Tuesday, April 28, 2026
HomeArtikelTips Kesihatan Berpuasa: Menjaga Makanan Seimbang dan Bernutrisi

Tips Kesihatan Berpuasa: Menjaga Makanan Seimbang dan Bernutrisi

Bulan Ramadan adalah waktu yang istimewa di mana umat Islam berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Selama bulan ini, adalah penting untuk menjaga kesihatan tubuh agar dapat menjalani ibadah dengan baik.

Salah satu aspek penting dalam menjaga kesihatan semasa berpuasa adalah dengan memastikan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi.

Berikut adalah beberapa tips kesihatan untuk menjaga makanan seimbang dan bernutrisi semasa berpuasa;

Sahur yang Berkhasiat

Sahur yang berkhasiat merujuk kepada waktu makan sebelum fajar semasa bulan Ramadan, iaitu sebelum memulakan puasa pada waktu subuh. Sahur adalah waktu penting untuk menyediakan tubuh dengan tenaga yang mencukupi untuk menempuh hari berpuasa tanpa mengalami keletihan atau kekurangan tenaga yang berlebihan.

Jadi, pilihlah makanan yang mengandungi sumber karbohidrat kompleks seperti oatmeal, roti gandum, atau nasi perang bersama dengan sumber protein seperti telur, daging tanpa lemak, atau kacang-kacangan. Jangan lupa untuk menyertakan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk serat dan nutrien tambahan.

Sahur yang berkhasiat melibatkan pemilihan makanan yang mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin, mineral, serat, dan juga antioksidan. Sahur juga merupakan peluang untuk mendapatkan air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi semasa berpuasa. Kehilangan air melalui proses penguapan semasa tidur memerlukan penggantian, dan sahur adalah waktu yang sesuai untuk memulihkan kehilangan cecair dalam badan.

Kehadiran cecair yang mencukupi dalam badan membantu kita untuk menjaga kecergasan dan kebolehan supaya dapat menjalankan ibadah dengan penuh semangat dan khusyuk sepanjang hari. Ini membolehkan seseorang untuk beribadah dengan lebih baik dan memberi penghormatan yang lebih besar kepada bulan Ramadan.

Kawal Saiz Hidangan

Ketika berbuka, elakkan daripada terlalu banyak makan dalam satu hidangan. Kawal saiz hidangan adalah penting semasa berbuka puasa untuk mengelakkan makan berlebihan dan menjaga kesihatan keseluruhan. Memilih hidangan yang bersaiz sederhana membantu mengawal pengambilan kalori dan memastikan seseorang makan secukupnya tanpa berlebihan.

Mulakan dengan hidangan kecil yang mengandungi karbohidrat kompleks, protein, dan sayur-sayuran, dan berhenti makan apabila kenyang untuk mengelakkan perut yang kembung dan memberi ruang untuk menikmati hidangan lain kemudian.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul al-Arba’in fi Usul al-Din (Empat Puluh Asas-asas Agama) telah menjelaskan bahawa terdapat 10 perkara yang menjadi asas utama sifat-sifat tercela. Antara perkara yang boleh mengotorkan jiwa manusia adalah rakus dalam pemakanan.

Ia merupakan asas pertama yang disebut al-Ghazali ketika menerangkan sifat-sifat tercela berkaitan jiwa. Perut dianggap menjadi sumber kepada syahwat yang menimbulkan keinginan nafsu. Dengan mengamalkan kawalan saiz hidangan, seseorang dapat menjaga kesihatan pencernaan dan berat badan dalam bulan Ramadan.

Pentingnya Air Dan Makanan Ringan yang Sihat

Pastikan meminum banyak air ketika berbuka dan sahur untuk mengelakkan dehidrasi. Kurangkan minuman berkafein seperti kopi dan teh, kerana ia boleh meningkatkan risiko dehidrasi. Pilihlah air kosong sebagai minuman utama, atau tambahkan buah-buahan segar untuk rasa yang menyegarkan.

Selain itu, ketika berbuka elakkan makanan yang berlemak dan manis yang boleh menyebabkan peningkatan kadar gula darah yang mendadak. Sebaliknya, pilih makanan ringan yang mengandungi karbohidrat kompleks dan protein seperti kurma bersama dengan segelas susu rendah lemak atau yogurt tanpa gula tambahan.

Pentingnya Serat

Serat adalah penting untuk menjaga pencernaan yang sihat dan mengurangkan rasa lapar semasa berpuasa. Serat membantu menggalakkan pergerakan usus yang lancar dan mencegah sembelit. Serat tidak larut dalam air membantu menambahkan isi padu bagi najis, sementara serat larut dalam air membantu menghasilkan tekstur yang lembut dan mudah untuk dikeluarkan.

Selain itu, serat juga dapat membantu mengurangkan berat badan. Serat memberikan rasa kenyang yang lebih lama, membantu mengurangkan keinginan untuk makan berlebihan. Dengan mengisi perut tanpa menambah banyak kalori, serat membantu dalam usaha untuk mengekalkan atau mengurangkan berat badan. Tambahan pula, diet yang kaya dengan serat telah dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung dan strok.

Serat membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah, menggalakkan pengeluaran kolesterol dari tubuh, dan mengurangkan tekanan darah. Sertakan makanan yang kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin utuh, dan kacang-kacangan dalam hidangan berbuka dan sahur anda.

Resipi Kreatif

Cubalah bereksperimen dengan resipi kreatif yang menggabungkan pelbagai bahan yang seimbang dan bernutrisi. Untuk memperkaya pengalaman berpuasa, kita boleh mencontohi content creator seperti Khairul Aming yang memberi resipi kreatif setiap hari di laman sosialnya. Dengan menawarkan pelbagai resipi yang menarik, kita boleh terinspirasi dengan menu mereka lebih-lebih lagi makanan yang seimbang dan berkhasiat untuk sahur dan berbuka. Contohnya, menyediakan resipi hidangan sahur yang mudah disediakan tetapi berkhasiat seperti kurma ditambahkan dengan butter, atau cadangan makanan ringan berbuka yang menyegarkan dan menyihatkan yang lain.

Suka untuk diingatkan bahawa makan kurma dan butter memanglah merupakan sunnah nabi, tapi janganlah kita makan makanan ini berlebihan kerana ia juga boleh mendatangkan penyakit sekiranya tidak dikawal. Dengan cara ini, pembaca dapat menikmati pelbagai hidangan yang menarik dan seimbang semasa berpuasa, sambil memberi penghormatan kepada kreativiti dan kepakaran content creator tempatan.

Dengan mempraktikkan tips-tips kesihatan ini, anda dapat memastikan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi semasa berpuasa. Ini akan membantu menjaga kesihatan tubuh anda dan memberi tenaga yang mencukupi untuk menjalani ibadah dengan penuh kecergasan dan kekuatan. Selamat menjalani ibadah puasa!

Penulis: Hanif Irfan Bin Mat Ali Hanafiah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular