Sunday, March 19, 2023
HomeAgamaIbadatBersugi (Bersiwak) Dan Manfaatnya Dalam Islam

Bersugi (Bersiwak) Dan Manfaatnya Dalam Islam

Menjaga kebersihan mulut dan gigi adalah suatu tuntutan yang ditekankan dalam Islam. Antaranya adalah dengan bersugi atau memberus gigi. 

Islam menganjurkan bersugi sebagai salah satu daripada kebersihan diri yang perlu dijaga. Terdapat banyak manfaat dan kelebihan bersugi. 

Ia akan diterangkan dalam artikel ini meliputi pengertian, hukum, dalil, alat-alat bersugi, waktu yang disunatkan bersugi, waktu makruh bersugi dan hikmah bersugi. 

Pengertian Bersugi

Bersugi adalah perbuatan membersihkan gigi dan mulut dengan menggunakan sesuatu alat yang kesat lagi suci.

Hukum Bersugi

Hukum bersugi adalah disunatkan pada bila-bila masa sahaja. Namun waktu yang dituntut dalam Islam adalah ketika hendak tidur dan bangun dari tidur, ketika hendak melakukan sesuatu ibadat seperti bersolat dan membaca al-Qur’an dan ketika mulut berbau.

Makruh bagi orang yang berpuasa untuk bersugi setelah gelincir matahari (ketika masuknya waktu zohor).

Dalil Bersugi

Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri” (Surah al-Baqarah ayat 222).

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sekiranya tidak menyusahkan umatku, sudah tentu aku perintahkan mereka bersiwak (bersugi) setiap kali mereka hendak mendirikan solat (sembahyang).” (Riwayat al-Bukhari).

“Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “. ( Hadis Riwayat Al Baihaqi )

Alat-alat Untuk Bersugi

Alat untuk bersugi adalah sesuatu yang kesat lagi suci.

Terdapat pelbagai jenis alat untuk bersugi. Antaranya ialah:

  1. Berugi gigi
  2. Kayu siwak (sugi)
  3. Daun kering
  4. Sabut daripada buah kelapa
Alat-alat untuk bersugi
Antara alat untuk bersugi ialah kayu sugi, berus gigi, sabut kelapa dan daun kering

Waktu-Waktu Yang Disunatkan Bersugi

Terdapat waktu-waktu yang disunatkan bersugi iaitu

  1. Sebelum mengambil wudhuk
  2. Apabila hendak melaungkan azan
  3. Apabila hendak membaca al-Qur’an
  4. Sebelum mendirikan solat
  5. Sebelum dan selepas bangun dari tidur
  6. Selepas makan
  7. Ketika mulut berbau

Hikmah Bersugi

Bersugi mempunyai beberapa hikmah iaitu

  1. Mendapat pahala daripada Allah
  2. Perbuatan yang diredhai oleh Allah
  3. Dapat menjaga kebersihan gigi dan mulut
  4. Memutihkan gigi
  5. Menyegarkan bau mulut
  6. Mencegah gigi daripada kerosakan seperti berlubang
  7. Dapat menjaga kesihatan mulut dan gusi
  8. Dapat memberi keyakinan diri

Perkara Yang Disunatkan Ketiga Bersugi:

  1. Memulakan dengan membaca Bismillah.
  2. Sunat berniat: “Sahaja aku bersugi kerana Allah ta’ala”
  3. Menggunakan tangan kanan untuk bersugi
  4. Sunat mendahulukan bahagian kanan dalam mulut atas dan bawah. Kemudian diikuti bahagian kiri.
  5. Akhir sekali di keseluruhan bahagian dalam mulut termasuk lidah dan lelangit.
  6. Mengakhiri aktiviti bersugi dengan ucapan alhamdulillah. 

BACA JUGA: Niat Puasa dan Doa Buka Puasa (Serta Ulangkaji Puasa)

BACA JUGA: Hari Kiamat dan Tanda-Tandanya Yang Perlu Diketahui


Must Read