, 2024
HomeArtikel“Tata Krama Pelajar”: Kunci Kejayaan Di Dunia Pendidikan

“Tata Krama Pelajar”: Kunci Kejayaan Di Dunia Pendidikan

Mungkin ramai yang tertanya, apakah yang dimaksudkan dengan “tata krama”. Dan apakah kaitannya dengan seorang pelajar dan peranannya sebagai kunci kejayaan di dunia pendidikan.

Perkataan “tata krama” berasal dari bahasa Sanskrit, yang merupakan salah satu bahasa tertua di dunia dan banyak digunakan dalam sastera klasik India. Dalam bahasa Sanskrit, “tata” bererti “tata cara” atau “aturan”, manakala “krama” bererti “langkah” atau “tindakan.” Jadi, secara harfiah, “tata krama” mengacu kepada serangkaian aturan atau norma-norma perilaku yang dianggap sopan, sesuai dengan norma sosial dan budaya yang berlaku dalam suatu masyarakat. Ianya juga meliputi berbagai aspek, termasuk cara berbicara, berinteraksi dengan orang lain, berpakaian, dan menunjukkan penghormatan terhadap orang lain.

Istilah ini kemudian digunakan dalam bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Indonesia, untuk merujuk pada aturan-aturan perilaku atau norma sosial yang diikuti dalam masyarakat. Oleh itu, secara mudahnya lagi, dapat kita kaitkan di sini bahawa tata krama ini bermaksud adab dan konteks yang akan kita ketengahkan pada hari ini ialah adab sebagai seorang pelajar.

Dalam dunia pendidikan, perkataan adab ini tidak akan pernah lari dan sering dikaitkan dalam diri seseorang insan yang digelar pelajar. Peranan seorang pelajar dalam menghormati gurunya adalah sangat penting dan ianya diibaratkan sebagai akar kepada pohon yang berbuah. Dalam agama Islam, setiap pelajar wajib menghormati gurunya agar ilmu yang dipelajari mendatangkan keberkatan dan keredaan Allah.

Sering kita mendengar ungkapan kata “adab dalam menuntut ilmu membawa kepada keberkatan”. Namun, apakah itu keberkatan? Keberkatan dalam kehidupan merujuk kepada anugerah, kesempatan, atau keadaan yang menimbulkan kebahagiaan dan ketenteraman yang mendalam dalam diri seseorang. Perlulah juga diingatkan bahawa keberkatan dalam kehidupan tidak selalu diukur dengan kejayaan atau kekayaan material semata-mata, tetapi ia meliputi kebahagiaan dalam hubungan, kedamaian rohani, dan rasa syukur terhadap segala yang dimiliki.

Dalam era globalisasi ini, kita sering didedahkan dengan isu mengenai tingkah laku dan sikap buruk pelajar terhadap guru mereka sendiri. Dan apa yang lebih membimbangkan lagi adalah apabila sikap tidak menghormati guru dalam kalangan pelajar ini seolah-olah menjadi kelaziman pada masa kini, sekali gus memberi cabaran serta kesukaran yang perlu dihadapi oleh para pendidik moden.

Seperti yang kita ketahui, guru diibaratkan seperti lilin yang membakar dirinya demi menerangi kehidupan orang lain. Justeru itu, dapatlah kita lihat kesan apabila adab pelajar yang semakin tipis ini akan menjadikan kesungguhan, pengorbanan serta keikhlasan para guru dalam memastikan kejayaan anak didiknya hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi.

Setelah ditelusuri, pepatah Melayu yang berbunyi ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ haruslah dititik beratkan oleh ibu bapa yang perlu menyemai adab sopan anaknya sejak di usia muda, khususnya adab sopan dalam menuntut ilmu. Adab ini hendaklah dilentur bermula dari rumah. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting sebagai pendidik di rumah. Sekiranya perkara ini gagal dibentuk oleh ibu bapa, ia akan menyebabkan semua pihak termasuklah para guru perlu meletakkan tanggungjawab yang besar dalam mengajar dan membentuk anak didiknya.

Hal ini kerana, para pelajar lebih menghabiskan masa mereka di sekolah berbanding di rumah. Dengan demikian, mendidik atau membentuk karakter seseorang pelajar yang beradab sejak kecil adalah lebih efisien dan efektif sekali gus mampu mendatangkan keberkatan dalam ilmu yang dipelajari di sekolah.

Adab sebagai seorang pelajar bukanlah sekadar serangkaian aturan tingkah laku yang kaku. Sebaliknya, ia adalah sikap moral yang membentuk jati diri seseorang sebagai pelajar dan juga sebagai manusia berguna yang mampu berjasa kepada seluruh penduduk di muka bumi. Di bawah ini, marilah kita melihat dengan lebih mendalam bagaimana adab mampu menjadi kunci kejayaan kepada diri seseorang pelajar.

Pertama, adab membawa seseorang pelajar kepada penghargaan terhadap ilmu pengetahuan yang dipelajari. Saat seseorang pelajar itu menghormati guru dan sesama pelajar, pelajar tidak hanya menunjukkan rasa hormat terhadap mereka, tetapi juga hormat terhadap pengetahuan itu sendiri.

Dalam hal ini, seseorang pelajar yang beradab akan terzahirnya sikap rendah hati atau tawadu’ yang mengakui bahawa ilmu yang dipelajari hanyalah ibarat buih di lautan. Mereka akan merasakan bahawa ilmu yang telah mereka pelajari hanyalah sedikit. Lantas, perkara ini menyebabkan seseorang pelajar itu akan sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan daripada orang yang pakar.

Oleh itu, tidak sepatutnya ilmu itu perlu dicapai dengan sikap takabbur dan angkuh. Sebaliknya sikap tawaduk, sopan dan bersabar perlu diterapkan dalam diri penuntut ilmu. Ini kerana ilmu perlu diusahakan dengan kesungguhan, ketekunan, keazaman dan keperitan. Maka dalam meraihnya, seseorang penuntut ilmu itu hendaklah mengalpakan kerehatan dan kesenangan hidup.

Kedua, adab mampu melahirkan suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni. Hal ini dapat dilihat apabila pelajar yang beradab akan sentiasa menghargai pendapat orang lain. Dalam suasana yang penuh dengan adab, setiap suara akan didengari dan setiap perspektif dianggap bernilai, sekali gus mewujudkan lingkungan yang membawa ke arah pertumbuhan intelektual dan emosional yang bermakna.

Selanjutnya, adab membimbing seseorang penuntut ilmu dalam menguruskan waktu dan tanggungjawab dengan bijaksana. Adab pelajar terhadap masa sangat penting karena waktu merupakan aset yang berharga dalam proses pembelajaran dan pengembangan diri. Dengan adab, mereka belajar untuk mematuhi jadual pembelajaran, menghormati waktu, dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan tugas-tugas yang telah diamanahkan tepat pada waktunya tanpa sebarang penundaan.

Akhir sekali, adab dapat membentuk karakter seseorang pelajar sebagai pemimpin pada masa hadapan. Seorang pelajar yang memiliki adab akan cenderung menjadi pemimpin yang berintegriti, empati, dan bertoleransi kepada orang lain. Mereka akan sentiasa menjadi inspirasi kepada orang lain dengan sikap mereka yang santun dan rendah hati.

Bagi menutup tirai perbincangan, tata krama sebagai seorang pelajar adalah sangat penting dan tidak akan hilang ditelan dek zaman. Tata krama atau lebih mudah difahami sebagai adab, adalah asas yang kuat untuk dalam dunia pembelajaran. Ketika seseorang itu mengasah adab mereka sebagai pelajar, mereka bukan hanya memperkayakan pengalaman pendidikan, tetapi juga membentuk diri mereka menjadi individu yang lebih baik, dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi tantangan masa hadapan.

Penulis: Syarah Iwanee Nazree, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia
RELATED ARTICLES

Most Popular