Wednesday, September 27, 2023
HomeKehidupanTangisan Terakhir Seorang Bapa (Catatan Pengalaman Diri)

Tangisan Terakhir Seorang Bapa (Catatan Pengalaman Diri)

Kasih sayang seorang bapa yang tiada gantinya.

Pada tahun 2020 ini, kita telah menghadapi pelbagai cabaran iaitu pandemik Covid-19 yang sedang melanda di seluruh negara. Sepanjang tahun 2020 ini, terdapat kes positif Covid-19 sering didengar setiap hari dari seluruh negara serta kes kematian juga berlaku.

Terdapat beberapa buah negara seperti Itali, Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain telah mencatat kes kematian tertinggi dalam anggaran 24 jam. Oleh kerana pandemik  Covid -19, kemerosotan ekonomi berlaku dengan terjejas dan ramai kehilangan pekerjaan.

Pada tahun yang sama juga, saya telah kehilangan seorang bapa yang telah menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, strok dan lemah jantung.

Sebelum kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, mendiang bapa telah masuk ke hospital dan doktor telah mengesahkan bahawa beliau telah menghidap penyakit strok angin ahmar dan lemah jantung setelah beliau menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi selama 8 tahun.

Beliau telah dimasukkan di hospital selama 4 hari 3 malam. Selama 4 hari 3 malam di hospital, saya telah mengambil cuti kerja selama 1 hari kerana tiada orang menjaga mendiang bapa di hospital. Saya dan mak bergilir-gilir menjaga mendiang bapa di hospital.

Setelah 4 hari di hospital, doktor membenarkan mendiang bapa keluar dari hospital. Saya berasa sangat gembira kerana mendiang bapa dapat pulang ke rumah. Doktor menasihatkan mendiang bapa agar banyak bersenam supaya melancarkan peredaran darah di badan dan mengambil ubat tepat pada waktunya.

Little girl with dad dressed in super heroes, happy loving family Free Photo

Setelah kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, mendiang bapa kelihatan sihat. Beliau masih bertenaga memandu kenderaan keluar beli barang semasa PKP, makan ubat  yang diberikan oleh doktor, makan dan minum seperti biasa. Setelah 2 bulan PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Berketat) dan hanya duduk di rumah saja, mendiang bapa berasa tangannya sakit dan sukar untuk bergerak.

Beliau berjumpa dengan doktor pakar di klinik Cina dan mengambil ubat tradisional Cina yang diberi oleh doktor. Setelah mengambil ubat tradisional Cina yang diberi oleh doktor selama 1 minggu, tiba-tiba, saya dan mak perasan muka mendiang bapa sebelah kiri tidak sama rata, sebelah kanan nampak seperti biasa manakala sebelah kiri mukanya menurun. Mendiang bapa pun ke klinik Cina yang sama dan berjumpa dengan doktor. Jadi doktor pun telah mengurangkan dos ubat tersebut.

Mendiang bapa berasa ubat tradisional Cina yang diberi oleh doktor Cina tidak sesuai dan tidak berkesan padanya, mendiang bapa pun ke poliklinik berjumpa dengan doktor. Semasa ke poliklinik, mak saya telah menemani bapa saya dengan menaiki Grabcar. Saya pun menemani mereka ke poliklinik dengan menempah Grabcar yang lain kerana pada masa itu, Grabcar hanya mengambil penumpang 2 orang saja dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Setelah sampai di poliklinik, doktor telah memberitahu beliau agar beliau harus masuk ke hospital dengan segera. Saya menolong mak dan bapa menempah Grabcar ke hospital manakala saya pun menempah Grabcar untuk pulang ke rumah berkemas barang keperluan mendiang bapa saya ke hospital.

Saya telah menunggu panggilan telefon daripada mereka dan tepat pada pukul 8:30 malam, mak saya menelefon saya untuk datang ke hospital dan hantar barang keperluan bapa di hospital. Lalu, saya segera menempah Grabcar ke hospital.

Dalam perjalanan ke hospital, ada seorang pemandu Grabcar telah berbual dengan saya. Beliau tanya adakah saya sakit? Saya menjawab, “Saya ingin menghantar barang keperluan bapa di hospital kerana beliau kena strok dan berjumpa dengan doktor di poliklinik petang tadi. Doktor di poliklinik menasihatkan beliau supaya beliau segera masuk di hospital.” Pemandu Grabcar pun telah menasihatkan saya agar saya harus berdoa kepada Tuhan. Apa jua masalahnya, Tuhan lah penentunya. Pemandu Grabcar sangat friendly orangnya.

Setelah sampai di hospital, saya pun berjumpa dengan mak saya dan mendiang bapa saya di wad. Mendiang bapa masuk di hospital. Mak saya berkata dengan mendiang bapa saya bahawa sudah lewat malam dan dia harus pulang ke rumah.

Mendiang bapa pun berkata dengan kami bahawa kami harus menjaga diri masing-masing semasa beliau tiada di rumah dan berada di hospital. Saya dan mak pulang ke rumah dengan menempah Grabcar.

Semasa mendiang bapa masuk di hospital, saya dengan mak saya bergilir-gilir menjaga beliau.

Father kissing his baby in the park Free Photo

Pada suatu pagi, saya dan mak saya bertolak dari rumah pada pukul 7:00 pagi dan menjaga mendiang bapa di hospital. Saya dan mak saya pun membeli makanan di kedai makan yang berhampiran dengan hospital untuk mendiang bapa sarapan pagi.

Setelah mendiang bapa bersarapan pagi, mak saya pun pergi kerja manakala saya pula masih di hospital menjaga mendiang bapa sampai petang. Mak saya hanya kerja setengah hari saja kerana meminta kebenaran daripada majikannya untuk mengambil cuti setengah hari. Tepat pada pukul 12 tengah hari, mak saya pun datang ke hospital menziarahi mendiang bapa saya. Mak saya pun membeli makanan untuk saya makan tengah hari.

Sepanjang menjaga mendiang bapa di hospital, mendiang bapa hanya berehat dan tidur di katil dan doktor datang memeriksanya setiap masa. Doktor memberitahu mendiang bapa agar beliau harus “puasa”. Malangnya beliau sudah bersarapan pagi dan doktor juga telah memberitahu lambat. Jadi doktor pun memeriksanya dan memberinya ubat. Selain itu, mendiang bapa juga telah dipasang peralatan elektrik dan bateri pada bahagian dadanya. Peralatan elektrik tersebut dipasang sepanjang 24 jam, bermaknanya doktor harus menanggalkan peralatan elektrik dan bateri tersebut pada dadanya pada keesokkan harinya.

Saya dan mak saya pulang dari hospital pada pukul 3 petang setelah menjaga mendiang bapa di hospital. Setelah 2 hari berlalu, mendiang bapa dibenarkan keluar dari hospital. Saya dan mak saya pun menempah Grabcar pada pukul 4:30 petang untuk mengambil mendiang bapa pulang dari hospital. Setelah tiba di hospital, mak saya perlu membayar kos hospital dan kami pun naik ke tingkat 8 untuk membantu mendiang bapa mengemas barang-barangnya.

Setelah selesai mengemas barang mendiang bapa saya, kami pun turun ke bawah dengan menggunakan lift dan saya pun telah menempah Grabcar untuk mak dan mendiang bapa saya dulu. Setelah Grabcar mereka sampai, saya pun menempah satu lagi Grabcar untuk diri saya. Grabcar saya telah mengekori Grabcar mereka di belakang sehingga kami tiba di rumah. Sampai saja di rumah, mendiang bapa hanya makan sedikit saja semasa makan malam dan beliau hanya berehat saja.

Beliau ada temujanji di Hospital Pusat Jantung pada September 2020. Mendiang bapa memberitahu kami bahawa dia tak mahu ke temujanji di Hospital Pusat Jantung kerana hospital tersebut agak jauh dan beliau belum pernah ke sana.

1 minggu selepas keluar dari hospital, mendiang bapa mengadu kesakitan pada tangannya sebelah kiri dan tangannya kebas juga. Mendiang bapa memberitahu bahawa ubat yang diberi oleh hospital memberi banyak kesan padanya seperti mengantuk, muntah dan pening kepala. Oleh itu, mendiang bapa mahu berjumpa  dengan doktor di klinik swasta. Jadi, saya menempah Grabcar dan menemani mendiang bapa berjumpa denagn doktor di klinik swasta. Doktor di klinik swasta pun memberi ubat kepadanya iaitu ubat pening dan muntah serta ubat gastrik juga.

Setelah makan ubat yang diberi oleh doktor di klinik swasta, mendiang bapa mengadu pula bahawa ubat tersebut tiada kesan.

Medium shot sideways father playing guitar Free Photo

Jadi, mak telah mengambil cuti setengah hari dan membawa mendiang bapa berjumpa dengan doktor di hospital dengan menaiki Grabcar. Doktor di hospital telah memberi ubat sapu tangan kebas serta ubat muntah, loya dan pening kepala. Saya menerima panggilan daripada mak saya, mak saya menyuruh saya ke hospital berjumpa dengan mereka.

Setelah tiba di hospital, saya pun berjumpa dengan mak saya di wad kecemasan dan membantu bapa saya menolak kerusi rodanya. Saya pun menempah Grabcar untuk mak dan bapa saya, dan apabila Grabcar mereka tiba, saya pun menempah Grabcar untuk diri saya sendiri untuk pulang ke rumah.

Mendiang bapa selalu muntah dan mudah letih apabila beliau berehat di rumah. Mendiang bapa pun kelihatan lemah dan selalu jatuh apabila beliau bangun dari katil. Walaupun beliau makan ubat yang diberi oleh doktor, beliau selalu muntah dan tiada selera makan. Jadi mendiang bapa mula berhenti makan ubat yang diberi oleh doktor.

Satu  bulan kemudian, mendiang bapa mula mengidam minum Cola dan Sprite setiap hari sehingga saatnya mula semakin lemah. Pada suatu hari, mendiang bapa berkata bahawa dia mahu makan bubur dan meminta kami membeli bubur kegemarannya di kedai makan. Jadi saya dan mak saya pun membeli bubur kegemarannya di kedai makan dan membungkus bawa balik.

Apabila tiba di rumah dan membangunkan mendiang bapa untuk bangun makan bubur yang kami beli, mendiang bapa berkata bahawa dia tiada selera untuk makan.

Pada hari Isnin iaitu 10 Ogos, seperti biasa, saya mahu ke kerja, tiba-tiba mendiang bapa mula berkata bukan-bukan. Mendiang bapa berkata bahawa dia mahu menghantar adik saya ke sekolah dan saya ke kerja. Saya memberitahu dia bahawa dia kurang sihat dan saya boleh ke kerja dengan memandu kenderaan sendiri. Saya juga memberitahu kepadanya bahawa adik belum ke sekolah kerana sekolah belum buka sepanjang tempoh PKP, PKPB DAN PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

Dia bertanya kepada saya bahawa saya pukul berapa pulang kerja? Saya memberitahu yang saya pulang kerja seperti biasa iaitu 5:30 petang. Dia bertanya dalam beberapa kali pukul berapa saya pulang kerja dan saya juga memberitahu dengannya yang saya pulang kerja seperti biasa iaitu 5:30 petang.

Pada hari Selasa 11 Ogos jam 3 pagi, mak saya terdengar mendiang bapa mula bercakap seorang diri dan memberitahu bahawa dia mahu duduk di kedai kopi dan membeli mi kolo. Perangai dia mula pelik. Dia mula bercakap dalam bahasa yang tidak difahami. Pada pukul 7 pagi pula, saya mahu ke kerja seperti biasa, mendiang bapa memberitahu dengan mak saya yang dia mahu ke kedai kopi.

Mak saya memberitahu dengan mendiang bapa bahawa dia sudah dalam keadaan lemah dan sukar untuk berjalan. Mendiang bapa saya marah dan mengatakan mak saya ialah jahat, tidak mahu benarkan dia ke kedai kopi. Bagaimana mahu bawa dia duduk di kedai kopi kalau dia dalam keaadan lemah? Mendiang bapa pula marah mengatakan mengapa banyak semut di lantai? Tetapi kami melihat tiada semut pun di lantai. Mendiang bapa mengatakan bahawa dia melihat banyak anai-anai di siling. Kami melihat tiada anai-anai pun di siling. Semasa pulang dari kerja waktu petang, saya melihat mendiang bapa kelihatan semakin lemah. Menurut adik saya, mendiang bapa hanya terlantar di katil sepanjang hari.

Pada hari Rabu 12 Ogos, saya telah menerima panggilan dari mak saya. Mak saya suruh saya mengambil cuti setengah hari dan pulang ke rumah kerana mak cik dan pak cik saya iaitu adik- beradik sebelah mendiang bapa saya ingin datang melawat mendiang bapa saya. Saya pun meminta cuti daripada majikan dan saya juga memberitahu kepada majikan saya bahawa mendiang bapa sudah kelihatan lemah. Majikan pun meluluskan cuti setengah hari.

Setelah saya sampai di rumah, saya melihat mendiang bapa saya hanya terlantar di katil saja. Beberapa minit kemudian, mak cik dan pak cik saya pun sampai. Mereka melihat keaadan mendiang bapa saya yang dalam keadaan lemah. Mereka berasa sangat sedih dan mengelap air mata mereka. Mendiang bapa tiada tenaga untuk bercakap dengan mereka. Mendiang bapa sudah mula menggunakan mulutnya untuk bernafas. Matanya hanya terbuka sepanjang hari. Mendiang bapa pun mula menggunakan lampin pakai buang kerana beliau sudah tiada tenaga bangun dari katil untuk buang air besar dan kecil.

Pada hari Khamis 13 Ogos, saya pergi kerja seperti biasa. Majikan mula bertanya kepada saya bagaimana keadaan mendiang bapa saya. Saya memberitahu kepada majikan saya bahawa mendiang bapa sudah semakin lemah dan kemungkinan kena tunggu tiba masa saja. Majikan juga memberitahu jika ada apa-apa berlaku, saya hanya mesej dia saja.

Pada petang hari saya pulang dari kerja, hujan sangat lebat. Apabila saya sampai di rumah, saya melihat mendiang bapa semakin lemah, bagaikan nyawa-nyawa ikan. Matanya semakin kuning. Mak saya memberitahu saya bahawa dia sudah mengemas pakaian dan kasut mendiang bapa saya dan diletak di dalam beg sebagai persediaan awal. Mak saya memberitahu saya bahawa dia mengemas awal kerana dia keadaan melihat keadaan mendiang bapa saya seperti nyawa-nyawa ikan. Mak saya mengemas awal supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut.

Pada malam itu, sepupu saya sebelah mendiang bapa menghangtar pesanan di Whatsapp pada mak saya bahawa dia mahu datang melawat mendiang bapa saya. Kami sedang menunggu kedatangan sepupu saya. Hujan masih lebat dari petang tadi. Tepat pada pukul 10 malam, sepupu saya dan suaminya datang melihat mendiang bapa saya. Mereka masuk ke bilik mendiang bapa saya. Kami pun ikut serta.

Sepupu saya dan suaminya berasa sangat sedih setelah melihat keadaan mendiang bapa saya. Kami pun berbual di dalam bilik mendiang bapa saya. Kami berbual mengenai keadaannya yang selama ini tenat.

Father taking a selfie and looking at his child Free Photo

Tiba-tiba, kami melihat air mata mendiang bapa mengalir. Nampaknya mendiang bapa saya masih boleh dengar apa yang kami berbual, cuma dia sudah tiada tenaga untuk bercakap. Pada pukul 10:45, sepupu dan suaminya pun pulang dan kami duduk di rumah tamu. Adik bongsu saya pun masuk ke bilik mendiang bapa saya dan melihat mendiang bapa saya dalam keadaan diam. Adik saya memanggil kami yang sedang duduk di ruang tamu. Kami pun masuk ke dalam bilik dan mak saya sedang memeriksa nadinya. Nadinya berhenti. Jam menunjukkan pukul 11 malam dan hujan pun berhenti. Nampaknya dia akhir bernafas pada pukul 11 malam. Mak saya telah menelefon mak cik saya sebelah keluarga mak saya dan sepupu yang datang ke rumah kami tadi.

Kami pun menelefon funeral service. Apabila mereka sampai, mereka tanya kepada kami adakah kami sudah menelefon ambulans? Kami kata belum. Jadi mereka kata perlu hubungi ambulans untuk mengesahkan kematiannya. Saya pun menelefon panggilan kecemasan iaitu 999. Pekerja funeral service dan kami sedang menunggu ambulans dalam masa 1 jam 30 minit. Setelah ambulans sampai iaitu pada pukul 12:20 dan mengesahkan kematiannya pada 14 Ogos pukul 12:30 tengah malam, pekerja funeral service sedang membalut badannya dengan kain putih dan jenazahnya diletak di dalam van jenazah.

Sebelum badannya dibalut dengan kain putih, kami adik beradik termasuk mak mengucapkan selamat tinggal padanya dan semoga rohnya tenang di alam baru. Mak saya dan adik saya mengikut van jenazah tersebut manakala saya dan adik bongsu di rumah. Saya dan adik bongsu akan ke tokong di mana jenazah mendiang bapa diletakkan pada keesokkan harinya.

Hari sudah pun siang. Saya dan adik bongsu bertolak dari rumah ke tokong. Sepanjang kami menjaga jenazah mendiang bapa, kami tiada selera makan serta tidak cukup rehat. Kami melipat duit kertas dan membakar duit kertas. Pengebumian akan berlangsung pada 16 Ogos iaitu mendiang bapa dibawa ke Nirvana Memorial Park. Jenazah mendiang bapa dibakar dan abunya akan dibuang ke laut. Ini adalah permintaan mendiang bapa semasa beliau sakit tenat. Mendiang bapa berkata, kalau dia sudah tiada lagi, jenazahnya dibakar saja dan abu mayatnya dibuang ke laut. Jadi kami pun menunaikan permintaan mendiang bapa saya ini.

Pada hari Sabtu iaitu 15 Ogos pagi, pekerja funeral service pun datang untuk menguruskan pengebumian mendiang bapa saya. Mereka sedang memindahkan jenazahnya ke dalam keranda. Sebelum bertolak ke Nirvana Memorial Park, mak cik, pak cik sepupu  sebelah keluarga mendiang bapa dan mak saya pun datang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bapa saya. Suasana sangat sedih. Kami pun bertolak ke Nirvana Memorial Park pada pukul 10:30 pagi. Perjalanan mengambil masa 45 minit dari Kuching. Sepanjang perjalanan ke Nirvana, cuaca sangat cerah kerana pada awal pagi, cuacanya hujan renyai-renyai. Setelah sampai di Nirvana Memorial Park, saya dan adik-adik saya berasa sangat sedih kerana kehilangan seorang bapa tanpa diduga ajalnya sudah tiba.

Inilah Nirvana Memorial Park yang terdapat di Jalan Kuching-Bau.

Pada keesokkan harinya iaitu hari Ahad, 16 Ogos, salah seorang pekerja funeral service telah mengambil kami dari rumah dan membawa kami ke Nirvana Memorial Park untuk mengambil abu mayat mendiang bapa saya. Setelah mengambil abu mayat mendiang bapa saya, kami pun bertolak ke Muara Tebas untuk membuang abu mayatnya di laut.

Apabila tiba di Muara Tebas, saya dan adik saya menggunakan jaket keselamatan dan kami duduk di sebuah sampan. Kami membuang abu mayatnya di tengah lautan dan kemudian berpatah balik ke jeti. Setelah semuanya selesai, kami pun bertolak ke tokongdari Muara Tebas untuk menunjukkan “rumah barunya” dengan menyalakan colok. Sejak itu, kami sekeluarga sembahyang mendiang bapa di “rumah barunya” sehingga 100 hari kematiannya.

Beginilah sebuah kisah tangisan terakhir seorang bapa yang telah mengeluarkan air matanya buat kali terakhir sebelum beliau meninggal dunia. Kasih sayang seorang bapa tiada gantinya. Rezeki boleh dicari, tetapi kasih sayang mak dan bapa tidak dapat dicari setelah mereka pergi buat selama-lamanya.

Penulis adalah Wendy Woon yang berasal dari Sarawak.

Nama Facebook: Wendy Woon


Baca juga tulisan beliau tentang Pengorbanan seorang ibu

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular