Usaha Membina dan Mengukuhkan Hubungan Baik sesama Ahli Keluarga

0
23
Usaha Membina dan Mengukuhkan Hubungan Baik sesama Ahli Keluarga

Asas keluarga bahagia adalah apabila wujudnya hubungan yang baik sesama ahli keluarga. Setiap individu mengimpikan sebuah keluarga yang damai dan harmoni. Keluarga didefinisikan sebagai sebuah komponen masyarakat yang terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak.

Hal ini bersesuaian dengan pernyataan yang ditulis oleh Sufyan Basir, staf UIN Alauddin Makassar dalam sebuah jurnal yang ditulis pada tahun 2019, memetik kata-kata daripada Zakaria Lemat, yang mendefinisikan keluarga sebagai kumpulan yang paling kecil dalam masyarakat dan terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak. Keluarga ialah penyokong utama dalam setiap perkara yang dilakukan serta sentiasa ada dalam keadaan susah dan senang. 

Namun demikian, tidak semua individu dapat merasai indahnya hidup dalam keluarga yang harmoni kerana ada yang berebut harta dan ada yang hidup sebatang kara dek kerana sikap mereka yang tidak mementingkan hubungan baik antara ahli keluarga. Kurangnya kesedaran untuk menjaga hubungan baik antara ahli keluarga memberi kesan kepada pembentukan keluarga bahagia.

Oleh hal yang demikian, bagi merealisasikan hasrat untuk hidup dalam keluarga bahagia, setiap anggota keluarga yang diketuai oleh ibu dan ayah memainkan peranan yang besar untuk mendidik keluarga mereka supaya menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk membina dan mengukuhkan hubungan baik antara ahli keluarga. Antara caranya adalah dengan kekuatan ilmu pengetahuan, kemahiran berkomunikasi dan pentadbiran keluarga yang baik.

Kekuatan ilmu pengetahuan merupakan komponen paling utama dalam pembentukan hubungan baik antara ahli keluarga kerana ilmu pengetahuan menjadi garis panduan bagi setiap individu membuat perkara yang benar. Menurut Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya yang merupakan Pensyarah Psikologi Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, ilmu pengetahuan membantu setiap individu untuk membezakan perkara yang baik dengan yang buruk.

Untuk membina hubungan yang baik antara ahli keluarga, ilmu agama dan ilmu kekeluargaan wajar dipelajari. Pertamanya, ilmu agama wajar dipelajari kerana ia adalah panduan utama dalam hidup. Setiap agama pasti ada cara tersendiri untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Begitu juga dengan agama Islam yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah serta kehidupan yang berlandaskan takwa sebagai rujukan dan pedoman hidup. Kata Dr. Hassan Haji Muhammad Ali seperti mana yang telah disebutkan oleh Sufyan Basir (2019), sesungguhnya takwa kepada Allah adalah asas keharmonian keluarga, kerana reda Allah ialah kunci utama untuk menjamin kebahagiaan tersebut.

Seandainya ilmu agama tidak dipelajari, setiap individu pasti tidak mengetahui bahawa kunci utama untuk membina keluarga sakinah itu adalah dengan hidup berlandaskan takwa kepada Allah serta menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama. Mereka akan terus menyangka bahawa untuk membina keluarga bahagia, mereka perlu mengejar segala kemewahan di dunia ini.

Pegangan ini bersesuaian dengan pandangan keluarga bahagia menurut persepsi barat seperti mana yang disebut oleh Sufyan Basir (2019), dipetik daripada Dr. Hasan Hj. Mohd Ali, menurut pandangan barat, keluarga bahagia ialah keluarga yang memiliki segala kemewahan material. Maka, dapat kita simpulkan bahawa,  ilmu agama itu penting untuk dipelajari supaya keluarga yang dibina itu tidak terpesong daripada syariat Islam.

Selain itu, ilmu kekeluargaan boleh dipelajari dengan sekecil-kecil perkara seperti menghayati definisi keluarga serta memahami nilai-nilai kekeluargaan seperti nilai menghormati dan nilai kasih sayang. Sebagai contohnya, anak-anak menghormati kedua ibu bapa dan adik-beradik saling berkasih sayang.

Bersumberkan petikan ayat daripada jurnal yang ditulis oleh Zahidah dan Raihanah pada tahun 2011, yang bertajuk “Model Keluarga Bahagia menurut Islam”, Ilmu pengetahuan adalah unsur utama dalam pembentukan keluarga bahagia, oleh itu, setiap perkara perlulah bersandarkan kepada pengetahuan kerana pengetahuan ialah syarat utama untuk merealisasikan nilai kebahagiaan. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan yang mencukupi sangat penting untuk membina hubungan yang baik antara ahli keluarga.

Cara kedua untuk membina hubungan yang baik antara ahli keluarga adalah dengan mengamalkan kemahiran komunikasi yang baik kerana dengan wujudnya kemahiran komunikasi yang baik, hubungan baik antara ahli keluarga lebih mudah diwujudkan. Seperti mana yang disebutkan oleh Che Hasniza Che Noh, petugas di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, asas kepada sebuah keluarga untuk berfungsi dengan baik adalah daripada komunikasi yang positif dan berkesan.

Memandangkan pembentukan keluarga adalah bermula daripada dua pasangan suami isteri, maka komunikasi yang baik perlu diterapkan seawal usia perkahwinan supaya ianya dapat diteruskan sehingga terbentuk sebuah keluarga yang besar. Suami perlu menjadi pendengar yang baik dan mengambil cakna terhadap semua yang diluahkan isteri dan begitu juga sebaliknya.

Merujuk kepada sebuah jurnal yang bertajuk “Faktor Keharmonian dan Keruntuhan Rumah Tangga”, ditulis pada tahun 2016 oleh Fadilah Ismail, petugas di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, komunikasi yang baik adalah apabila pasangan menjadi pendengar yang baik dan mementingkan setiap apa yang dikatakan oleh pasangan mereka. Apabila pasangan suami isteri berkomunikasi dengan baik, maka hubungan yang baik juga akan wujud kerana segala perkara dibincangkan bersama-sama begitu juga apabila timbulnya masalah.

Seterusnya, ibu bapa perlulah bijak berkomunikasi dengan anak-anak kerana, personaliti anak-anak dipengaruhi oleh gaya keibubapaan yang dipraktikkan. Menurut Hasniza (2006), keluarga yang mengamalkan komunikasi orientasi perbualan lebih bersikap terbuka dengan anak-anak dan lebih kerap berkomunikasi di antara satu sama lain dibandingkan dengan keluarga yang mengamalkan komunikasi orientasi konformiti yang lebih memberi penekanan kepada kepatuhan anak-anak terhadap mereka.

Jadi, ibu bapa perlu bijak dalam memilih gaya komunikasi yang sesuai dengan anak-anak mereka memandangkan pada era perkembangan teknologi ini, ibu bapa menghadapi cabaran di mana mereka betul-betul perlu mengetahui cara untuk berkomunikasi dengan anak-anak kerana anak-anak zaman ini didedahkan dan dipengaruhi oleh teknologi-teknologi moden yang membuat mereka lebih sensitif.

Kata Amber seperti mana yang dikatakan Hasniza (2006), zaman teknologi yang berkembang ini menjadikan cara untuk mengajar anak-anak lebih sukar kerana terdapat pelbagai halangan seperti media sosial yang turut memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Hal ini akan menjadi cabaran utama untuk ibu bapa memupuk nilai yang baik dalam diri anak-anak demi merealisasikan hasrat mewujudkan hubungan yang baik antara ibu bapa dengan anak-anak. Oleh itu, kemahiran komunikasi sangat penting dalam usaha mewujudkan hubungan baik antara ahli keluarga.

Ketiga, pengurusan keluarga yang teratur amat perlu dalam membina hubungan baik antara keluarga. Setiap anggota keluarga mempunyai peranan yang besar dalam menguruskan institusi keluarga. Menurut Azizi (2008), tindakan menguruskan institusi keluarga dengan baik merupakan amanah untuk setiap manusia. Pengurusan keluarga boleh dibahagikan kepada dua kategori seperti pengurusan kewangan dan peranan yang dimainkan setiap ahli keluarga.

Yang pertama, pengurusan kewangan merupakan sesuatu yang perlu diuruskan dengan baik kerana untuk mengelakkan salah faham dan kesukaran masa kini dan akan datang. Jadi, dengan adanya pengurusan yang baik, maka hubungan keluarga akan terus terjaga. Pengurusan kewangan yang baik membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga (Fadilah Ismail, 2016).

Untuk memastikan kewangan diuruskan dengan baik, pasangan suami isteri mahupun sebagai ibu bapa, perlulah sentiasa berbincang mengenai perbelanjaan dan pengurusan wang untuk mendapat kata sepakat ke mana wang tersebut dibelanjakan. Hal ini penting kerana seandainya wang tidak diuruskan dengan baik, tidak mustahil akan berlaku krisis kewangan pada masa akan datang yang pastinya menjejaskan hubungan baik dan kesejahteraan keluarga. Jadi, pengurusan wang sangat penting demi meneruskan hidup yang selesa.

Seterusnya, setiap anggota keluarga perlu memainkan peranan masing-masing supaya urusan di rumah dapat diuruskan dengan baik dan secara tidak langsung membina hubungan yang baik antara keluarga. Peranan dan tanggungjawab setiap anggota keluarga penting untuk membentuk hubungan yang baik (Azizi, 2008).

Sebagai contohnya, seorang bapa perlu membahagikan tugas kepada isi rumah yang lain dengan adil tanpa berlaku pilih kasih antara anak-anak lelaki dan perempuan sesuai dengan yang dikatakan oleh Izzah dan Salasiah dalam artikel yang ditulis pada tahun 2018, dengan memetik kata-kata daripada Ali Qutb dan Ahmad Ghalib yang mengatakan bapa mithali adalah mereka yang berlaku adil terhadap anak-anak lelaki dan perempuan dari segala aspek.

Jadi, apabila semua ahli keluarga diberikan tugas masing-masing, dan mereka melakukannya tanpa rasa terbeban, suasana keluarga menjadi harmoni dan secara tidak langsung, hubungan yang baik antara keluarga dapat dibina. Jadi, pengurusan keluarga yang baik sangat penting untuk membina hubungan baik antara ahli keluarga.

Kesimpulannya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga bagi membina hubungan yang baik antara ahli keluarga. Setiap anggota keluarga perlu bertanggungjawab membina dan mempertahankan hubungan baik sesama ahli keluarga demi merealisasikan impian keluarga bahagia.

Oleh hal yang demikian, berdasarkan hujah-hujah dan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa antara cara membina hubungan yang baik antara ahli keluarga adalah dengan kekuatan ilmu pengetahuan, kemahiran komunikasi dan pengurusan keluarga yang baik. Kunci utamanya adalah kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah kerana ianya merupakan rujukan utama di samping tidak mengetepikan kemahiran komunikasi serta hal-hal pengurusan kekeluargaan yang lain.

Apabila keluarga didirikan dan dihubungkan dengan asas agama, maka, tidak ada keraguan bahawa hubungan yang baik dapat dibina kerana keluarga itu diredai Allah. Hubungan yang baik antara keluarga mewujudkan persekitaran harmoni dalam keluarga. Setiap anggota keluarga perlu menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga yang lain. Oleh itu, usaha setiap ahli keluarga diperlukan untuk membina hubungan yang baik antara ahli keluarga sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Penulis; Nur Anis Aqilah Binti Mohd Zamridin, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here