Tuesday, March 19, 2024
HomeArtikelPerlukah Bayar Zakat Pengeluaran Khas KWSP Sebab Terdesak & Perlu?

Perlukah Bayar Zakat Pengeluaran Khas KWSP Sebab Terdesak & Perlu?

Ramai yang sudah mendapat bayaran Pengeluaran Khas KWSP dan ada yang bertanya, perlukah saya bayar Zakat bagi pengeluaran ini?

Secara umumnya terdapat dua golongan yang menentukan sama ada dia perlu mengeluarkan zakat ataupun tidak.

Golongan Yang Tidak Perlu Bayar Zakat Pengeluaran Khas

Terkesan - TIdak Wajib Zakat KWSP
Sumber: Kisah Zakat Malaysia

Mereka yang perlu membayar Zakat khas ini adalah golongan yang terjejas dan terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara 2 tahun yang lalu. Ketika Covid-19 melanda, dia diberhentikan kerja, kehilangan sumber pendapatan, dipotong gaji dan sebagainya. 

Oleh itu, golongan ini tidak perlu membayar disebabkan kesusahan dan kesulitan yang melanda mereka bagi menyelesaikan perkara-perkara tertunggak seperti hutang, bayaran kenderaan atau sewa yang tertangguh atau bebanan-bebanan yang lain.

Golongan Yang PERLU Bayar Zakat Pengeluaran Khas

Tidak Terkesan - Wajib Zakat KWSP

Mereka yang perlu membayar zakat khas ini adalah golongan yang tidak terjejas dan terkesan dengan pandemik Covid-19. Mereka tidak menghadapi masalah kewangan, tidak diberhentikan kerja, tidak terbeban dengan hutang dan seumpamanya. 

Mereka memohon dan mengeluarkan Pengeluaran Khas adalah bagi tujuan pelaburan, suka-suka atau seumpanya.

Oleh itu, golongan ini wajib membayar Zakat Pengeluran Khas KWSP.

Hukum Zakat Pengeluaran Khas KWSP
Konsep Pengeluaran Khas KWSP adalah sama seperti sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Citra. Sumber photo Zakat Selangor.

Berapa Perlu Bayar Zakat Pengeluaran Khas KWSP?

Bagi golongan yang wajib membayar, nisab zakat KWSP sama seperti nisab zakat wang yang lain iaitu 85 gram emas. Kadarnya ialah 2.5% daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran (cukup syarat milik sempurna dan tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran)

Kiraan Zakat KWSP

Jumlah Wang KWSP yang dikeluarkan x 2.5%

contoh : RM10,000.00 x 2.5 %

Jumlah Zakat = RM250.00

Fatwa Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019M  Bersamaan 4 Rabiulawal 1441H (Jumaat) telah membincangkan dan membuat keputusan seperti berikut:

Bagi skim pengeluaran yang memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah dan tiada had pengeluaran seperti pengeluaran simpanan melebihi RM 1 juta, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, pengeluaran meninggalkan  negara, pengeluaran pekerja berpencen dan pesara pilihan, maka ZAKAT DIWAJIBKAN ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan KWSP dalam kategori ini yang tidak dikeluarkan selepas setahun (haul), adalah tertakluk kepada  hukum zakat simpanan berdasarkan baki wang simpanan yang telah genap setahun (haul) sekiranya mencapai nisab.

Bagi pengeluaran sebahagian di dalam akaun 2 apabila mencapai Umur 50 tahun, ZAKAT DIKENAKAN ke atas amaun yang dikeluarkan sahaja pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu  haul.

Bagi ahli yang tidak membuat pengeluaran pada umur 50 tahun, maka apabila mencapai umur 51 tahun WAJIB dikenakan zakat ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi  syarat milk al-taam kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan di dalam akaun 2 yang tidak  dikeluarkan tidak perlu dizakatkan, kerana tidak memenuhi syarat milk  al-taam.

Bagi skim pengeluaran untuk tujuan hajah asliyah seperti pengeluaran perumahan, pengeluaran pendidikan, pengeluaran kesihatan dan pengeluaran hilang upaya kekal mesyuarat  memutuskan bahawa TIDAK DIKENAKAN zakat ke atas pengeluaran-pengeluaran tersebut. (sumber – https://www.zakat.com.my/)

Penjelasan KWSP mengenai Zakat Pengeluaran Khas

Secara umumnya, ahli beragama Islam bertanggungjawab mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% ke atas simpanan yang telah memenuhi syarat berikut:

  1. Sempurna milik (milkut taam) iaitu simpanan yang boleh dikeluarkan dan digunakan tanpa sebarang sekatan (haq tasarruf kaamil); dan
  2. Mencapai nisab berdasarkan nilai semasa 85g emas yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing.

Namun, zakat boleh dikecualikan ke atas apa-apa jumlah simpanan yang dikeluarkan dan digunakan bagi tujuan kelangsungan hidup atau perbelanjaan keperluan asas diri sendiri atau tanggungannya (hajah asliyah) seperti tempat tinggal, makan dan minum, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan atau membayar hutang.

Ahli juga dinasihatkan untuk mengambil kira semua pengeluaran dalam tempoh setahun (haul) yang telah memenuhi syarat-syarat kewajipan zakat dan merujuk kepada pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing.

*sumber pengeluarankhas.kwsp.gov.my

Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

ZAKAT SIMPANAN KWSP

SOALAN :

Saya ingin bertanya tentang wang simpanan KWSP.

Kalau kita keluarkan wang sebanyak sepuluh ribu ringgit (RM10,000) adakah wajib keluarkan zakat?

Ada orang berkata keluar RM10,000 tidak kena zakat sebab tidak sampai nisab maka tidak wajib keluarkan dan ada yang kata wajib keluarkan zakat.

Saya hendak kepastian mana satu yang betulnya?

Kalau wajib keluar zakat berapakah jumlah zakat yang wajib dikeluarkan dan bolihkah kita beri kepada anak yatim?

JAWAPAN :

Wang simpanan KWSP wajib dikeluarkan zakat apabila dikeluarkan olih pemiliknya dengan syarat wang simpanan tersebut telah cukup haul yaitu sampai setahun dan telah sampai nisab yaitu lebih kurang RM20,000 sebelum dikeluarkan.

Perlu diketahui bahawa jumlah nisab adalah berubah-rubah mengikut naik turunya harga emas dipasaran dan jumlah nisab bolih diketahui dengan tepat dengan menghubungi pejabat yang menguruskan zakat.

Dan jumlah zakat yang wajib dibayar ialah 2.5% dari jumlah wang yang dikeluarkan.

Jika wang simpanan tersebut sebelum dikeluarkan jumlahnya tidak sampai nisab misalnya berjumlah RM15,000 sahaja kemudian dikeluarkan RM10,000 maka tidak dikenakan zakat.

Jadi jika wang simpanan sebelum dikeluarkan telah sampai RM20,000 (jika nisabnya sebanyak ini) atau pun lebih kemudian pemiliknya mengeluarkan sebanyak 10 ribu ringgit maka wajib dibayar zakat sebanyak 2.5% dari RM10,000 tersebut maka zakatnya ialah 10,000 x 2.5% = 250

Maka zakat yang wajib dibayar olih penyoal yang telah mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 itu ialah RM250.

Dan jika wang yang dikeluarkan hanyalah RM100 maka zakat yang wajib dibayar ialah RM2.50.

Zakat wajib diberikan kepada asnaf-asnaf zakat seperti faqir miskin dan muallaf dan seumpamanya.

Anak yatim tidak termasuk asnaf zakat olih itu siapa yang memberikan zakatnya kepada orang yang bukan asnaf nescaya zakatnya itu tidak sah dan wajib dia keluarkan sekali lagi kepada asnaf yang betul.

wallahua’lam

Sumber: ustaz azhar idrus

RELATED ARTICLES

Most Popular