Rakyat Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian masyarakat memerlukan kita saling menghormati hak antara satu sama lain bagi mewujudkan suasana aman dan harmoni.
Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang prihatin dan menghormati hak orang lain terutamanya bagi komuniti orang kurang upaya (OKU).
Jadi, sebagai warganegara yang prihatin, anda boleh mengikuti 10 langkah ini sebagai antara cara menghormati hak-hak mereka.
1. Tidak Menyalahgunakan Parking OKU

Perkara mudah dan paling simple sebagai seorang warga yang prihatin adalah tidak menyalahgunakan parking OKU.
Jangan guna alasan sekejap sahaja atau tiada orang guna kerana pada waktu tersebut mungkin tiada OKU yang menggunakannya.
Ramai yang gemar parking di petak OKU kerana dekat dan luas. Sebenarnya ada sebab kenapa parking OKU bersaiz agak besar dan berdekatan dengan bangunan. Antaranya ialah bagi memudahkan pemandu/penumpang menurunkan kerusi roda mereka.
Bagi pemandu kerusi roda yang berdikari, mereka mampu menurunkan kerusi roda sendiri kerana sudah dilatih dan sudah biasa buat secara sendirian. Apa yang diperlukan adalah sedikit ruang parking agar pintu kereta dapat dibuka dengan kadar yang cukup.
2. Tidak Menggunakan Tandas OKU Tanpa Sebab

Tandas OKU juga antara kemudahan yang selalu di salahgunakan. Sama alasan iaitu “sekejap sahaja” atau “tiada orang guna” atau “best la tandas oku ni luas”. Bila ramai salah guna, makcik cleaner pula terpaksa kunci dan ini menyusahkan OKU pula.
Ada sebab juga tandas OKU direka dengan saiz yang sedikit besar dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti ‘grab bar’ dan seumpamanya. Ini bagi memudahkan kerusi roda bergerak secara efektif di dalam tandas tersebut.
Manakala fungsi “grab bar/flip bar” bertujuan untuk berpaut dan pindah ke mangkuk tandas atau seumpamanya.
Paling penting anda jangan sesekali menjadikan tandas OKU sebagai tempat merokok. Ia suatu perbuatan paling jijik dan hina sekali.
3. Tidak Menghalang Laluan OKU

Warga yang prihatin tidak akan mementingkan diri sendiri. Contoh mudah adalah tidak menghalang laluan OKU seperti meletakkan kenderaan atas laluan tactile yang merupakan laluan bagi orang buta (laluan warna kuning yang ada timbul-timbul). Begitu juga jangan sesekali menghalang laluan ramp.
OKU berkerusi roda tidak dapat melalui kawasan bertangga dan bertebing. Jadi, apabila anda menghalang laluan-laluan ini secara tidak langsung anda menghalang semua orang seperti ibubapa yang membawa stroller, pekerja yang mengangkat barang dan sebagainya.
4. Beri Keutamaan Lif Pada OKU

Ketika di pasaraya, hospital atau tempat awam lain, pandang kiri dan kanan sebelum naik lif. Ada tak warga emas, ibubapa yang bawa anak-anak kecil dan OKU.
Ramai yang berebut nak naik lif cepat sedangkan seorang warga yang prihatin memberi keutamaan kepada mereka yang lebih memerlukan.
5. Hormati Keutamaan Tempat Duduk Awam

Kebanyakan tempat duduk kenderaan awam seperti bas, LRT, MRT dan sebagainya akan terpampang notis “Zone Keutamaan / Priority Seating Zone”. Ia adalah tempat untuk warga emas, ibu-ibu, mengandung, OKU dan seumpamanya.
Jadi berikan keutamaan tersebut kepada mereka yang lebih memerlukan. Kesedaran kita adalah tanggungjawab kita.
Kita mengharapkan semua rakyat Malaysia lebih peka dan menghormati orang tua, wanita hamil dan orang kurang upaya.
6. Ajar Anak-anak Kita Supaya Tidak Mengejek OKU

Pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan penting supaya anak-anak menghormati dan tidak mengejek OKU dengan pelbagai gelaran.
Memang sifat anak-anak suka bertanya terutamanya ketika mereka melihat golongan OKU yang berkerusi roda, kerdil, amputee (tiada tangan atau kaki) dan sebagainya. Maka, ibubapa terangkanlah jawapan paling berhemah.
7. Jangan Pandang Serong Pada Ibu Bapa Yang Ada Anak Hyperaktif dan Tuduh Mereka Tidak Pandai Jaga Anak
Jika ternampak anak-anak OKU, berilah sokongan moral kepada keluarga mereka. Jangan pandang sinis dan jangan pula mengata.
Seandainya anda melihat anak-anak yang mengamuk di tempat awam, jangan terus hukum anak itu nakal atau kurang ajar ataupun ibubapa tak pandai jaga anak.
Tidak semua jenis OKU itu kelihatan pada fizikal mereka. Mereka mungkin mengalami ADHD (Attention Deficit and Hyperactivity Disorder) yang bersifat aktif dan ada masanya mereka amat sukar untuk menerima arahan, bertindak mengikut emosi, senang hilang tumpuan, terburu-buru, atau tak boleh duduk diam.
“Disability is not always visible!”
8.Tanya OKU Itu Sekiranya Mereka Memerlukan Bantuan Anda

Kita tahu memang ramai rakyat Malaysia yang prihatin terutamanya kepada komuniti OKU.
Sekiranya anda berniat baik ingin menghulurkan bantuan kepada OKU seperti memimpin OKU penglihatan, menolak kerusi roda dan sebagainya, lebih baik bertanya dahulu mereka. Usaha terburu-buru menarik tongkat dan terus menolak kerusi roda.
Anda boleh tanya;
- “Encik, boleh saya bantu?”
- “Encik boleh saya tolong tolak kerusi roda?
- “Encik, bagaimana cara terbaik saya boleh bantu?
Memulakan persoalan sebegini adalah lebih sopan. Ada OKU yang boleh berdikari sendiri kerana mereka sudah biasa dengan keadaan tersebut. Sekiranya OKU menolak pelawaan anda, jangan terus hukum mereka sombong. Ada sebab tertentu yang mereka tidak mahu dibantu.
9. Jangan Sindir Atau Tunjuk Ekpresi Muka Pelik

Sesetengah OKU mempunyai perbezaan fizikal yang jelas seperti OKU yang tiada kaki, tiada tangan, yang berkerusi roda, OKU Kerdil atau sebagainya.
Mereka mudah menjadi perhatian apabila berada ditempat awam. Jadi anda tidaklah perlu menunjukkan ekspresi muka yang yang pelik disebabkan kekurangan fizikal yang dialami.
Cukup sekadar lemparkan senyuman sebagai tanda kasih sayang sesama kita.
10. Bercakap Dengan Nada Suara Yang Biasa

Apabila ingin berinteraksi dengan OKU, bercakaplah dengan nada suara yang biasa, tidak perlu menggunakan suara yang kuat.
Namun, ada dalam kalangan OKU agak lambat respon dengan apa yang anda ucapkan. Usah bimbang, minta mereka ulangi sekali lagi apa yang ingin disampaikan. Penting juga untuk anda bersabar dalam memahami apa yang ingin disampaikan oleh OKU kerana tidak semua OKU mempunyai keupayaan yang sama dalam komunikasi.
Penting untuk diingatkan sekiranya ada OKU datang bersama keluarga atau pembantu, jangan bertanya kepada ahli keluarga atau pembantu tersebut. Sebaliknya anda hendaklah berinteraksi terus dengan OKU tersebut.

Sebenarnya ada banyak lagi cara menghormati dan membantu OKU yang anda boleh praktikkan.
10 perkara yang disebutkan diatas dikira asas dalam menghormati hak-hak OKU dan keperluan mereka.
Sebagai warganegara yang prihatin, anda boleh amalkan sikap saling hormat menghormati sesama lain agar kita saling hidup aman dan damai.
Dr Basri Husin Setiausaha, Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association-MASAA) www.masaa.org.my |
BACA JUGA:
Jom Like Page THE INSPIRASI untuk kisah-kisah inspirasi masyarakat dan pelbagai perkongsian tips serta panduan.