Friday, June 24, 2022
HomeArtikelTips Untuk Elak Salah Tafsir Ayat al-Quran

Tips Untuk Elak Salah Tafsir Ayat al-Quran

Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada pesuruh Allah, Nabi Muhammad S.A.W yang kekal sehingga hari ini. Sebagai penganut agama Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kita wajib berpegang kepada ajaran kitab suci al-Quran dengan cara yang tepat dan benar kerana ia merupakan rukun iman ketiga.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab namun terdapat tafsiran dalam pelbagai bahasa demi kefahaman umat Islam seantero dunia. Tafsiran al-Quran diterjemah oleh para ilmuan atau ulama’ yang diperakui bagi mengelakkan penyelewengan makna sebenar ayat suci al-Quran.

Terdapat al-Quran yang dicetak bersama dengan makna atau terjemahan Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, bahasa ayat al-Quran tidak semua diwahyukan dengan bahasa yang mudah dan langsung tetapi terdapat juga uslub atau gaya bahasaseperti ayat kiasan, ayat sindiran dan sebagainya.

Persoalannya, sejauh mana kesahihan para pembaca untuk menginterpretasi isi kandungan al-Quran?

Antara tips yang boleh digunakan untuk mengelakkan daripada salah tafsir makna sebenar ayat al-Quran ialah seperti berikut:

1.    Belajar Daripada Guru Yang Arif

Guru merupakan entiti terpenting dalam memastikan kita berada dalam landasan acuan yang betul. Guru yang terpelajar akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pelajarnya kerana resmi seorang guru ialah untuk melahirkan insan yang mahir, terlatih dan berjaya dalam bidang tersebut. Lebih-lebih lagi guru al-Quran yang berkait rapat dengan pemahaman agama memainkan peranan penting untuk membawa para pelajarnya ke arah kebenaran bukan kesesatan.

Panduan memilih guru al-Quran yang diperakui ialah mengikuti ajaran Sunni. Sunni ialah aliran agama Islam paling utama di dunia. Ahli Sunnah ialah mereka yang sentiasa tegak di atas Islam berdasarkan Al-Quran dan hadis yang sahih dengan pemahaman para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in. Ajaran yang benar amat penting bagi memastikan pegangan atau akidah kita tepat.

Pentafsiran ayat al-Quran memerlukan pencerahan tambahan daripada guru al-Quran yang diyakini kerana sebahagian terjemahan al-Quran mungkin kurang difahami oleh para pembaca. Oleh itu, bertanyalah dan bergurulah dengan guru yang betul dan terjamin agar tiada unsur penyesatan dalam pemahaman ayat suci berlaku.

2.    Membaca Daripada Sumber Kitab Yang Sahih

Kini, terlalu mudah untuk mengakses sumber-sumber ilmiah dengan hanya di hujung jari. Namun, adakah sumber yang kita akses itu adalah dari sumber yang tepat? Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan agama merupakan isu sensitif yang tidak wajar diperlekehkan.

Justeru, kita sendiri perlu mengambil serius soal berkaitan agama terutama berkaitan dengan tunjang akidah. Perlu diketahui bahawa salah tafsir al-Quran boleh menjerumus kepada rosaknya akidah lantas menjurus kepada perkara yang menjahanamkan diri sendiri.

Maka, inisiatif kita adalah dengan mengamalkan sikap tabayun atau mengkaji dahulu sebelum menerima sesuatu secara bulat-bulat. Akses di hujung jari bukan bermakna semua maklumat adalah benar belaka bahkan terdapat juga pembohongan secara terang-terangan. Allah S.W.T mengurniakan anugerah akal untuk berfikir agar impak positif dapat kita perolehi.

Kitab yang sahih boleh didapati secara semuka atau secara maya. Contoh bagi kitab yang boleh didapati secara semuka adalah dengan membeli di kedai buku dan perpustakaan manakala secara maya pula adalah dengan mengakses ‘cetakan maya’ dari laman web yang diiktiraf. Kitab yang dimaksudkan ialah kitab tafsiran al-Quran yang sahih. Tafsiran al-Quran yang paling unggul ialah Tafsir Ibnu Katsir kerana penulisannya mudah difahami, tepat, teliti, umum, murni dan lengkap.

3.    Mengulang Bacaan Terjemahan

Dalam usaha mendapatkan kefahaman daripada makna sebenar ayat al-Quran, cara lainnya ialah dengan mengulang bacaan terjemahan tersebut sehingga gambaran sebenar dapat dinyatakan. Pengulangan bacaan dapat mendorong otak kita untuk menghadamkan dan menginterpretasi info dengan konteks idea yang pelbagai.

Misalnya, mengulang bacaan dengan nada dan intonasi yang berbeza. Hal ini mampu menerjemahkan frasa-frasa yang diulang untuk suatu pemahaman yang lebih kritikal dan jitu. Tempat jeda bacaan yang betul juga memberi suatu gaya pemahaman yang berlainan. Begitu juga pembawaan perasaan, mimik muka dan kelantangan suara yang boleh memberi kesan dalam menghadamkan sesuatu bacaan.

4.    Tadabbur

Tadabbur merupakan refleksi diri daripada ayat-ayat suci al-Quran. Jika sekadar melantunkan ayat suci al-Quran itu tidak dikira tadabbur. Membaca terjemahan al-Quran beserta tindakan refleks itulah tadabbur. Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua umat Islam melakukan tadabbur al-Quran secara konsisten dalam kehidupan mereka.

Hal ini menjadi suatu isu yang menyedihkan kerana tanpa tadabbur al-Quran, kita tidak mampu melahirkan generasi yang luhur pekerti, cerdik pemikiran serta mampu menyelesaikan masalah. Akibatnya, banyak masalah sosial, masalah pentadbiran bahkan sekecil-kecil isu berlaku di dunia ini tanpa noktah dan solusi yang efektif.

Sebagai muslim, kita tidak boleh memilih untuk hidup dengan cara hidup Barat yang jelas memberi kesan negatif yang maha dahsyat kepada umat Islam sejagat. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa umat Islam tidak akan sesat selagi berpegang kepada 2 peninggalan agung Baginda iaitulah al-Quran dan as-Sunnah [HR Imam Malik].

Tadabbur al-Quran sangat digalakkan bahkan menjadi sesuatu yang dituntut dalam Islam. Hal ini kerana tadabbur ayat suci al-Quran boleh membawa kepada keinsafan, motivasi dan kematangan dalam berfikir dan bertindak. Kita juga dapat menjauhkan diri daripada sentiasa alpa dan lalai dengan permainan dunia yang hanya memakan diri kita sendiri kelak.

Untuk mencapai kemampuan dalam mengubah norma yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat kita, kita perlu percaya kepada ‘proses’. Masa, umur dan kemahuan hanyalah alasan untuk tidak merefleksi diri terhadap al-Quran.

Allah hanya menilai hamba-Nya dari amalan dan hati mereka bukan luaran semata-mata. Jangan cepat terpedaya atau terpengaruh dengan kata-kata yang menjatuhkan motivasi diri kita, sebaliknya berusahalah untuk meningkatkan prestasi diri demi reda Ilahi.

5.    Pilih surah yang pendek

Kefahaman terhadap sesuatu ayat itu dikurniakan hanya kepada mereka yang Allah kehendaki, Jadi, detik yang sukar dalam proses memahamkan tafsiran al-Quran itu merupakan lumrah pembelajaran. Untuk mengelakkan daripada cepat putus asa, mulakan dengan sesuatu yang mudah dan senang contohnya membaca tafsiran surah yang pendek. Juz amma merupakan juzuk 30 atau juzuk terakhir dalam al-Quran yang mengandungi 37 surah sama ada Makkiyyah atau Madaniyyah.

Juz amma tidak begitu susah kerana ayat-ayat daripada juzuk ini ringkas dan mudah difahami. Contohnya surah lazim seperti surah al-Humazah menceritakan tentang ‘pengumpat’ iaitu larangan mengumpat serta ancaman azab yang bakal dibalas akibat mengumpat.

Contoh yang lainnya ialah surah al-Asr yang mengkhabarkan tentang kepentingan ‘masa’ dan ciri-ciri orang yang tidak berada dalam keadaan rugi dalam memanfaatkan masa. Tegasnya, surah-surah pendek sangat disyorkan untuk dipelajari tafsirannya supaya dapat mencapai kefahaman sekaligus menjadi muslim yang terbaik disisi Tuhan.

Walau bagaimanapun, surah atau ayat-ayat yang panjang dalam al-Quran tidak boleh disisihkan sebaliknya cubalah untuk memahaminya dari sumber yang boleh dipercayai.

6.    Bacakan Kepada Orang Lain

Bacakan terjemahan al-Quran kepada orang lain adalah salah satu aktiviti perkongsian yang menarik. Perbincangan mengenai al-Quran memberikan peluang lebih luas dengan bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Impaknya, kita dapat mengelakkan dari kesalahfahaman makna sebenar di sebalik ayat al-Quran.

Tambahan lagi, menyertai halaqah atau usrah dengan matlamat yang betul iaitu supaya dapat beramal dengan ajaran al-Quran juga antara cara mendapatkan ilmu-ilmu agama yang sangat digalakkan. Janganlah kita menjadi kedekut atau lokek ilmu pengetahuan kerana kelak ilmu yang dikongsikan bersama itu boleh menjadi asbab pahala yang mengalir walaupun kita telah meninggal dunia.

Tuntasnya, nilai ilmu tidak sama dengan nilai harta. Buktinya, jika kita berkongsi harta maka berkuranglah sebahagian daripada harta kita tetapi jika kita berkongsi ilmu maka bertambahlah ilmu masing-masing kerana ilmu itu bukan bersifat bertuan.

Begitulah antara tips-tips yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan bersama-sama. Segala huraian yang telah dinyatakan mempunyai mesej yang tersendiri. Jangan disebabkan kita terlampau bimbang dengan salah tafsir al-Quran lalu kita meninggalkan dari memahami ayat al-Quran. Gunakanlah ruang yang ada untuk mendalami al-Quran sedikit demi sedikit. Sesungguhnya, tipu daya syaitan itu benar. Syaitan hanya menggunakan peluang yang ada untuk menjadikannya suatu alasan untuk kita tidak mempelajari tafsiran al-Quran.

Ingin dikongsikan di sini bahawa para ulama yang alim juga berselisih pendapat dalam menafsirkan setiap kata ayat al-Quran namun mereka tidak mudah menghukum antara satu sama lain. Ilham yang diberikan oleh Allah terhadap mereka adalah sesuatu yang perlu dirai kerana mereka insan yang terpilih. Bagi rakyat marhaen seperti kita hendaklah meyakini para pemimpin kita yang adil. Adapun jika berlaku kesongsangan dalam kalangan mereka hendaklah ditegur secara hikmah seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Allah S.W.T sangat mencintai orang yang kuat dari segi fizikal dan mental. Perisai orang Islam adalah ilmu yang berguna. Tuntutlah ilmu dengan kaedah yang betul, daripada sumber yang tepat dan sampaikanlah ilmu kepada orang lain. Sehebat-hebat cabang ilmu moden yang dibanggakan umum, hebat lagi ilmu al-Quran. Mana tidaknya, asas kepada ilmu moden juga diolah daripada kitab suci al-Quran. Tegasnya, jangan mengambil enteng atau menduakan ilmu al-Quran kerana tanpa panduan dari mukjizat agung ini, maka tujuan hidup kita terpesong.

Sekiranya kita ingin berhujah dengan menggunakan nas al-Quran, adalah lebih utama dan selamat untuk kita meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama yang muktabar dalam ilmu tafsir, yang menguasai secara mendalam ilmu-ilmu yang berkaitan ‘ulum al-Quran serta tafsirannya berbanding kita mengulas al-Quran dengan pendapat sendiri.

Akhir sekali, berserahlah kepada Tuhan atas apa jua yang telah kita lakukan dalam semua aspek kehidupan di atas muka bumi ini. Ingat, kembalilah kepada Allah Yang Maha Esa dan Rasul-Nya. Semoga kita dijauhi daripada salah tafsir ayat al-Quran dan seumpama dengannya.

Penulis; Siti Nuranas Mohd Nor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular