Teman Sejati

0
24
Teman Sejati

“Kawan Angah, siapa ibu dan bapanya?”, tanya saya kepada Angah apabila dia memberitahu bahawa dia mahu ke rumah kawannya untuk study group. Angah memandang saya dengan pandangan yang aneh lalu berkata, “ Manalah Angah tau ibu, Angah tau nama dia ja “.

Pelik betul anak muda sekarang berkawan yaa. Saya mengimbas kembali zaman saya berkawan dahulu. Jika saya mahu pergi ke rumah seorang kawan, saya akan maklumkan kepada mak, “ Kawan ni nama Ita, mak. Yang tinggal dengan ibu saudara dia tu, Cikgu Zainun,” panjang sekali penerangan saya supaya mak tidak risau dan tahu keberadaan saya.

Mungkin hal ini berlaku kerana Angah anak lelaki. Biasalah orang lelaki, sifatnya tidak busy body. Malas ambil tahu lebih-lebih. Mereka fokus kepada target sesuatu. Jalan untuk mencapai target itu tidak perlu diselidik. Benarkah?

Atau pun perubahan teknologi turut mempengaruhi sikap Angah. Bagi anak muda zaman sekarang,  semuanya hanya berada di hujung jari. Jika mahu apa, tekan sahaja butang telefon bimbit, lokasi rumah boleh terus diakses. Jika habis aktiviti study group nanti dia akan menghubungi saya untuk menjemputnya. Mengapa saya perlu risau tentang keberadaannya?

Namun bagi saya yang agak kolot ini, saya masih mahu tahu dengan siapakah anak-anak saya berkawan. Semestinya kawan mereka ramai. Namun dengan siapa, anak-anak kita paling rapat.

Jika kita tahu nama teman rapat anak kita, kita juga perlu cuba mengenali ibu bapanya. Pentingkah? Saya bukan mahu mengukur status, cuma jika berlaku apa-apa, kita tahu mahu bermula di mana.

Bagi anak muda kawanlah segalanya. Apa yang kawan katakan ada kalanya lebih mereka percayai. Banyak yang mereka ikut kawan. Lantas di manakah kuasa ibu bapa?

Bagi saya, anak-anak perlu meletakkan had tertentu. Sebagai misalnya, jika mahu memilih kasut sekolah, jenama kasut sekolah kawan boleh ditiru namun kuasa membeli masih terletak dalam tangan ibu bapa. Jadi, jika kawan memakai kasut jenama mahal, kuasa beli ibu bapa tidak mengizinkan, maka si anak harus berpuas hati sekadar itu.

Saya suka mengingatkan anak-anak, berkawanlah seramai mungkin, namun kawan ketika senang mudah dicari, kawan ketika susah itulah yang seharusnya didampingi. Jika kamu sudah menemui teman sejati, bersedialah untuk saling menerima kelebihan dan kekurangan diri. Barulah wujud ungkapan kawan sehidup semati, kawan sampai syurga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here