Masjid Ar-Rahah terletak di Bangsar South, Lembah Pantai yang dahulu dikenali sebagai Kampung Kerinchi. Ia mempunyai senibina Islamik Moden Kontemporari sekaligus menjadikan masjid ini cantik dan tersergam indah yang boleh dilihat dari Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Merana TM dan RTM.
Masjid ini boleh menampung sehingga 2,500 jemaah pada satu-satu masa. Selain digunakan untuk solat 5 waktu, masjid ini juga digunakan untuk majlis-majlis lain seperti kuliah ilmu, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Untuk sampai ke masjid ini, ia boleh diakses dengan menggunakan kenderaan sendiri atau menggunakan kenderaan awam khususnya teksi atau Grab Car.
Masjid Yang Cantik Dan Bersih
Masjid ini mempunyai landskap yang sangat cantik dan bersih menjadikan jemaah yang hadir ke sini sangat selesa untuk beribadah. Anda dapat merasai keindahan seni binanya yang boleh menghadirkan ketenangan ketika berada di masjid ini.
Masjid Ar-Rahah pernah memenangi kategori Masjid Terbaik, Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2017.
Masjid ini juga dianugerahkan gred A oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bilik air dan Tempat wuduk.

Ahli jawatankuasa masjid ini sentiasa berusaha untuk menarik masyarakat sekitar bagi mengimarahkan masjid seperti syarikat-syarikat besar Bangsar South, hub perniagaan berdekatan, flat-flat perumahan dan lain-lain.
Ruang Solat Utama

Ruang solat utama masjid ini memang luas serta mempunyai hiasan khat yang pelbagai tulisan ayat-ayat al-Qur’an. Corak permaidani atau karpet juga amat cantik serta anda boleh melihat keunikan kubah dari dalam masjid.
Selain itu ada pilihan menarik sekiranya anda ingin infak ke tabung masjid kerana pihak masjid menyediakan sistem infak atau sedekah secara elektronik iaitu menggunakan aplikasi Touch N Go. Hanya perlu scan QR code dan masukkan jumlah yang anda ingin infak. Inisiatif ini boleh dicontohi oleh masjid-masjid lain. Jadi, pihak pengurusan masjid tak perlu risau lagi kecurian pada tabung-tabung masjid.

Kemudahan Untuk OKU
Antara elemen penting yang diketengahkan dalam senibina masjid ini ialah aksesibiliti dan fasitili yang membolehkan komuniti OKU sama-sama dapat menghadirkan diri dalam sebarang majlis yang diadakan selain dari tujuan solat berjemaah dan solat Jumaat.
Bagi ruangan berkarpet dewan solat masjid, OKU yang berkerusi roda tidak mempunyai masalah dan halangan untuk solat di ruangan utama masjid ini kerana terdapat sesetengah tempat, OKU berkerusi roda tidak dibenarkan untuk ke ruangan berkarpet atas alasan tertentu.

1. Tandas OKU
Masjid ini menyediakan dua tandas OKU yang dipisahkan antara satu sama lain. Satu untuk kegunaan jemaah OKU lelaki dan satu lagi digunakan untuk jemaah OKU wanita.

Tandas OKU lelaki terletak berhampiran dengan laluan masuk jemaah lelaki dan berhampiran dengan tempat wuduk lelaki. Manakala Tandas OKU wanita berhampiran dengan laluan masuk jemaah wanita dan berhampiran dengan tempat wuduk /tandas wanita.
2. Ramp
Terdapat 2 laluan ramp di sini iaitu laluan untuk jemaah OKU yang berkerusi roda ke ruang utama bagi jemaah lelaki dan laluan berkerusi roda bagi wanita.
Kadar kecerunannya tidak terlalu curam menjadikan individu yang mengayuh sendiri kerusi rodanya dapat berdikari ke ruangan solat.

3. Parking OKU
Terdapat 2 lot parkir OKU yang disediakan bagi memudahkan OKU yang datang menggunakan kenderaan sendiri. Melalui gambar yang dipaparkan, ia adalah penerangan tentang laluan masuk untuk jemaah lelaki yang berada di sebelah kiri gambar. Manakala laluan untuk jemaah wanita pada sebelah kanan gambar.

Namun sekiranya lot parkir penuh, anda boleh menggunakan lot parkir biasa kerana ramai jemaah OKU yang berkerusi roda yang hadir solat di sini.
4. Lain-Lain Kemudahan
- Terdapat juga kemudahan kerusi untuk jemaah yang tidak dapat solat dengan sempurna.
- Perkhidmatan vendor mesin untuk minuman.
- Papan informasi untuk sebarang majlis atau maklumat yang disediakan oleh pihak masjid.
- Papan tanda yang berbentuk “bunting” yang menunjukkan arah sesuatu tempat
- Kemudahan lif juga disediakan untuk ke tingkat atas atau tingkat bawah masjid bagi mereka yang tidak mampu menggunakan tangga.

Ruang di tingkat bawah merupakan dewan yang selalu digunakan untuk majlis-majlis lain seperti majlis perkahwinan, majlis berbuka puasa dan seumpamanya. Manakala tingkat atas juga digunakan untuk ruang solat jemaah wanita.
Masjid Ar-Rahah Bangsar South antara masjid yang terbaik di Kuala Lumpur yang menyediakan aksesibiliti dan fasiliti untuk golongan OKU
Oleh yang demikian, masjid ini adalah masjid yang terbaik dan bersifat Inkslusif di mana semua orang boleh menghadiri untuk bersolat dan bersama-sama dalam majlis ilmu yang di adakan.
Untuk maklumat dan informasi terkini tentang masjid ini, sila layari laman Facebook mereka Masjid Ar-Rahah
BACA JUGA: 10 Tempat Makan Popular Pantai Dalam
BACA JUGA: Cara Mudah Install Keyboard Jawi Pada Telefon Pintar
Jom Like Page THE INSPIRASI untuk kisah-kisah inspirasi masyarakat dan pelbagai perkongsian tips serta panduan.