Sunday, October 6, 2024
HomeArtikel5 Ajaran Sesat Yang Menyalahgunakan Konsep Ilham di Alam Melayu

5 Ajaran Sesat Yang Menyalahgunakan Konsep Ilham di Alam Melayu

Ilham atau intuisi merupakan sesuatu yang bersifat dalaman yang berkaitan dengan hati, jiwa dan batin seseorang dalam memberikan sesuatu pengetahuan. Al-Qur’an menjelaskan bahawa ilham yang benar adalah daripada Allah manakala ilham yang salah adalah bersumberkan bisikan nafsu dan syaitan. Namun begitu, dakwaan melampau golongan menyeleweng dari pemimpin ajaran sesat dalam mensabitkan ilham sebagai hujah syarak secara ilmiah mahupun secara amali dalam perkara-perkara akidah dan syarak adalah sesuatu yang boleh mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.

Masalah ajaran sesat yang berlaku dalam dunia Islam antara lain berkaitan dengan salah faham dalam memahami konsep epistemologi Islam terutamanya dalam menilai ilham sebagai salah satu sumber epistemologi Islam. Kecelaruan ini muncul kerana terdapat dalam kalangan pemimpin ajaran sesat yang menganggap autoriti ilham adalah mengatasi autoriti wahyu di samping kecelaruan mereka dalam membezakan antara ilham, kashaf, mimpi dan wahyu.

Dalam hal ini, penyalahgunaan ilham sebagai sumber ilmu merupakan salah satu faktor kepada munculnya ajaran sesat dalam dunia Islam. Dakwaan melampau golongan menyeleweng dari pemimpin ajaran sesat dalam mensabitkan ilham sebagai hujah syarak secara ilmiah mahupun secara amali dalam perkara-perkara akidah dan syarak adalah sesuatu yang boleh mencemarkan kesucian Islam itu sendiri. Implikasi penyelewengan ini terhadap pembentukan masyarakat Islam dan kesan ke atas agama juga sudah tentulah sesuatu berbeza umpamanya boleh menyebabkan syirik, kufur dan murtad dengan mendakwa sebagai Nabi atau Imam Mahdi, mengubah ayat-ayat al-Qur’an, penafian terhadap jihad dan mengubah syariat Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Ajaran Sesat Qadiani dan Agama Bahai.

Selain itu juga, kesan ini akan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat apabila sikap taksub terhadap pemimpin yang mendakwa mempunyai tahap keilmuwan yang tertinggi dalam bidang kesufian dengan mencapai maqam makrifat, shuhud, wusul, zuhd, tawakkal, rida dan ilham pada peringkat paling tinggi.

5 AJARAN SESAT DI ALAM MELAYU YANG MENJADIKAN “ILHAM” SUMBER AJARAN

Dalam kebanyakan kes-kes ajaran sesat yang berlaku khususnya di Alam Melayu, antara ciri ajaran sesat yang telah difatwa dan diwartakan sebagai sesat dan menyeleweng adalah disebabkan dakwaan menerima ‘ilham’ dan ‘wahyu’ bagi memimpin sesebuah kaum dan ummat. Berdasarkan dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh pemimpin ajaran sesat, kesemua dakwaan yang dikemukakan adalah tersalah dalam menanggapi ilham sebagai sumber ilmu sehingga ada yang menyatakan ilham yang diterima adalah sesuatu yang wajib beramal dan berpegang kepadanya.

Di Alam Melayu beberapa kumpulan ajaran sesat telah muncul yang salah memahami konsep ilham sebagaimana yang sebenarnya:

1) Ajaran Qadiani

Ajaran Qadiani atau juga dikenali sebagai Ahmadiah yang suatu ketika dahulu bergerak aktif di Kampung Nakhoda, Batu Caves Selangor telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984. Antara kandungan fatwa tersebut menyatakan bahawa “Puak Qadiani/Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.”

Ajaran Qadiani ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India pada tahun 1889. Ia dipercayai meresap masuk ke tanah Melayu secara rasminya sekitar 1930-an  melalui Maulavi Ghulam Hussain Ayaz yang datang ke Singapura pada tahun 1934. Pada tahun 1936, berlangsungnya bai’ah kepada Jemaah Ahmadiyyah di Malaysia bertempat di Klang yang di hadiri oleh 7 orang pengikut termasuk dua orang yang berbangsa Punjab.

Daripada beberapa kandungan ajaran yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad, beliau antara lain mengaku menerima kitab (panduan baru) daripada tuhan menerusi jalan ‘ilham’ dan ‘wahyu’ sebagaimana dakwaannya dalam al-Khutbah al-Ilhamiyyah;

“Ini adalah kitab yang telah di‘ilham’kan oleh Tuhan kepadaku di satu hari daripada hari-hari perayaan, malah ia adalah hakikat yang diwahyukan tuhan kepadaku”.

Mirza Ghulam Ahmad menambah;

“Sesungguhnya telah sampai ‘wahyu’ kepadaku daripada Tuhan sebelum diturunkan penyakit taun supaya aku membuat perahu (bahtera) dengan pertolongan dan ‘wahyu’ kami”.

Dalam hal ini, ‘wahyu’ yang diterima oleh Mirza bukanlah melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s, tetapi melalui ‘ilham’ yang datang terus dari Allah S.W.T. Mirza juga mengakui bahawa wahyu melalui perantaraan Jibrail a.s sebenarnya telah terhenti kerana ‘wahyu’ ini  hanyalah kepada rasul yang membawa agama baharu sahaja. Sebaliknya beliau mengkiaskan istilah ‘wahyu’ tersebut dengan konsep ‘ilham’ bagi setiap hujah dan dakwaan yang dikemukakan beliau.

Penerimaan ‘kitab baru’ sebagaimana yang  didakwa Mirza seolah-olah wujudnya syariat baru dalam Islam yang jelas bertentangan dengan apa yang dijelaskan al-Qur’an. Sedangkan telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa syariat Islam adalah yang terakhir dan telah lengkap sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Pada Hari Ini, Aku Telah Sempurnakan Bagi Kamu Agama Kamu Dan Aku Telah Cukupkan Nikmatku Kepada Kamu Dan Aku Telah Redakan Islam Itu Menjadi Agama Untuk Kamu.” Surah al-Ma’idah (5): 3

2) Ajaran Al-Arqam

Kumpulan al-Arqam telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 31 Mar 1994 dan jawatankuasa Fatwa negeri Selangor yang diwartakan pada 11 ogos 1994. Antara ciri-ciri kesalahan yang membawa kepada kesesatan ajaran ini ialah percanggahan dari sudut aqidah dengan mendakwa Ashaari Muhammad adalah seorang Mujaddid atau Sahibul Zaman telah mendapat ilmu terus dari Allah (ilham, Ilmu laduni atau kashaf) yang meliputi hal keagamaan, keduniaan, pemerintahan dan lain-lain. Dakwaan ilmu (ilham) tersebut datang kepadanya seperti air sungai yang mengalir.

Dalam hal ini, Mufti Negeri Selangor (Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abd. Wahid) yang menilai dan memberi ulasan terhadap penyelewengan buku “Ash’ari Muhammad; Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya” mengaitkan penyelewengan ini dengan beberapa dakwaan menerima ‘ilham’. Sebagai contoh pada muka surat 15 yang menyatakan bahawa Abuya gemar membuat ramalan dengan mendakwa memperolehinya melalui ‘mimpi yang benar’, mempunyai ‘kashaf’ serta mendapat berita ghaib melalui talian roh seperi ‘ilham’ dan ‘yaqazah’. Begitu juga pada halaman 41 dan 47 buku tersebut menyatakan bahawa Ashaari Muhammad mendakwa mujaddid, orang tuhan dan orang rasul  yang diberikan ‘wahyu’ atau ‘diilhamkan’ oleh Allah melalui roh Rasulullah.

Dalam keadaan ini, Ashaari cuba menyamatarafkan kedudukan wahyu dan ilham sekaligus mendakwa menjadi pemimpin ummat iaitu nabi yang baru selepas nabi Muhammad. Keadaan ini jelas bertentangan dengan konsep wahyu yang menerangkan bahawa Nabi Muhammad adalah penutup bagi sekalian  nabi-nabi Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Bukanlah nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” Surah al-Ahzab (33): 40

3) Ayah Pin (Arifin Bin Mohamad)

Ayah Pin atau nama sebenarnya Arifin bin Mohamad terkenal dengan ajaran “Kerajaan Langit” yang berpusat di Perkampungan di Batu 13, Hulu Besut kira-kira 40 kilometer dari bandar Jertih, Besut Terengganu.

Ajaran Ayah Pin pernah  disenaraikan antara lima kumpulan ajaran sesat paling tegar dikesan di negara ini dan mula bergerak pada awal 1980-an selain beberapa ajaran lain lagi. Ajaran ini telah diwartakan sebagai sesat oleh beberapa negeri di Malaysia seperti Johor (7 November 2007), Terengganu (4 Disember 1997), Wilayah Persekutuan (25 Januari 2007),  Selangor (23 November 1995) serta beberapa negeri lain lagi.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menyenaraikan 25 ciri-ciri serta ajaran yang membawa kepada kesesatan Ayah Pin. Antara kandungan ajaran tersebut ialah “Berzikir lebih afdal dari sembahyang lima waktu dan jika seseorang itu telah ilham, zauq serta  kasyaf, maka sembahyang lima waktu digugurkan.

Bagi pengikut baru Ayah Pin, mereka dikehendaki untuk mengamalkan 79 zikir bagi memuja pemimpin tersebut  sebagai kaedah mengukuhkan keyakinan terhadap ajaran ini. Zikir-zikir tersebut hanyalah rekaan beberapa pengikut tegar Ayah Pin yang mendakwa mendapat ilham dalam beberapa situasi termasuk ketika menoreh getah, menunggang motosikal, bertafakur, bekerja atau berjaga malam. Antara zikir tersebut ialah; “Laillahailallah Imam Mahadi Ya Rasulullah, Ya Arifbillah, Ya Arifbillah, Ya Arifbillah.”  Bahkan Ayah Pin turut dikatakan mempunyai kitab “Kerajaan Langit” yang mengandungi dan memaparkan nama penciptanya, tarikh beliau mendapat ilham serta keadaan beliau ketika menerima ilham tersebut.

Ajaran yang dibawa Ayah Pin dan pengikutnya jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Malahan dakwaan mereka bahawa kefardhuan sembahyang boleh digugurkan jika seseorang itu telah ilham adalah jauh bertentangan dengan ajaran Islam yang murni, apatah lagi apabila menjadikan amalan zikir dengan menyebut dan menyeru Imam Mahadi.

4) Beberapa Aliran Kebatinan di Indonesia

Kajian yang dilakukan Zubaidi Wahyono (2009) tentang “Ajaran Aliran Kebatinan Di Indonesia dan Hubungannya dengan Ajaran Tasawuf” menyenaraikan beberapa ajaran menyeleweng yang berselindung atas nama tasawuf di Indonesia. Daripada beberapa kumpulan tersebut, sebahagiannya menjadikan “ilham” sebagai asas dalam ajaran mereka.

Sebagai contoh, Aliran Sapta Dharma yang diasaskan oleh Hardjo Sepuro pada tahun 1954 mengaku mendapatkan ‘wahyu’ dan ‘ilham’  ketika sedang berbaring dan merasakan rohnya di bawa ke satu masjid oleh seseorang yang tidak dikenali seterusnya diajarkan sujud kepada tuhan yang dikenali sebagai “Sapta Dharma”.

Selain itu, aliran Paguyuban Sumarah yang diasaskan di Yogyakarta pada 1935 oleh Soekinohartono juga pernah menjadikan ilham sebagai antara ciri-ciri ajaran ini. Seokino mengaku mendapat wisik (ilham) pertama kalinya pada 1935 selepas mengamalkan puasa Isnin-Khamis dan puasa mutih (hanya makan nasi putih). Beliau juga mengaku dibawa rohnya oleh Malaikat Jibrail untuk melihat syurga dan neraka, bertemu roh para nabi serta melihat beberapa alam ghaib lain.

Dalam pada itu juga, aliran Paguyuban Ngesti Tunggal (Pangestu) yang diasaskan oleh Raden Sunarto pada 20 Mei 1945 di Solo ini juga berselindung dengan menggunakan Tasawuf dalam ajaran mereka. Raden Sunarto dikatakan mengaku mendapat 3 jenis ilham. Ilham pertama adalah Ilmu Sejati (Haq) tentang tuhan, Ilham kedua memberitahunya bahawa tuhan itu bernama Suksma Kawekas dan Ilham ketiga menyuruhnya untuk menyebarkan ilmu yang diperolehi itu kepada orang lain yang dibantu oleh dua orang lain.

Ajaran-ajaran kebatinan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar kerana menjadikan ilham sebagai sandaran sehingga melahirkan idea dan amalan yang tersasar jauh dari ajaran Islam, apatah lagi apabila ia berkait dengan makrifat Tuhan.

5) Madrasah Faiz al-Baqarah

Di Singapura juga berlaku ajaran sesat dengan penyelewengan ‘ilham’ iaitu “Madrasah Faiz al-Baqarah”. Jawatankuasa Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Bab 3, Bahagian 32)  telah mengeluarkan fatwa  yang bertarikh 20 Mei 2010 bagi ajaran-ajaran yang dibawa oleh Madrasah Faiz al-Baqarah. Fatwa tersebut antara lain menyebut:

“Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa akidah “Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah menyeleweng dan sesat lagi menyesatkan. Akidah yang mereka bawa adalah menyimpang dari ajaran Islam yang murni.”

Kesesatan ini antara lain disebabkan beberapa dakwaan menerima ‘ilham’ yang bertentangan dengan konsep epistemologi Islam yang sebenar. Antara dakwaan ‘ilham’ tersebut ialah:

  1. Keyakinan mereka bahawa suara yang didengari guru mereka adalah ‘ilham’ dari Loh Mahfuz, lalu dibukukan di dalam sebuah buku kecil bertajuk “Berita Agama”. Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam mukaddimah kitab tersebut: “Dengan Rahmat Allah jua perkataan di dalam kitab ini dibawa dari Loh Mahfudz memberi khabar dan petunjuk bagi mereka-mereka yang takut kepada Allah.” 
  2. Contoh ‘ilham’ yang diterima Hasan bin Jonit: “…barang yang kamu kata. Allhumma solli ’alaa saiyidinaa Muhammad. Nabi Muhammad yang dilahirkan itu sudah tidak ada lagi. Tetapi Nabi Muhammad yang ada pada kamu itu cari bela pelihara. Hari keputeraan Nabi Muhammad ” . 
  3. Contoh ‘ilham’ yang diterima Rahman Bin Kamari: “Engkau ambil ini berita. Dunia ini akan digoncang semula jadi. Ratapan umat Muhammad tak didengari. Ratapan Ibu mu menjadi saksi. Wahai anak Ku kesayangan Bonda. Apakah nasib, apakah dosa. Junjungan kaseh, junjungan mulia. Wahai Ibunda ku sayang. Sayang semangat, sayang si roh…”.

Menerusi keyakinan mereka terhadap ‘ilham’ seperti yang telah dinyatakan, Rahman Bin Kamari telah membuat ramalan gempa bumi yang akan berlaku di Singapura yang ternyata tidak benar sama sekali. Ramalan ini telah menyebabkan kekeliruan dan keresahan segelintir masyarakat Islam di Singapura.

Sama seperti ajaran-ajaran sesat di Malaysia dan Indonesia, ajaran di Singapura ini juga menyimpang jauh dari ajaran Islam yang murni apabila golongan menyeleweng ini menjadikan ‘ilham’ yang diterima sebagai asas dalam membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kerisauan masyarakat terhadap ramalan-ramalan yang didakwa.

Sebagai kesumpulannya apa yang dijelaskan berkaitan dengan isu-isu utama ilham dalam ajaran sesat di atas, ternyata worldview yang dikemukakan oleh golongan tersebut bertentangan dengan worldview Islam yang sebenarnya. Golongan ini tidak dapat membezakan dengan jelas konsep wahyu kepada seorang nabi dan konsep ilham yang dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang terpilih sehingga adakalanya menganggap ilham itu lebih tinggi kedudukannya daripada kedudukan wahyu. Bahkan dalam keadaan melampau menjadikan ilham sebagai hujah syarak terhadap perkara-perkara yang sudah tetap nasnya di dalam al-Qur’an.

Rujukan

  • Abdul Rahman Haji Abdullah (2005), Wacana Falsafah Ilmu: Analisis Konsep-Konsep Asas dan Falsafah Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  • Abdul Salam Yusuf (2003), Imam al-Ghazāli: Pendidikan Berkesan. Kuala Lumpur: Utusan Publication And Distributors
  • Al-Ghazali (1964), al-Munqidh Min al-Dalal. ‘Abd al-Halim Mahmud (ed.) c. 4. Kaherah: Maktabah al-Anjalu al-Misriyyah
  • Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri (1981), Ajaran Qadiani Satu Ajaran Sesat, c. 2. Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
  • Farahwahida Mohd Yusof dan Siti Ramlah Ibrahim (2008), Penyelewengan Ajaran Qadiani. Skudai, Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
  • Farawahida Mohd Yusof (2005), “Keberkesanan Pelaksanaan Fatwa Dalam Menangani Aliran-aliran Kepercayaan di Malaysia: Kajian Kes Terhadap al-Arqam dan Ahmadiyah Qadiani”, Tesis Ph.D di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  • Mohd Tamyes Bin Abd. Wahid (Dato’ Setia Hj.) (2007), “Ancaman Ajaran Sesat Terhadap Keharmonian Rakyat Malaysia”, Kertas kerja yang dibentangkan dalam Simposium Dakwah Daerah Klang pada 3 Februari 2007 di Klang, Selangor
  • Siti Norbaya Bt. Abd. Kadir (2002), Ajaran Sesat: Sejarah Kemunculan dan Ciri-cirinya. Kuala Lumpur: al-Hidayah Publisher.
  • Syed Muhammad Naquib al-Attas (1989), Islam And The Philosophy of Science. Kuala Lumpur: ISTAC
  • Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), Prolegomena To The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC.
  • Wan Mohd Nor Wan Daud (2005), Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
  • Wan Suhaimi Wan Abdullah (2004), “Peringatan al-Ghazali Terhadap Kekeliruan Sufi”, dalam Wan Suhaimi Wan Abdullah dan Che Zarrina Sa’ari (eds.), Tasawuf dan Ummah. Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya
  • Yusuf al-Qaradawi (Dr.) (2001), Mawqif al-Islām Min al-Ilhām wa al-Kashf Wa al-Ruyā Wa Min al-Tamā’im Wa al-Kahānah Wa al-Riqa. Kaherah: Maktah Wahbah. Zubaidi Wahyono (2009), “Ajaran Aliran Kebatinan Di Indonesia dan Hubungannya dengan Ajaran Tasawuf”, Tesis Ph.D di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur .

Artikel ini ditulis oleh Basri bin Husin.

Penulis merupakan graduan Sarjana (2008) dan Doktor Falsafah (2018) dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini adalah sebahagian daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam International Conference on Islamic Civilization and malays Identity 2011 (ICICMI 2011) pada 15 November 2011 di Melaka.

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk 
menjadi penulis di laman web 
ini, klik sini untuk maklumat 
selanjutnya.

BACA JUGA: Biografi Ringkas Imam al-Ghazali: Tokoh Yang Disegani Dunia Islam dan Barat

BACA JUGA: Ibnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

RELATED ARTICLES

Most Popular