Ungkapan Terima Kasih Dalam Kehidupan Seharian

0
47
Ungkapan Terima Kasih Dalam Kehidupan Seharian

TERIMA KASIH adalah istilah yang sering digunakan dalam kehidupan harian kerana kita akan mengucapkannya apabila menerima hadiah atau sesuatu barang secara fizikal.

Namun, lain pula halnya apabila seseorang menerima pujian atau bantuan atau sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Ucapan ‘terima kasih’ tidak akan diberikan sebagai tindak balas kerana menganggap perkara tersebut hanyalah hal yang remeh.

Walaupun ucapan terima kasih itu hanya mempunyai dua patah perkataan, ramai yang menganggap ianya tidak penting untuk diucapkan, terutama kepada orang sekeliling. Kadangkala, terdapat juga individu yang lebih senang untuk memberikan respon yang negatif apabila menerima pujian seperti dengan mengatakan “saya tidak melakukannya dengan baik” atau “biasa sahaja”. Mereka lebih senang untuk menolak pujian yang diberikan dan bersikap rendah diri.

Walaupun tindak balas tersebut kelihatan positif atau sopan, tetapi sebenarnya penerima pujian tersebut berasa tidak cukup bagus atau tidak layak dipuji. Kesannya, mereka akan kurang keyakinan diri. Apabila mengucapkan terima kasih atau bantuan dan pujian yang diterima, si penerima ia dapat meningkatkan prestasi atau keyakinan diri.

Selain itu, mengucapkan terima kasih atas pujian atau bantuan yang diberikan juga akan menjadikan si pemberi terasa dihargai. Hal ini akan membangkitkan semangat si pemberi untuk sentiasa membantu orang lain atau memuji orang lain. Tuntasnya, mengucapkan terima kasih mampu memberi faedah kepada dua pihak.

James Clear menyatakan bahawa dia percaya yang mengatakan “terima kasih” adalah kata-kata yang paling tidak dihargai dan tidak digunakan di seluruh dunia. Terdapat beberapa keadaan yang dapat menunjukkan rasa penghargaan dan tidak hanya dalam keadaan positif.

Kita juga boleh mengucapkan “terima kasih” dalam keadaan salah sangka ataupun salah faham. Terdapat beberapa senario atau keadaan yang boleh kita ucapkan ‘terima kasih’.

Senario yang pertama adalah apabila kita menerima pujian dari orang lain, sama ada mereka dari golongan keluarga, kawan rapat, rakan sekerja, atau orang asing. Kebiasaannya, kita akan cuba menghindari pujian atau menolak pujian tersebut kerana takut kelihatan angkuh atau sombong.

Kita akan berasa rendah diri dan bertindak seolah-olah itu bukan masalah besar. Ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada si pemberi kerana berasa bahawa kita seolah-olah mengabaikan kebaikan atau keikhlasan yang mereka berikan.

Dengan mengucapkan ‘terima kasih’, kita telah menunjukkan bahawa kita menghargai kesopanan dan keikhlasan yang mereka berikan kepada kita sekali gus membantu kita untuk berasa yakin dengan diri sendiri.

Senario yang berikutnya adalah apabila kita terlewat untuk sesuatu acara atau perjumpaan. Isu terlewat dalam sesuatu acara adalah sangat sensitif dan tidak sopan apabila dilakukan kerana kita seperti tidak menghormati masa orang lain. Pada awalnya, ia mungkin kelihatan aneh atau janggal apabila mengucapkan terima kasih atas kelewatan diri sendiri.

Namun, ia adalah tindak balas yang sesuai kerana ia menunjukkan bahawa kita menghargai pengorbanan mereka yang sedang menunggu kita. Contohnya, selepas mengucapkan permohonan maaf kerana terlewat, seeloknya ia diikuti dengan ucapan “terima kasih kerana telah menunggu”. Jadi, perasaan si penunggu akan lebih senang untuk memaafkan kesalahan yang telah dilakukan kerana telah mengakuinya serta menghargai mereka.

Senario lain yang dapat dilihat adalah ketika anda menenangkan seseorang atau menjadi tempat untuk mengadu. Apabila seseorang ingin berkongsi kebimbangan atau masalah mereka, kebiasaannya kita akan berasa janggal atau tidak tahu perkara yang perlu dilakukan sebagai tindak balas.

Sebilangan besar orang dalam situasi ini akan menceritakan kisah buruk dirinya atau orang lain bagi merasakan bahawa masalah si pengadu tidak besar dan terdapat masalah yang lebih besar berbanding dirinya kerana mereka percaya bahawa adalah idea yang baik dalam menenangkan seseorang. Kita akan sering berusaha mengurangkan kesedihan mereka dengan mendakwa bahawa mereka bernasib baik kerana terdapat orang lain yang lebih menderita berbanding mereka.

Pada hakikatnya, perkara yang mereka mahukan adalah untuk kita mendengar luahan atau perkongsian mereka kerana berkongsi rasa sakit mampu membantu dalam mengurangkan rasa tersebut apabila didengari.

Jadi, tindak balas yang seharusnya kita berikan adalah dengan mengucapkan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kita untuk mendengar masalah mereka. Hasilnya, mereka akan berasa lega dan berkurang kesakitan dan bebanan dalaman yang sedang dialami.

Akhir sekali, mengucapkan terima kasih apabila menerima kritikan yang tidak adil. Ini mungkin kelihatan aneh dan janggal, kerana tidak semua manusia yang suka atau berhati terbuka apabila dikritik oleh seseorang dalam melakukan suatu pekerjaan.

Sebenarnya, menunjukkan penghargaan apabila dikritik merupakan kaedah terbaik untuk menangani si pengkritik dengan mengucapkan terima kasih dan meneruskan apa yang sedang dilakukan.

Mengucapkan ‘terima kasih’ mampu mengubah ideologi si pengkritik kerana menampakkannya seolah kita sedang meneutralkan kenyataan yang mereka berikan. Hasilnya, kita mampu menangani situasi tersebut tanpa perlu menimbulkan sebarang pergaduhan atau perdebatan yang mampu mendorong kepada salah faham antara dua pihak.

Apabila kita memilih untuk tidak mengeruhkan keadaan dengan pergaduhan, ia merupakan tanda sebagai  kematangan kita dalam menguruskan situasi sebegini. Ia juga menunjukkan bahawa kita sudah dewasa dan tidak akan mudah terpengaruh dengan hal remeh temeh.

Kadang kala kritikan itu penting supaya kita boleh memperbaiki diri dan meningkatkan kebolehan atau kemahiran kita.

Ringkasnya, walaupun hanya dengan berterima kasih, ia dapat membantu kita dalam menangani situasi yang janggal dengan terkawal dan bersikap matang. Selain itu, ia dapat memperbaiki hubungan kita dengan orang sekeliling.

Kita juga boleh mengubah fikiran atau persepsi negatif mereka hanya dengan berterima kasih kepada mereka. Kita juga telah mengajar orang untuk selalu bersikap baik dan tidak akan melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hubungan sesama manusia.

Menurut seorang penyelidik bernama Algoe, kita sepatutnya mempraktikkan amalan berterima kasih dalam kehidupan harian kerana ia dapat meningkatkan kemahiran dan hubungan sosial kita. Menurut Algoe juga, “mengungkapkan rasa syukur merupakan pengalaman emosi yang unik dan seronok kerana dapat mengeratkan hubungan”.

Penulis; Ain Nabilah Hanim Binti Zakaria, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.