Friday, May 22, 2026
HomeArtikelUjian Tanda Allah Sayang

Ujian Tanda Allah Sayang

Definisi Ujian

Bala’ ( (البلاء dan fitnah (الفتنة) ialah beberapa contoh perkataan yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran mengenai ujian.

Menurut Kamus al-Mawrid, perkataan Balaahu, Ibtalaahu bermaksud menguji, mencuba. Al-Mu‘jam al-Wasit menerangkan maksud perkataan Bala’ sebagai sesuatu perkara yang diturunkan kepada seseorang bertujuan untuk mengujinya. Manakala  Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan ujian sebagai musibah, kesukaran yang berlaku untuk menguji keimanan atau kesabaran seseorang. Ia merupakan kejadian sukar yang terpaksa dihadapi dengan tabah.

Ujian Berbeza

Setiap manusia dikurniakan ujian oleh Allah berbeza-beza. Hal ini kerana, setiap manusia mempunyai tahap kemampuan, ketahanan, kekuatan dan reaksi yang tidak sama antara satu sama lain. Sejajar dengan firman Allah dalam surah Al baqarah ayat 286 ;

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا ۗ

Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Potongan ayat ini memaparkan sifat Allah yang sangat lemah lembut kepada hamba-Nya. Ini juga menunjukkan betapa besarnya kasih sayang Allah kepada manusia dengan hanya menguji hamba-Nya mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Rasulullah ﷺ bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ لَهُ فِي الْبَلَاء

(Sahih Riwayat Tirmidzi, 3298)

Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang Soleh, kemudian diikuti oleh orang-orang yang mulia, dan disusuli oleh orang-orang yang mulia berikutnya. Seseorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka ujiannya juga akan semakin berat.”

Hadith tersebut menjelaskan susunan ujian berdasarkan kekuatan iman seseorang. Justeru, dapat disimpulkan bahawa ujian para rasul ialah ujian yang paling sukar diberikan oleh Allah SWT.

Lima orang Rasul Ulul ‘Azmi merupakan misal insan yang diuji dengan ujian sukar, namun daripada mereka, Rasulullah SAW ialah insan yang paling berat diuji oleh Allah. Sebagai tamsil, kehilangan insan tersayang antara ujian hebat yang dirasai oleh Rasulullah.

Baginda nabi kehilangan kedua ibu bapa dan datuk semasa kecil, kehilangan serentak tulang belakang pendukung setia baginda, Abi Talib dan Saidatina Khadijah pada tahun 10 kenabian dan juga kehilangan keenam-enam anak baginda semasa hidup baginda. Sememangnya ujian Nabi Muhammad SAW tidak dapat dibayang dek akal fikiran. Jadi, percayalah setiap ujian itu, walaupun terlihat sukar di mata, namun sebenarnya ia mampu kita hadapi.

Cara Menghadapi Ujian

Terdapat pelbagai cara yang diajarkan oleh Islam ketika menerima ujian. Sabar merupakan salah satu nilai baik yang perlu diterapkan dalam diri setiap Muslim. Sabar membawa maksud seseorang menahan diri daripada penderitaan, kesukaran atau seksaan yang dialami. Setiap ujian yang dilanda, seseorang itu perlulah menerimanya dengan lapang dada agar memperoleh ketenangan. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda buat Muslim yang sabar.

Iktibar daripada kisah Maryam AS yang sabar dengan ujian berat yang dihadapi. Maryam seorang perempuan yang baik dan suci dianugerahkan oleh Allah SWT zuriat di dalam rahimnya tanpa bernikah. Apabila tiba masa untuk melahirkan Nabi Isa AS, beliau keluar dari rumahnya untuk mengasingkan diri daripada masyarakat. Disaat kelahiran anaknya Isa AS, Maryam AS diperintahkan untuk menggoncangkan pohon tamar untuk dia mengalas perut dan minum air dari sungai berdekatan. Apabila beliau pulang ke rumah membawa seorang bayi lelaki, masyarakat mula menghina, memfitnah dan berkata buruk tentang dirinya.

Maka, pada saat itu Allah SWT menganugerahkan mukjizat kepada bayi tersebut untuk membela maruah ibunya. Seperti yang diceritakan di dalam Surah Maryam ayat 30 hingga 32. Peristiwa tersebut telah mengangkat darjat Maryam AS  daripada sangkaan buruk masyarakat. Intihanya, berkat kesabaran Maryam AS mengharungi  cabaran membawa kepada manisnya hikmah. Oleh hal yang demikian, seorang Muslim harus bersabar dengan apa saja dugaan seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya merupakan kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur, dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Dapat disimpulkan bahawa setiap ujian yang dilalui dengan sabar ada kebaikan yang bakal diperoleh.

Selain itu, cara menghadapi ujian ialah berdoa. Seperti yang kita tahu, doa ialah senjata orang mukmin. Doa merupakan medium komunikasi seorang hamba dengan penciptaNya. Melalui doa, Allah SWT akan memberikan kita kekuatan, ketenangan, ketabahan dan petunjuk akan setiap dugaan. Dengan mengingati Allah juga, hati manusia akan lebih tenang.

Ia selari dengan firman Allah dalam Surah Ar Ra’d ayat ke 28. Daripada kisah Nabi Yunus AS, kita dapat pelajari kepentingan berdoa terutamanya ketika ditimpa kesusahan. Semasa baginda ditelan ikan nun, Nabi Yunus memohon doa kepada Allah dalam keadaan lemah dan merendah diri.

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [al-Anbiya’:87]

Ayat ini menjelaskan kepada kita untuk terus memohon kepada Allah SWT kerana tiada siapa pun mampu membantu kita melainkan Allah.

Akhir sekali, kita diajar untuk sentiasa bertawakkal kepada Allah. Tawakkal bermaksud menyerah segala urusan kita sebulatnya kepada Allah. Selepas sudah berusaha dan berikhtiar semampu yang boleh, maka kita mestilah bertawakkal kepada Allah.

Ibrah yang dapat dihayati daripada kisah Nabi Ibrahim AS yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak baginda di padang tandus (Mekah).  Setibanya Nabi Ibrahim AS di lembah kering tanpa hidupan dan penduduk, baginda mula khawatir akan nasib Ismail AS dan Hajar AS. Lalu, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah seperti yang digambarkan dalam Surah Ibrahim ayat 37;

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”

Ayat ini menzahirkan pengharapan yang tinggi Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT untuk menjaga kedua-dua ahli keluarga baginda. Hajar AS juga bertawakkal penuh kepada Allah apabila beliau berusaha berlari-lari dari Safa ke Marwah untuk mencari air buat Ismail AS yang menangis kehausan. Rahmat pertolongan daripada Allah, muncullah mata air (zamzam) bagi menghilangkan kehausan mereka di tanah gersang.

Tuntasnya, setiap manusia pasti akan diuji oleh Allah SWT. Setiap ujian ialah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Oleh itu, kita wajarlah bersabar, berdoa dan bertawakkal kepada Allah sepanjang masa terutamanya ketika ditimpa kesusahan.

Penulis: Nurmardhiah binti Mohd Husni Zaim, Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
RELATED ARTICLES

Most Popular