Pada zaman serba canggih kini, kita dapat menyaksikan betapa teknologi moden mempengaruhi hampir keseluruhan dunia. Tidak terkecuali juga, teknologi moden ini telah memberi impak yang amat besar kepada kehidupan kanak-kanak pada zaman sekarang.
Dahulu kala, kanak-kanak lebih berminat untuk bermain aktiviti di luar rumah sewaktu petang, berbasikal dan sebagainya. Namun, masa bermain kanak-kanak kini telah direntap oleh kemajuan teknologi moden.
Perkembangan teknologi moden yang kian pesat dari semasa ke semasa menyebabkan ibu bapa tidak dapat lagi mengawal anak mereka daripada terdedahnya kemudahan alat teknologi ini. Hal ini kerana penggunaan teknologi moden ini bukan sahaja diperkenalkan oleh ibu bapa mereka malah penggunaan ini sudah berada di sekeliling kanak-kanak tanpa disedari oleh ibu bapa.
Teknologi digital seperti tablet, telefon pintar, internet dan gajet merupakan antara alat peranti yang memberi impak kepada kanak-kanak. Statistik telah menunjukkan lebih daripada 60 peratus kanak-kanak mempunyai ‘smartphone’.
Perubahan gaya hidup kanak-kanak masa kini telah berubah disebabkan pengaruh teknologi moden dalam kehidupan mereka. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi seperti internet telah membawa kepada persekitaran sosial yang sangat mudah dan pantas.
Kini, kita dapat berkomunikasi, berhubung dan mencari maklumat hanya sekelip mata sahaja. Dengan kaedah baharu ini, ibu bapa merasakan bahawa teknologi moden ini dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada anak-anak mereka.
Tetapi di sebalik keghairahan ibu bapa memberikan alat peranti teknologi ini telah terbukti membawa kesan yang buruk kepada kanak-kanak sekiranya alat elektronik seperti telefon bimbit dan tablet diberi kepada mereka seawal usia muda dan tanpa pengawasan yang ketat kepada mereka.
Ibu bapa atau penjaga berpendapat bahawa apabila diberikan gajet kepada anak mereka, ianya dapat merangsang pemikiran tetapi tidak lagi kerana mereka merasakan lebih mudah diberikan anak kecil apabila mereka menangis dan dengan gajet akan membuatkan si kecil berhenti menangis.
Kadangkala semasa makan, ibu bapa lebih cenderung untuk meletakkan tablet atau telefon bimbit dengan memainkan beberapa video kartun untuk mengalihkan perhatian mereka supaya anak-anak tidak bergerak semasa ibunya menyuapkan makanan dan lebih tertumpu kepada gajet di depan mereka.
Hal ini menyebabkan, tercetusnya kejadian yang tidak diingini di mana apabila kanak-kanak tidak diberikan gajet, mereka akan menangis, mengamuk dan meronta-ronta untuk bermain dengan alat peranti tersebut.
Semasa waktu tidur juga ibu bapa akan memberi gajet kepada kanak-kanak terlebih dahulu untuk memudahkan mereka tidur. Kemungkinan ibu bapa seharian suntuk bekerja, mereka tidak mampu untuk melayan kerenah dan terpaksa memberi kemudahan itu kepada anak mereka.
Menurut Ketua Kluster Kesihatan Kanak-kanak Majlis Profesor Negara, Prof Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin berkata, jika gajet didedahkan awal kepada kanak-kanak dalam tempoh yang lama, menyebabkan perkembangan kanak-kanak akan merosot di awal usia muda. Menurut beliau juga, sikap kanak-kanak yang alpa apabila berjumpa sesuatu yang menarik perhatian dan seronok, terutamanya gajet, maka mereka tidak lagi mengedahkan suasana di sekeliling mereka dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap gajet.
Penggunaan gajet yang keterlaluan kepada kanak-kanak akan memberi impak yang negatif kepada tumbesaran kanak-kanak tersebut. Sepatutnya, di usia awal ini mereka perlu meneroka pelbagai perkara baharu seperti berjalan, berlari, memanjat atau melakukan aktiviti yang lain supaya mereka tidak hanya tertumpu kepada skrin gajet yang boleh merosakkan mata mereka. Mereka perlu dipupuk dari kecil lagi supaya apabila dewasa kelak mereka tidak mempunyai masalah komunikasi atau malu untuk berinteraksi dengan orang lain.
Selain itu, kanak-kanak perlu mempunyai interaksi bersama ibu bapa mereka. Disebabkan hal ini tidak dititiberatkan oleh sesetengah golongan ibu bapa yang lebih berminat untuk memberi anak mereka gajet menyebabkan terdapat kanak-kanak seawal usia 4 tahun masih tidak fasih atau berkomunikasi dengan baik.
Pada fasa umur ini, sepatutnya kanak-kanak tersebut sudah petah berbicara. Hal ini berlaku disebabkan ibu bapa tidak mahu aktiviti mereka terganggu, maka memberi telefon pintar atau tablet kepada anak-anak adalah keputusan yang tepat.
Memiliki kemudahan teknologi canggih di awal usia kanak-kanak bukanlah perkara yang digalakkan. Namun, sekiranya ibu bapa dapat mengawal dan menghadkan penggunaan gajet kepada anak mereka, ianya tidak menjadi sebarang masalah.
Yang menjadi masalah apabila ibu bapa tidak mengendahkan dan mengambil berat tentang ketagihan yang telah dialami oleh anak mereka sendiri. Masih ada sesetengah ibu bapa yang tidak tahu mengenai kesan negatif yang akan berlaku kepada anak mereka sekiranya penggunaan gajet berlebihan ini tidak dititikberatkan.
Oleh itu, penting kepada ibu bapa untuk cakna dan mengetahui antara kesan negatif yang bakal dialami oleh kanak-kanak sekiranya penggunaan gajet ini tidak terkawal dan diawasi dengan baik:
1. Masalah Hubungan dan Kemahiran Sosial
Penggunaan gajet yang tidak terkawal oleh kanak-kanak menyebabkan mereka akan menjadi ketagih. Justeru itu, kanak-kanak akan memilih untuk menghabiskan masa mereka dengan gajet berbanding dengan ibu bapanya dan rakan sebayanya.
Apabila mereka tidak aktif bergaul, masalah sosial akan timbul menyebabkan mereka lebih suka menyendiri, kurang berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Kelak dewasa nanti akan menyebabkan kemahiran sosial mereka tidaklah seiring dengan perkembangan fizikalnya. Oleh itu ibu bapa perlu lebih berkomunikasi dan mengajar anak mereka untuk berhubung dengan orang lain.
2. Masalah Kesihatan
Penggunaan gajet yang berlebihan ke atas kanak-kanak sangat membahayakan kesihatan mereka apatah lagi mereka belum berganjak tua lagi. Semakin banyak masa yang dihabiskan dengan bermain gajet, semakin kurang aktiviti fizikal yang akan mereka lakukan.
Sepatutnya, di usia ini mereka perlu bermain di luar bersama rakan-rakan supaya mereka aktif dan berpeluh. Apabila duduk di rumah sambil bermain gajet dengan tangan sibuk menyuakan makanan yang tidak berkhasiat menyebabkan punca masalah obesiti berlaku di kalangan kanak-kanak.
Selain itu, masa yang dihabiskan di depan skrin sambil berbaring di atas sofa menyebabkan mereka tidak dapat untuk mengeluarkan peluh dan membakar kalori seperti berlari dan bermain bersama kanak-kanak lain. Lama kelamaan, apabila mereka tidak aktif akan menyebabkan punca kenaikan badan yang ketara.
Ibu bapa perlu mendorong anak mereka untuk keluar bermain bersama kawan-kawan supaya tidaklah mereka terperap di dalam rumah dengan mengumpul lemak di badan.
3. Kerosakan mata
Gajet juga boleh menyebabkan kerosakan mata atau rabun. Terdapat sebilangan kanak-kanak yang berumur mereka baru mencecah 4 tahun sudah memakai cermin mata. Pancaran cahaya ‘bluelight’ dari skrin yang terdedah melebihi dua jam boleh menyebabkan implikasi yang serius pada mata mereka.
Ibu bapa perlu menghadkan masa kepada kanak-kanak supaya mereka tidak bermain lebih daripada masa yang telah diperuntukkan.
4. Ketagihan pornografi
Sebahagian besar laman sesawang sekarang lebih banyak memaparkan iklan. Kadangkala iklan-iklan tersebut boleh membahayakan kanak-kanak. Kanak-kanak mudah meniru apa yang mereka lihat dan mereka tidak sedar akan perkara itu baik atau salah.
Ketagihan pornografi di kalangan kanak-kanak akan menjerumus kepada keruntuhan akhlak, budaya dan tingkah laku seksual yang buruk dan tidak normal. Penyakit ketagihan pornografi adalah sangat bahaya di kalangan kanak-kanak kerana untuk memulihkan dan membentuk kembali adalah sangat susah.
Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa perlu menyekat dan menapis kandungan yang dapat mereka akses supaya dapat mengelakkan anak mereka daripada terjebak dengan pornografi.
5. Kualiti tidur terganggu
Kanak-kanak yang diberikan gajet pada waktu malam oleh ibu bapa untuk menidurkan anak mereka dengan mudah menyebabkan anak-anak akan kurang tidur dan akan berasa lebih cepat letih. Hai ini kerana kualiti tidur mereka sudah dirampas dengan menonton video di gajet atau tablet yang boleh membawa kesan serius kepada otak.
Waktu malam adalah waktu yang terbaik untuk merehatkan minda dan otak supaya keesokan harinya kita dapat berfikiran lebih cergas. Oleh itu, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak mereka sehingga tidur dengan membaca buku bersama-sama atau bercerita secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.
6. Hilang fokus dalam pembelajaran
Kanak-kanak akan cepat hilang tumpuan semasa pembelajaran disebabkan mereka berasa tidak cergas, mengantuk dan cepat letih. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar dan menyebabkan pembelajaran mereka akan merosot lalu mereka mengabaikan pembelajaran.
7. Perilaku yang buruk
Apabila anak-anak mereka ketagih dengan penggunaan gajet, mereka tidak lagi mahu mendengar kata ibu bapa. Di tempat duduk meja makan sibuk dengan gajet atau di mana-mana sahaja tidak boleh berenggang dengan gajet.
Hal ini boleh membentuk sahsiah yang tidak baik kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, apabila tidak diberikan gajet, mereka mula memberontak, menangis dan membaling barang supaya gajet diberikan kembali kepada mereka.
Ini adalah contoh yang tidak baik kerana perilaku ini akan terbawa-bawa sehingga menginjak dewasa. Peranan ibu bapa adalah perlu membentuk perilaku yang baik kepada anak-anak sewaktu mereka kecil lagi.
Sebagai kesimpulannya, tidak dinafikan lagi bahawa teknologi adalah penting pada abad ini. Teknologi memberikan kemudahan kepada manusia untuk kita berhubung, mencari maklumat dan sebagainya. Namun perkara yang tidak baik adalah memberi gajet kepada kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah bertanggungjawab dan bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah ketagihan gajet dalam kalangan anak mereka supaya tidak memberi kesan yang negatif apabila dewasa kelak. Kegagalan menangani masalah ini menyebabkan masa hadapan anak muda akan hancur dan tidak mempunyai pendirian yang tetap disebabkan kegagalan dalam diri mereka.
Penulis; Ira Nadhirah Binti Abdul Rauf, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.