Tuesday, March 19, 2024
HomeKehidupanBerbakti Hingga Hujung Nyawa (Catatan Pengalaman Diri)

Berbakti Hingga Hujung Nyawa (Catatan Pengalaman Diri)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Saya teringat kisah hidup saya lebih 10 tahun yang lepas. Tempoh masa yang sebenar saya tidak ingat. Saya sering ingat akan kisah ini kerana ianya memberi banyak pengajaran dan erti dalam kehidupan saya.

Seperti biasa, pada hari minggu, tiada apa yang saya buat selain menolong emak dan ayah di rumah dan menonton televisyen. Tetapi kebanyakan masa saya adalah membersihkan luar rumah yang selalunya semak samun (bagi pandangan saya sangat serabut).

Seronok membersihkan luar rumah dari pagi sampai tengah hari. Sudah kepanasan, barulah masuk rumah.

Akan tetapi, pada satu hujung minggu, saya dan emak menemani abah membetulkan paip di rumah orang. Abah memang ada buat “part time” membetulkan paip kalau ada masa lapang.

Sebenarnya saya sudah beberapa kali pergi ke rumah itu. Saya sangat tidak suka dan selalu mengelak. Tetapi abah terus mengajak teman dan kali ini bersama emak.

Sampai di rumah, emak sangat terkejut dengan keadaan rumahnya. Rumahnya sangat bersepah, kotor dan di dalamnnya didiami oleh tiga orang warga emas yang sudah tidak berdaya lagi.

Bertambah sedih dan kasihan, rumahnya mengalami masalah paip yang kritikal dan telah beberapa kali berlaku banjir di dalam rumah.

Emak sangat terkejut dan mengajak saya bersama-sama mengemas rumah tersebut. Emak tidak berfikir panjang dan rasa ingin membantu. Saya terpinga-pinga ketika itu kerana tidak pernah terfikir hendak menolong membersihkan rumah orang yang baru kenal. Sudahlah saya pada awalnya tidak suka dan tidak ada perasaan ingin menolong.

Namun, saya terkesima dan sangat bangga dengan tindakan emak. Emak bersungguh-sungguh mengajak kemas dan emak memberitahu bahawa beliau sangat kesian dan beliau sangat faham yang ahli rumah sudah tidak berdaya mengemas rumah.

Dalam hati saya,kenapa tidak pernah terfikir sampai macam itu.Macam tiada belas kasihan langsung.

Kami pun memulakan proses mengemas dan membersih rumah itu walaupun dihalang beberapa kali oleh tuan rumah. Saya sangat takut pada masa itu kerana tuan rumah seperti hendak menghalau, akan tetapi kami degil dan teruskan.

Emak tidak berhenti memujuk tuan rumah dengan mengatakan;

“Takpe, kami nak tolong. Pakcik dan Makcik dah terlantar atas katil ni. Lebih baik rehat.”

Kami terus mengemas hampir seharian sehingga 80% siap. Sebenarnya pada umur saya pada ketika itu, saya selalu memberontak dan tidak faham. Kenapa kena buat semua ini? Akan tetapi emak perlahan-lahan fahamkan saya dan saya pun akur.

Saya rasa sangatlah “magik” kerana rumah seperti bertukar rupa. Semua ini atas tunjuk ajar emak dan saya hanya tolong sahaja. Hanya Allah sahaja tahu perasaan lega kami pada masa itu. Pada awalnya, kepala saya sangat berserabut dan stress hendak mula macam mana dan rasa sangat mustahil untuk selesaikannya. Akan tetapi, lama-lama semuanya selesai walaupun tidak betul-betul sempurna.

Tuan rumah tersenyum dan tidak mampu berkata apa-apa. Kami tidak mengenakan sebarang caj pun. Kami memang hendak tolong.

Terasa sungguh nikmat menolong orang dan sangat bersyukur pada hari itu. Sebenarnya tidak terasa penat pun.Malah sangat gembira!

Kurang dari tiga bulan selepas itu, semua ahli rumah dari rumah itu telah meninggal dunia secara berturut-turut.

Allahuakbar!! Terasa sangat sedih dan tergamam. Emak memberitahu saya,nasib baik kita sempat berbakti kepada mereka.Allahu.

Kami bersyukur sempat menolong walaupun tidak seberapa. Sampai sekarang, jika kami melalui kawasan rumah tersebut, kami teringat-ingat adegan yang berlaku dalam rumah tersebut.

Sejak kejadian itu,saya rasa sangat seronok jika dapat membantu orang lain terutama sekali dari aspek mengemas dan membersih rumah.

Semoga cerita ini menjadi inspirasi untuk kita bantu ramai orang tidak kira apa jua bantuan mengikut kelebihan atau kepakaran yang kita ada.

Penulis adalah Nur Nazura Salim yang berasal dari Johor.

Beliau  Berpengalaman menjadi “cleaner” rumah selama 5 tahun secara “part time” dan “full time” di Lembah Klang

Ikuti catatan inspirasi beliau di Telegram : https://t.me/nazurasalim

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

Baca juga catatan inspirasi seorang penulis yang bernama Wendy Woon tentang pengorbanan seorang ibu.


Kisah Inspirasi bagaimana anak muda dari Pahang ini menyertai Akademi Bola Sepak di Mesir

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular