Wednesday, September 27, 2023
HomeInfoSenarai Peruntukan Bantuan Untuk M40 Dalam Belanjawan 2021

Senarai Peruntukan Bantuan Untuk M40 Dalam Belanjawan 2021

Peruntukan dan bantuan kepada golongan M40 yang berkelayakan merupakan antara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 yang lalu. 

Terdapat 15 senarai peruntukan bantuan untuk M40 sebagaimana yang dipaparkan dalam infografik Kementerian Kewangan Malaysia melalui Facebooknya.

Daripada senarai peruntukan tersebut, terdapat beberapa bentuk bantuan yang dilihat menjadi tumpuan bagi rakyat di bawah kategori M40. 

Antaranya tumpuan utama ialah pengeluaran simpanan KWSP akaun 1, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kategori M40, bantuan moratorium pembayaran pinjaman bank dan Skim Rent-to-Own. 

1 – Pengeluaran Simpanan KWSP Akaun 1

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam ucapan Belanjawan 2021 mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Pengeluaran itu bertujuan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas. 

Walau bagaimanapun, perincian dan syarat kemudahan pengeluaran tambahan ini akan dibuat oleh KWSP pada masa terdekat selepas keputusan akhir dimuktamadkan. 

2 – Pengeluaran Akaun 2 KWSP

Selain itu, Menteri Kewangan turut mengumumkan perlindungan insurans, takaful hayat & penyakit kritikal bagi golongan M40. 

KWSP akan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP.

3 – Cukai Pendapatan Turun 1%

Selain itu, Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000. 

Ia dijangka dapat memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai di negara ini termasuklah golongan M40. 

4 – Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 

Bantuan Prihatin Rakyat merupakan antara inisiatif dan bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh M40 yang berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. 

Jumlah bantuan yang akan diterima oleh M40 adalah sebagaimana berikut;

  1. RM 500  bagi yang mempunyai sehingga seorang anak. 
  2. Rm750  kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih

5 – Pengangkutan Awam

Selain itu, Kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 yang akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta. 

Golongan M40 juga boleh menikmati perkhidmatan bas dan rel tanpa had kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga RM30 sebulan.

6 – Pusat Komuniti Yang Boleh Di Manfaatkan Oleh M40

Kerajaan turut memberi peruntukan RM20 juta untuk membangunkan  Pusat Komuniti dengan kerjasama NGO. 

Ia akan dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.

Pusat komuniti ini juga dijangka akan dimanfaatkan oleh golongan M40 yang memerlukan. 

7 – Bantuan Moratorium Pembayaran Pinjaman Bank Untuk M40

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan turut memberi bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik yang diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak COVID-19.

Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. 

Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik. 

Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020.

8 – Pelepasan Cukai Kesihatan 

Kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius.  

Jumlah pelepasan cukai adalah sebagaimana berikut:

  • RM8,000 perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa. 
  • RM1,000 pemeriksaan penuh dan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak. 
  • RM8,000 perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius diri, pasangan dan anak-anak. 

9 – Pengurangan Kadar Caruman KWSP dengan Jumlah Keseluruhan RM9.3 billion

Dalam pada itu juga, golongan M40 juga dapat menikmati kadar caruman minimum KWSP  yang  dikurangkan daripada 11% kepada 9% mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau takehome pay

10 – Pelepasan Cukai M40

Selain itu, bagi menggalakkan simpanan hari tua, kerajaan turut memberi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3,000 ringgit ke atas caruman Skim Persaraan Swasta atau PRS. 

Ia dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

11 – Bantuan Gaya Hidup M40 

Untuk bantuan gaya hidup M40, kerajaan turut mengumumkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup yang dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 ringgit iaitu tambahan 500 ringgit yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan. 

Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik.

12 – E-Rebate RM200 Untuk M40 Bagi Program SAVE 2.0

Selanjutnya, program SAVE 2.0 yang diperkenalkan iaitu pemberian e-Rebate RM200 kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan.

13 – SSPN Pelepasan cukai untuk M40 

Golongan M40 juga dapat menikmati inisiatif pelepasan cukai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM8,000 yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. 

Usaha ini adalah bagi menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka. 

14 – Pengecualian Duti Setem

Bagi menggalakkan golongan M40 dalam pemilikan rumah, kerajaan turut mengumumkan pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000. 

Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025;

15 – Rent-to-own, Skim Pembelian Rumah Pertama untuk M40

Selain itu, Kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own. 

Program ini akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama. 

Infografik Bantuan untuk M40 dalam Belanjawan 2021 

Infografik Peruntukan Bantuan Untuk M40
Sumber Foto: Kementerian Kewangan Malaysia
RELATED ARTICLES

Most Popular